Tuesday, August 27

PASANG KUAT, PAKAI HEBAT

Cikgu Aliya sekadar tersenyum. Wah, semakin bergaya nampaknya rakan-rakan sekerjanya selepas menerima dua kenaikan gaji baru-baru ini. Baju butik beratus-ratus ringgit dipakai untuk mengajar dalam kelas. Ada yang berangan-angan menukar kereta.

Dia? Ahh, masih seperti biasa. Baju yang diambil dari tukang jahitnya daripada kain biasa-biasa saja, tetapi alhamdulillah dikira murah juga sebab kainnya selasa dan tidak perlu diseterika. Sesuai untuk dirinya selaku seorang ibu kepada anak-anak kecil..Dia sengaja meminta tukang jahitnya menjahit lengan baju dengan butang supaya dia tidak perlu memakai stokin tangan. Tudung di kepala pun yang selalu dipakai untuk bekerja. Tak ada apa yang menonjol pun; semua biasa-biasa saja. Janji tutup aurat.

Tak seperti Cikgu Maria. Tudung sahaja sudah berharga RM180. Baju apatah lagi, mesti beratus rimggit juga sebab berlabuci. Dia tak kisah sebenarnya apa yang dipakai oleh guru-guru lain, asalkan sesuai dengan bentuk badan masing-masing. Lagipun bukan dia yang bayar harga pakaian mereka.

Namun demikian, dalam ketidak-kisahan itu, ada juga mata yang memandangnya.
"Betulkah suami dia kerja itu? Tak nampak macam isteri seorang dot-dot-dot pun!"
" Kereta pun buatan malaysia saja... kecil pula. "
Bila komen-komen begitu sampai ke telinga Cikgu Aliya, lagi kuat gelak ketawanya. Alahai, manusia. Itu juga yang dipandang dan dinilai rupanya. Harta dunia seperti rumah, kereta dan pakaian yang menutupi badan.Siap riuh satu pejabat sekiranya gaji tertunggak atau diberi lewat.

Dia ingat lagi kata-kata maknya.
Kata mak, ada orang yang pakai cantik di luar rumah tapi hanya makan ikan kering dalam rumah.
Ada orang yang pakai barang kemas beribu-ribu ringgit tapi tak sanggup belikan bahan bacaan tambahan untuk anak-anak di rumah.
Ada orang yang mahu memandu kereta berjenama hebat tetapi hutang keliling pinggang pun tidak kurang hebatnya.
Padahal semua harta itu - rumah, pakaian, barang kemas dan sebagainya - tidak boleh dibawa ke akhirat pun.
Tapi manusia tetap manusia yang banyak ikut nafsu... mahu tunjuk gaya dan suka bila dipuji.
Wanita pakai baju mahal dan cantik sebab mahu dipuji cantik oleh teman-temannya.
Lelaki berkereta mewah sebab mahu dianggap berstatus tinggi dalam masyarakat.
Tak mengapa semua itu, tetapi apabila ada pihak yang mengata sehingga ke tahap menghina pakaian atau barangan orang lain, memang ia akan menjadi kelakuan yang tak baik... menambahkan dosa.
Lagipun jikalau ikut alQuran dan sunnah Rasulullah, disuruhnya kita bersederhana... bukan?

Menurut Surah al Furqan: 64 maksudnya, "Dan orang-orang yang apabila mereka membelanjakan harta mereka mereka tidak membazir, dan tidak pula kikir. Dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah yang demikian". 

Hmmm.. susahkan nak jadi insan dalam masyarakat yang semakin materialistik.
Nilai seseorang itu sering dilihat dari apa yang dipakai, dipandu, dan dimakan. Tinggal di mana. Berkawan dengan siapa. Kenal siapa. Bukan setakat itu, jikalau ada yang kurang, siap komen lagi di belakang kita dengan cara yang menghina.
Jarang pula yang mahu menilai seseorang berdasarkan ilmunya. Makin sedikit lagi yang mahu mengukur dari segi ketaqwaannya kepada Yang Maha Esa.
Apabila Cikgu Aliya memikirkan semula isu ini, kasihan pula kepada mereka yang berfikiran cetek begitu.
Tapi dia tidak mampu menasihati sebab mereka rata-rata lebih tua daripadanya dan sepatutnya lebih berilmu.

Teringat Cikgu Aliya pada beberapa buku yang pernah dibacanya, bahawa ramai jutawan yang berada di sekeliling kita sebenarnya mereka yang kurang berbelanja besar. Pakaian, kereta serta alat gajet dianggap sebagai liabiliti yang ada nilai susut harga. Ramai jutawan yang tetap menggunakan kereta lama dan berpakaian sederhana., tetapi mempunyai simpanan berjuta-juta ringgit dalam bank serta harta dalam bentuk aset perumahan serta bangunan kedai. Itu baru kira orang yang bijak berbelanja.

"Makan kena cukup dan berkhasiat, barulah boleh kerja dengan baik," ibu mertuanya selalu ingatkannya.
Alhamdulillah,makan tak pernah kurang, malah seringkali terlebih.
Banyak pelaburan ditumpukan kepada pembelajaran anak-anaknya dan masa depan mereka.
"Tak bergaya pun tak apalah, jika terlalu bergaya entah-entah bukan sahaja kawan yang melihat kita malah penyamun dan perompak juga," Cikgu Zakiah pula memberikan pandangannya.
"Betul.. betul..betul..' kata Cikgu Aliya meniru lagak Ipin.

3 comments:

  1. PERKONGSIAN YG MENARIK,SERONOK BACA
    BACA SAMBIL MELIHAT DIRI SENDIRI
    TERIMA KASIH ;)

    ReplyDelete
  2. a good reminder... thanks a lots...

    ReplyDelete