Monday, July 8

PENING DENGAN FESYEN TUDUNG !!!

"Dik... berapa harga tudung ni?" saya membelek-belek tudung merah jenis instant yang tergantung di gerai.
Operasi membeli tudung sebagai cenderahati kepada guru yang bertukar menjadi tugasan terbaru saya baru-baru ini. Cikgu itu gemar memakai tudung 3 lapis, lalu saya sangka mudahlah untuk mendapatkan sehelai yang baru untuknya.
Wanita muda yang menjaga gerai tudung itu tersenyum. "Tujuh puluh ringgit saja," jawabnya.
"RM70?" saya melihat tudung merah yang disulami batu berwarna-warni. Fesyen terkini. Hmmm, tak jadi nampaknya. Bajet yang diberikan kepada saya itu kurang daripada harga itu.
"Yang ni pula?" saya memilih pula tudung 3 lapis yang agak pendek.
"Yang tu baru RM55, kak. Saiz M."
"Saiz L takde ker?"
"Ada tapi harga RM70."
"Oh" saya terdiam.
Aduh, pening juga. Setelah lama tidak membeli-belah tudung dengan fesyen yang terbaru, rupa-rupanya harga sehelai tudung terkini sudah melambung naik sehingga RM70 sehelai. Itupun belum kira lagi tudung yang 'branded'.
Saya membelek-belek lagi tudung-tudung berwarna-warni yang ada di gerai itu. Jam telah menunjukkan pukul 4 petang. Saya ada sejam lagi untuk mendapatkan sehelai tudung yang sesuai dijadikan hadiah. Akhirnya saya mengambil keputusan ke gerai lain.
Gerai kedua dan ketiga juga tidak membuahkan hasil sepertimana yang dikehendaki. Mahal satu hal, ada tudung yang agak pendek pula. Tidak cukup syarat untuk sehelai tudung yang diperlukan untuk menutup aurat seorang Muslimah. Say tak mahu mengundang dosa pula dengan menghadiahkannya tudung yang tidak menutupi asetnya dengan sempurna.

Hampir sedozen helai tudung yang saya keluarkan daripada rak, sebelum berjaya mendapatkan yang sesuai. Syukur, akhirnya wang bertukar tangan dan tudung yang dibeli selamat dimasukkan ke dalam beg.
Membeli-belah selama 2 jam itu menyedarkan saya betapa peningnya seseorang wanita yang pergi membeli tudung. Jikalau dahulu hanya perlu pilih warna yang sesuai, kini perlu juga pilih samada nak tudung syria, tudung siti, tudung yuna, tudung bawal berjahit bunga reben, tudung 3 lapis yang bersulam batu kristal, shawl pashmina yang panjang, tudung lycra twisted, tudung dubai dan macam-macam yang saya sendiri tak ingat namanya. Semuanya harga boleh tahan gak, ada yang mencecah beratus ringgit walaupun pada mata kasar saya, tak cantik mana pun. Silap masuk mesin basuh automatik, hancur juga.

Hmm, setahu saya [maaf nooh jikalau apa yang saya bakal tulis ni tak disukai sesetengah pihak] tujuan tudung adalah untuk menutup aurat, terutamanya rambut dan bahagian dada seorang Muslimah. Maka jika memakai tudung yang terlalu menyerlah dengan batu-baru kristal yang bersinar-sinaran, dan warna-warna terang yang menarik perhatian, adakah ia bakal mengundang perhatian yang tidak diingini?
Memakai tudung yang mahal sehingga beratus ringgit, apakah agaknya reaksi si pemakai jika ada orang tidak sengaja tertumpah kari ke atas tudung ekslusif itu? Mungkin menjerit dan marah-marah?

Hairan juga, ada tudung yang mahal tetapi tidak menepati syariat Islam, iaitu ia tidak menutup bahagian dada si pemakainya. Dengan kata lain, aurat wanita itu masih terdedah.
Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka..”[surah an-Nur:31]
Mungkin ada yang akan berkata, " A la, asalkan dah tutup rambut.. itu lebih baik daripada tak pakai langsung!"
Benar, pakai tudung itu memang lebih baik daripada tidak memakai tudung langsung. Tapi saya mahu mengingatkan, jika dah pakai tu, sendiri maulah beringat. Buat yang terbaik, tutup yang wajib. Bukan bertudung sebab semua orang pun bertudung; bukan bertudung sebab mahu ikut peredaran fesyen. Sebagai Muslimah berpengetahuan, janganlah kita jadi hamba fesyen. Tutuplah apa yang patut, belilah mengikut kemampuan sendiri.

Satu lagi, bila dah bertudung tu [tudung mahal dan cantik pula], janganlah pandang semacam ke atas saudara seagama kita yang masih belum bertudung. Elakkan daripada memandang sinis, mengkritik di hadapan dan di belakang, mencaci dan menghina semata-mata sebab mereka orang Melayu Islam [saya tulis melayu sebab susah nak kenal Muslimah bangsa lain jikalau mereka tidak bertudung] yang masih bebas freehair. Anggap sahaja mereka itu golongan yang masih belum cukup kuat untuk menyarungkan tudung kepala; oleh itu berdoalah agar mereka diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah untuk menutup aurat. Ataupun berusahalah berdakwah kepada mereka terutama ahli keluarga dan kawan-kawan yang masih freehair dengan berbuat baik dengan mereka, dan menghadiahkan tudung yang cukup syarat.
Sedarilah kawan-kawan, Allah berikan kita hidayah untuk bertudung, dan untuk anak-anak gadis kita bertudung supaya kita boleh menjalankan dakwah kepada orang lain pula - bukannya dengan berlagak sombong dan alim dan mengata mereka sebagai degil sesat, dll di belakang mereka. Tak baik macam tu, Allah dan Nabi tak suruh kita buat begitu.

InsyaAllah, buatlah perubahan sempena Ramadhan ini - tak kiralah tudung apa anda dan keluarga anda pakai - dengan mengajak semua kenalan kita agar menutup aurat dengan sempurna.
Yang paling dibenci didengari dan patut dielakkan adalah mendengar orang lain berkata," Eleh, pakai tudung  tetapi malas bekerja, sombong dan mengumpat orang!"

p/s : Lepas ni, saya nak beli tudung saji.. tak pening beli tudung jenis ni, hehehe.





2 comments:

  1. Assalamuaikum,

    Benar juga kadang2 kita terlalu ikut trend hingga lupa apa sebenarnya tunjuan kita untuk menutup aurat. Dan kadang2 fikir betul juga syaitan itu pandai saja menipu kita walaupun kita pandang sesuatu perbuatan itu betul tapi hakikatnya sudah menyalahi ajaran Agama.
    Wassallam.

    ReplyDelete
  2. Betul tu..kdg tgk fesyen muslimah skrg ni makin pelik kan..sy pn baru je berhijrah dari free hair to berhijab...sy setuju dgn penulis,kita tak spptnya hina dan mengata org lain dn anggap kita ni bgs hnya kita berhijab...niat,hati kena bersih jg dn kita kena ingat ahli neraka byk ppuan sbb mulut kita nih..

    ReplyDelete