Monday, October 15

MANA SURAT?

"Ramu, mana surat sakit? Kenapa tak datang sekolah ?"
Saya menyoal Ramu, yang tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut.
Dia tersengih sambil menggaru-garu kepalanya.
"Esok, cikgu!" jawabnya ringkas.
"Kamala, kamu pula... mana surat sakit? Sudah seminggu tak datang sekolah sekolh, hari ini baru hadir," saya memandang ke arah Kamala pula, yang sering ponteng sekolah semenjak awal tahun persekolahan.
"Lupalah cikgu. Esok saya bawa," dia pula memberi alasan.
Saya menutup fail.
"Ingat, esok bawa surat sakit doktor atau surat daripada ibu bapa kamu. Jika tidak, saya akan anggap sebagai ponteng sekolah jika kamu tidak memberi sebab mengapa kamu tidak hadir ke sekolah."

Masalah ponteng sekolah sudah menjadi masalah besar.
Pergilah ke mana-mana sekolah, pasti ada pelajar yang kerap tidak hadir ke sekolah tanpa memberi sebab.
Minta surat sakit keesokan harinya apabila mereka hadir semula ke sekolah, mereka akan beri alasan lupa bawa surat. Panggilan telefon kepada ibu bapa sering tidak dijawab, dan kadangkala ibu bapa pula memarahi guru sebab mereka yakin bahawa anak mereka hadir ke sekolah ["saya nampak dia keluar rumah dengan memakai pakaian sekolah!"]
Pelbagai program dilancarkan dengan harapan para pelajar mahu hadir ke sekolah - Program Ponteng Sifar, Program Sekolah Penyayang, Program kaunseling dan sebagainya seolah-olah kurang memberi hasil apabila masih ada juga pelajar yang ponteng tegar.

"Mana surat daripada ibu bapa kamu?" saya tanya sekali lagi kepada Ramu, seminggu kemudiannya.
"Surat suda hilang, cikgu!" jawabnya sabil tersengih.
"Bagus, hilang lagi. Saya akan hantar surat amaran terakhir kepada ibu bapa kamu. Ponteng lagi, dan kamu boleh dibuang sekolah," saya memberitahunya.

Ramai ibu bapa yang tidak sedar atau kurang menyedari bahawa anak mereka boleh dibuang sekolah semata-mata sebab selalu ponteng sekolah tanpa sebab.
Menurut surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, ponteng sekolah ialah satu kesalahan berat.
Surat amaran akan dikirim ke alamat rumah pelajar mengikut alamat yang diberikan oleh ibu bapa atau penjaga ketika mereka mendaftar di sekolah.
Ibu bapa tidak boleh memberi alasan tidak menerima surat amaran yang dikirimkan itu jikalau mereka sendiri yang gagal memberi alamat terkini kepada pihak sekolah.  [hanya surat yang dikembalikan ke skolah oleh posmen akan dianggap tidak diterima waris pelajar]

Beginilah bentuk amaran yang akan diberi [garis panduan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia] :
Surat amaran pertama - tidak hadir ke sekolah 3 hari berturut-turut /10 hari secara berkala
Surat amaran kedua - ponteng lagi 10 hari berturut-turut / 20 hari secara berkala (10 +20)
Surat amaran terakhir - ponteng lagi 10 hari berturut-turut / 20 hari secara berkala (10+20+20)
Ibu bapa perlu menjawab surat amaran yang diterima itu sama ada dengan berjumpa dengan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah atau menulis surat tunjuk sebab mengapa anaknya tidak hadir pada tarikh-tarikh tersebut untuk diserahkan kepada guru kelas anaknya.
Sekiranya ibu bapa mendiamkan diri dan pelajar berkenaan masih meneruskan aktiviti ponteng sekolah selama 20 hari lagi selepas surat amaran terakhir itu dihantar, surat terakhir iaitu surat pembuangan pelajar akan dikeluarkan oleh pihak sekolah, dan satu salinan akan dikirim ke Jabatan Pelajaran Negeri.
1. Sekurang-kurangnya 31 hari berturut-turut hari persekolahan murid tidak hadir tanpa sebab boleh dicadangkan dibuang sekolah
2. Sekurang-kurangnya 60 hari tidak berturut-turut murid tidak hadir tanpa sebab boleh dicadangkan dibuang sekolah

Berlainan dengan zaman 80-an, kini peperiksaan PMR dan SPM turut melibatkan kerja kursus daripada pelajar yang perlu diselesaikan di sekolah sebelum tarikh tutup yang diberikan oleh pihak kementerian. Bayangkan jikalau pelajar selalu ponteng sekolah. Bukankah tindakan mereka itu mengganggu proses penilaian dan penghantaran markah oleh pihak sekolah?
Kerja kursus tidak dibuat langsung. Ada pula yang buat separuh jalan, sehingga ada calon yang terpaksa dikurung di pejabat dan diawasi oleh guru subjek supaya mereka selesaikan kerja kursus yang tergendala itu dalam tempoh sehari saja. Semua tindakan itu menyusahkan orang lain.
Ada juga guru yang terpaksa mencari hingga ke rumah supaya pelajar ponteng itu menyiapkan tugasan mereka.

"Mengapa hari ni baru dia hadir ambil SPM?" saya bertanya kepada Cikgu A yang telah bercakap dengan seorang calon SPM di dewan peperiksaan.
"Dia kata, dia tak tahu bahawa SPM dah bermula. Bila tengok TV semalam, baru dia sedar. Sebab tu dia datang hari ni" jawab Cikgu A.
"Tapi kertas BM dia tak ambil semalam, tak dapatlah sijil kelulusan SPM."
"Entahlah... dia diberhentikan sekolah pada awal tahun sebab selalu ponteng. Dia bekerja, sebab tu tak tahu SPM dah mula. Jadual peperiksaan pun dia tak ada."
" Dia tak pergi ke sekolah untuk semak tarikh peperiksaan SPM laaa..."
"Kata guru sekolah ni, mereka telefon bapanya untuk maklumkan tarikh SPM tapi bapanya kata anak ni tak mahu duduki SPM. Tiba-tiba dia datang pula pagi ini untuk kertas Bahasa Inggeris!"
Kami menggeleng-geleng kepala melihat calon 'tidak diduga' itu. Ada juga calon peperiksaan yang tidak sedar peperiksaan sudahpun bermula.

Berikutan pengalaman seperti itulah, saya hanya tersenyum sinis apabila membaca berita terbaru tentang ibu [di akhbar Metro] dan bapa [akhbar siar harian] yang mengadu bahawa anak-anak mereka tidak dibenarkan menduduki PMR tahun ini setelah mereka diberhentikan persekolahan sebab telah kerap ponteng sekolah.
Pelik juga apabila melihat surat berhenti sekolah yang bertarikh awal bulan Julai, tetapi si ibu hanya bising apabila anaknya tidak ke sekolah pada bulan Oktober. Apakah yang dibuat mereka selama 3 bulan setelah menerima surat diberhentikan sekolah anaknya itu?
Tidak tahukah mereka bahawa anak-anak yang dibuang sekolah tetap boleh menduduki peperiksaan awam jikalau telah mendaftar untuk peperiksaan tersebut pada awal tahun, asalkan mereka berpakaian sekolah dan mematuhi segala peraturan ketika menduduki peperiksaan?
Ahhh, mungkin juga mereka tidak tahu sebab mereka tidak pernah menghubungi pihak sekolah.

5 comments:

  1. Geleng kepala saya membaca nya!

    ReplyDelete
  2. Ooooh saya pun baru tahu~!!
    Terima kasih atas pencerahan.

    Alhamdulillah sekolah adik2 saya dekat dengan rumah,
    tak adalah masalah ponteng sekolah sangat.

    Sekarang memang banyak kerja-kerja yang perlu dibuat oleh murid-murid selain latihan kerja sekolah biasa & peperiksaan ya?

    ReplyDelete
  3. sy pon geleng kepala baca ni... semakin menjadi2 rupanya ye kes ponteng ni...

    ReplyDelete
  4. di sekolah rendah juga, begitu. bab kerja kursus (folio) pun, mereka sudah pandai 'tidak sayang' markah.

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam semua,
    Gejala ponteng sekolah boleh menyebabkan seseorang pelajar itu tercicir dan akhirnya dibuang sekolah, walaupun tidak digalakkan di peringkat JPN.
    KKK, dengan bermulanya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) memang setiap hari pelajar akan ditaksir dan dinilai di sekolah.Jikalau dia ponteng sekolah tanpa sebab pada hari yang dia perlu ditaksir, dia akan dilabel sebagai ponteng dalam laporan guru untuk subjek itu dan kemungkinan gred pada akhir Tingkatan 3 adalah yang terendah. Tidak ada lagi kes pelajar ponteng tegar tetapi hadir ke sekolah untuk ambil peperiksaan PMR dengan harapan untuk lulus, sebab pada tahun 2014 tiada lagi peperiksaan PMR seperti yang ada sekarang.

    ReplyDelete