Wednesday, June 29

TAK MENGAPA JIKA MEREKA TAK SUKA

Mereka senyum sambil berlalu ke pintu.
Balkhis pun membalas senyuman tanpa berkata-kata. Ahhh, biarkanlah. Lagipun mereka kelihatan tergesa-gesa. Mesti ada hal lain yang perlu dibereskan. Bukan tak kenal sikap mereka semenjak dulu lagi.
"Mak Su awak tu tak cam awak, sebab tu dia tak tegur," jelas Mak Balkhis selepas mereka beredar dari rumah Mak.
Balkhis mengangguk,tanda faham. Memang dia dah jangka sebab selepas beberapa tahun dia memeluk Islam, itulah kali pertama dia bertemu semula dengan Mak Su. Lagipun ketika itu Balkhis memakai tudung di dalam rumah Mak sebab Pak Su masih dikira bukan mahram saya.
Jikalau cam sekali pun, belum tentu mereka mahu berbual-bual dengan dia, tidak seperti dahulu.
Mak pernah memberitahu," Mak Su awak tak suka bila mengetahui bahawa awak dah memeluk Islam."
Pengislaman Balkhis telah mengubah segalanya dalam perhubungannya dengan ahli keluarga yang masih kekal dalam agama dan kepercayaan asal.

"Opah tak ada di rumah pada minggu lalu sebab Pak Cik awak balik dari Australia," Opah memberitahu.
"Oh, baguslah. Berapa lama dia di sini?" tanya Balkhis dalam perbualan telefon.
Dia sengaja tidak mahu bertanya mengapa Opah tidak memberitahunya terlebih awal tentang kepulangan Pakcik ke tanah air.
"Beberapa hari saja. Dia sibuk dengan kerja.Balik pun seorang diri saja, tak bawa ahli keluarga" kata Opah dengan nada hampa.
"Pak Cik balik pun dah ok, bukan," Balkhis memujuk Opah.
Dia juga rindu pada Pak Cik tetapi tidak disuarakannya kepada Opah.Balkhis tidak pasti akan reaksi Pak Cik apabila mengetahui bahawa anak saudara kesayangan itu telah memilih Islam sebagai agama dan cara hidupnya. Dia tidak berani bertanya kerana baginya, biarlah dia tidak tahu.

"Sepatutnya saya dah bersedia untuk menghadapi reaksi negatif ahli keluarga kerana memeluk Islam tetapi mengapa perasaan hampa masih membelenggu jiwa ini?" Balkhis sendiri agak terkilan apabila Pak Cik tidak menghubunginya walaupun sudah pulang ke tanah air untuk beberapa hari.Bukannya Opah tak ada nombor telefon Balkhis. Lagipun jika mahu, Pak Cik masih boleh meminta nombor itu daripada Bapa.
Nampaknya walaupun sudah beberapa tahun berlalu, selain daripada Bapa dan Opah yang akhirnya menerimanya semula setelah dia memeluk Islam, sanak saudaranya yang lain masih bersikap dingin terhadapnya.
Mungkin mereka menganggapnya sebagai orang luar kerana telah meninggalkan amalan dan kepercayaan keluarga yang turun-temurun. Sudah dikira anak 'derhaka' dan orang 'murtad'.
"Inipun belum lagi situasi penting seperti upacara kematian dan sebagainya yang memerlukan ahli keluarga berkumpul. Sabar sajalah, bila perlu berkumpul nanti, hadapi saja dengan tenang," fikir Balkhis yang tidak dapat menepis perasaan kecewa dengan layanan dingin saudara mara.
Dia sudah bersedia untuk keadaan itu apabila memilih Islam. Namun hakikatnya, pahit masih terasa apabila diri disisihkan daripada keraian keluarga terdekat.
"Ah, patutnya saya bersyukur kerana Opah dan Bapa menerima saya semula selepas saya beragama Islam," Balkhis memujuk dirinya sendiri. "Kalau mereka tak dapat terima, biarkan saja. Bukannya saya hutang apa-apa dengan mereka pun. Tak sudi berjumpa pun tak apa, masih boleh teruskan kehidupan."

Balkhis duduk di sebelah kawannya, Yasmin di kedai makan.
"Saya tidak pernah memberitahu keluarga saya  yang masih belum Islam itu sebarang masalah selepas saya beragama Islam. Bukan tak boleh tapi saya tak mahu mereka yang masih agak negatif terhadap agama pilihannya itu mempunyai tanggapan yang lebih buruk lagi."
"Tak apa, awak kan ada saya sebagai kawan. Kongsi dengan saya aja," kata Yasmin.
"Bikin awak lagi tensen pula asyik dengar komplen saya. Tapi nak buat camne lagi? Saya tak boleh nak kongsi masalah keluarga dan anak-anak dengan keluarga saya. Saya hanya  boleh kongsi kisah-kisah positif dan berita gembira dengan mereka dengan harapan mereka mendapat gambaran baik tentang Islam. Biar mereka anggap saya cukup bahagia sebagai seorang Muslim. Saya tak nak nanti mereka kata saya hidup susah selepas memeluk Islam. Saya juga tak nak nanti mereka kata,' Padan muka awak kerana tinggalkan agama dan kepercayaan keluarga."
"Faham, faham. Aawak nak jaga nama baik Islam, bukan?"
"Ya la, bukankah itu yang patut kita sebagai orang Islam buat? Tak boleh bagi peluang untuk penganut agama lain menghina agama Islam. Apa-apa krisis pun saya cuba rahsiakan daripada pengetahuan keluarga saya tu. Kadang-kadang tensen tau tambahan bila suami sendiri pula tak faham. Satu sen pun saya tak berhutang dengan mereka tapi banyak juga saya belanja setiap kali balik kampung."
"Sabar je la. Apa boleh buat. Segala kebaikan kita pada ahli keluarga yang bukan Islam juga dikira sebagai bentuk dakwah kepada bukan Islam. InsyaAllah, mungkin satu hari nanti hati mereka akan lembut untuk menerima Islam sebagai agama mereka pula," kata Yasmin.
"InsyaAllah, itu juga yang saya harapkan. Tak mengapa jika saudara mara tak suka saya beragama Islam tetapi saya tetap bersyukur kerana mereka tidak cuba menghasut keluarga saya untuk terus membuang saya.".

Friday, June 24

"SAYA TAK SANGKA PUN.."

"Dah berapa bulan?" saya bertanya pada wanita yang duduk di sebelah saya.
Kami dah kena tahan. Tak dibenarkan keluar dari bilik. Walaupun untuk mengambil beg dari kereta.
"Telefon suruh suami ambil," kata jururawat bertugas.
Wanita yang kelihatan sebaya umur saya itu [dari raut wajahnya] menjawab," Tujuh bulan. Semalam baru tahu."
 "Tahu apa?"
"Tahu yang saya mengandung. " senyumnya melebar.
"Baru tahu? Kira selama ni tak ada tanda yang awak mengandung? Haid macam mana?" saya hairan.
"Haid saya tak tetap, kadang-kadang 5 bulan sekali. Cuma baru-baru ni saya rasa tak sedap badan, ingatkan angin. Jadi saya ke klinik kesihatan ni semalam, jumpa doktor di bahagian pesakit luar. Doktor kata angin, dia nak bagi ubat angin tapi saya minta buat scan. Saya risau penyakit lain."
"Oh, gitu. Jadi scan di bilik Dr. Naimah [doktor yang bertugas di bahagian Kesihatan Keluarga], ya?"
"Tak juga, Scan di bilik pesakit luar. Doktor Cina itu terkejut, dia pandang muka saya sambil berkata,'Ada baby la.' Saya macam tak percaya. Semua jururawat dalam bilik tu terkejut."
Saya ketawa. Itu satu berita baik.
"Alhamdulillah, tahniah. Dah ada berapa anak?"
"Ini anak sulung. Saya berkahwin 12 tahun, tak dapat anak. Macam-macam dah cuba, berubat kampung. Orang kata bomoh itu ini bagus, saya pergi. Suruh makan pisang hutan, saya makan. Mengurut tak usah nak sebut dah. Merata ceruk dah saya dan suami pergi dan berikhtiar nak dapat anak. Ambil juga ubat kesuburan di klinik tapi tak berjaya. Sampai  saya disuruh berubat dengan bomoh lelaki. Dia urut perut saya tapi isterinya ada la di sebelah. Saya naik takut jadi saya henti pergi. Hampir setahun saya tak buat apa-apa, tiba-tiba doktor kata saya mengandung," terangnya dengan panjang lebar.
Saya mengangguk faham."Suami awak mesti seronok benar."
"Dia seronok betul. Maklumlah tak disangka. Adik beradik saya pun belum tahu. Kami pun dah ambil anak angkat, anak adik saya. Dia pun dah masuk tingkatan satu."
"Allah nak bagi anak kepada awak, kira ada hikmahnya. Berkat kesabaran awak menunggu selama 12 tahun. Sekarang dah 7 bulan, dekat raya la bersalin nanti. Beraya la awak sekeluarga tahun ni."
"Dijangka beberapa hari selepas raya. InsyaAllah beraya sakan tahun ni," ujarnya gembira.
"Mengapa pula datang ke klinik pagi ini?"
"Datang buat buku merah, ujian air gula dan ambil darah. Doktor check, kata darah tinggi, terus suruh masuk wad,. Mungkin masih terkejut dengan berita saya mengandung," jelasnya lagi.
Jururawat tiba dengan dua buah kerusi roda.
"Kena naik ni, saya tolak," katanya.
"Berjalan saya tak boleh kah? Berat kami ni, dah awak tu kecil molek, nanti orang kata mat labu ni dera," saya bertanya dengan nada mengusik.
"Saya kuat lagi. Awak tak dibenarkan berjalan, kena duduk di atas kerusi roda Takut pengsan kami tak larat angkat. Jom la naik, ambulan dok tunggu kat luar," arahnya lagi.
Mahu tak mahu, kami berdua terpaksa duduk di atas kerusi roda lalu ditolak ke tepi ambulan.
"Dua [pasakit]?" tanya attenden ambulan.
"Baru ada kawan, tak sunyi," jawab jururawat yang mengiring.

Saya dan Fatimah [bukan nama sebenar] ditahan kerana bacaan tekanan darah tinggi melebihi 150/100.
Kami tak sedar pun sebab tak ada tanda-tanda seperti sakit kepala, pening dan sebagainya. Cuma saya mengalami sedikit loya kerana tersilap makan sehari sebelumnya, lalu muntah selepas waktu maghrib. Mungkin itulah puncanya bacaan naik sedangkan saya dah makan ubat.

Di dalam Wad 9, saya ditempatkan sebilik dengan Latifah, ibu kepada 9 orang anak. Anak-anaknya berderet seperti tangga; antara umur 2 tahun sehingga 17 tahun. Dia sudah cukup bulan, menunggu masa untuk melahirkan anak ke-10.Masalahnya kepala bayi masih belum turun sedangkan dia sudah mengalami sedikit pendarahan. Doktor bertugas asyik bertanya kepadanya sama ada sudah mengalami sakit hendak bersalin. Mereka risau dengan keadaannya kerana pintu rahim sudah buka beberapa sm.
Saya kagum dengan ketabahan Latifah mengharungi hari-hari menjelang kelahiran anaknya seorang diri di wad. Suami yang sibuk dengan 9 orang anak di rumah tidak sempat menjenguknya di hospital. Dia dikira keluarga sederhana saja, lagipun anak-anaknya ramai tentu memerlukan belanja tinggi.
Sudah ditakdirkan dia dipilih berkongsi bilik dengan saya kerana doktor risau saya mengalami komplikasi bila tinggal berseorangan dalam kubikel. Berada dalam bilik khas Kelas 1 ni sedikit sebanyak dapat mengurangkan stres melihat pesakit lain dikerumuni ahli keluarga pada waktu melawat, juga membolehkan kami mengerjakan solat asar serta maghrib tanpa gangguan pelawat.

Pengalaman-pengalaman saya semasa di Wad 9 selama mengandungkan Ikram dan adiknya mengingatkan saya akan kekuasaan Allah swt. Allah swt telah berfirman, maksudnya:
Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. [AQ: As-Syura: 49-50]

Alhamdulillah, saya dibenarkan keluar wad pada petang tadi. Kasihan pula pada Fatimah; dia masih dalam rawatan hospital kerana disyaki mengidap kencing manis sebab mengandung.
Latifa pula masih belum tentu bila akan melahirkan anaknya.
Semoga Allah swt permudahkan untuk mereka dan semoga mereka mendapat anak-anak yang soleh.. ameen.
InsyaAllah saya pula akan kembali ke Wad 9 pada 2 minggu lagi untuk kelahiran anak kedua.

Monday, June 20

DIA YANG DI PINTU PAGAR

"Assalamualaikum..."
Saya terkejut. Cepat-cepat mengintai dari celah baju-baju yang telah disidai di depan rumah.
Alamak! Ada seorang lelaki di depan pintu pagar. Nampak gaya seperti seorang pengutip derma.
Saya pula masih tercegat di tepi ampaian, dengan selonggok baju-baju yang perlu disidai. Seperti biasa, aurat memang dijaga ketika di luar rumah tetapi hati masih berasa kurang selesa dengan kehadiran si dia itu di depan pintu pagar.Jiran-jiran pula sama ada berada di dalam rumah yang pintunya bertutup rapat ataupun telah keluar. Maklumlah, petang hujung minggu.
"Waalaikumussalam," saya menjawab ringkas. "Ada apa hal?"
Lelaki berbaju putih itu masih berdiri di situ.
"Saya sedang mengutip derma untuk anak yatim Myammar," katanya.
"Tolong letakkan nama dan risalah encik dalam peti surat saya. Nanti suami saya baca," saya memberikan cadangan. Cuba mengelak daripada menghampirinya.
"Maaf, saya tak ada kertas lain. Saya buat kutipan terus. Ini surat dari Jabatan Agama dan gambar kami" katanya pula seperti memujuk.
Saya intai-intai dari jauh. Hmmm, memang betul. Ada beberapa keping gambar seperti kanak-kanak Myammar. Ada sekeping surat kebenaran mengutip derma daripada Jabatan Agama Islam Kedah [Jabatan Agama Islam Kedah? Mengapa datang ke Pulau Pinang untuk kutip pula? Mana surat kebenaran dari MAIPP?] Saya diamkan sahaja isu itu.

"Maaf ya, suami saya dalam rumah. Nanti saya panggilkan dia," saya memberitahunya.
Terus saya masuk ke dalam rumah lalu memberitahu suami tentang kehadiran lelaki tersebut.
"Mana? Tak ada pun," suami pula bersungut sebab diganggu rehatnya.
"Eh, tadi ada. Lama dia di depan pintu pagar rumah kita."
"Dah lari," kata suami.
Sah dia dah tak di kawasan rumah kami. Mungkin sudah beredar ke blok lain.

Hmmm... saya akui, saya memang tak selesa setiap kali didatangi pengutip derma yang beroperasi dari rumah ke rumah. Jikalau tak dengar panggilan mereka, dikira selamat. Namun seperti tadi, ketika saya sibuk dengan kerja rumah di halaman rumah, susah untuk mengelak. Tambahan apabila mereka sudah tercegat di depan pintu pagar dan nampak kelibat saya.
Hampir setiap bulan ada sahaja orang yang datang ke rumah mengutip derma. Agaknya mereka menganggap kawasan rumah saya yang dua tingkat itu rumah orang kaya.
Pernah saya didatangi lelaki warga asing yang katanya mengutip derma untuk orang Palestin. Pernah didatangi wanita dengan kanak-kanak perempuan dengan alasan mengutip derma untuk surau di negeri lain. Hairan, tak pernah pula ada yang mengutip untuk kawasan berdekatan.
Saya paling tak selesa apabila mereka enggan beredar dari pintu pagar selagi saya tak layan mereka. Namun jikalau saya hampiri, takut pula ada niat buruk di sebalik penampilan mereka. Tambahan lagi apabila saya berseorangan dengan anak kecil di rumah. Oleh itu, saya memilih untuk tidak menjawab salam mereka jika saya berada di dalam rumah [setahu saya, jika salam tidak dijawab sebanyak 3 kali, orang itu perlu beredar]. Jikalau saya sudah berada di depan rumah, saya akan minta mereka memasukkan risalah ke dalam peti surat rumah sahaja. Bukan kerana tak bersimpati dan tak mhu tolong, tetapi demi keselamatan diri saya sendiri. Zaman sekarang ini, apa-apa sahaja boleh berlaku. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

Satu alasan lagi, saya tidak suka memberi derma di depan pintu pagar rumah, lebih-lebih lagi kepada lelaki yang tidak dikenali. Tidak sesuai bagi seorang wanita tambahan yang bergelar isteri dilihat berduaan di depan rumah dengan seorang lelaki bukan mahram, walaupun lelaki itu hanya bertindak sebagai pengutip derma. Ia boleh mengundang fitnah. Tetapi mereka yang datang tanpa diundang itu [lelaki] pula seolah-olah tidak memahami ataupun sendiri tidak kisah, memanggil-manggil dengan suara yang kuat.

Mengapa mereka perlu mengutip derma dari rumah ke rumah?
Sekiranya amat perlu, boleh sahaja serahkan risalah, nombor akaun bank dan borang kutipan kepada pihak organisasi, surau atau masjid supaya lebih ramai umat Islam yang ikhlas mahu menderma dapat berbuat demikian. Mungkin ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapatkan kembali kutipan derma tetapi bukankah itu lebih selesa dan mudah jika dibandingkan dengan susah payah berjalan dari rumah ke rumah, memanggil tuan rumah dan meminta belas orang sambil berdiri di bawah panas terik matahari?
Derma ekspres? Hasilnya tentu tak seberapa.
Kasihan juga melihat mereka yang datang itu berpeluh-peluh di bawah sinar terik matahari tetapi keselamatan sendiri masih perlu diutamakan. Lebih-lebih lagi saya seorang wanita.
Kata suami, daripada menanggung pelbagai risiko melayan mereka yang berdiri di depan pintu pagar rumah itu, lebih baik memberikan derma terus ke tangan badan kebajikan yang memerlukan seperti rumah anak yatim, surau atau sekolah tahfiz yang kita tahu kewujudannya.

Tuesday, June 14

Ceramah dan Projek Quran anjuran IPSI


ceramah di Masjid Batu, Kpg Pertama, Jalan Permatang Pauh.. 25 June. Maaf gambar kabur.





Thursday, June 9

SEHELAI TUDUNG, SEKOTAK KURMA

Aliya berjalan dengan tergesa-gesa ke perhentian bas di hadapan asramanya.
Ahh, ramai sekali mereka yang sedang menunggu bas komunter universiti.
"Nampaknya kena berdiri lagi la," Aliya mengeluh sambil mendekati kawan-kawannya yang sudah terpacak di situ.
Mereka senyum sambil memberi isyarat padanya supaya menyertai mereka.
"Aliya, kami ada sesuatu untuk awak," kata Ana sambil menghulurkan sebuah bungkusan kecil.
"Oh. terima kasih," Aliya terkejut kerana tidak menyangka akan menerima hadiah daripada kawan-kawannya.
"Hadiah apa ni?" Aliya cuba mengagak. Dia membelek-belek bungkusan yang kemas berbalut dengan kertas pembalut hadiah.
"Bukalah, sesuatu yang Aliya boleh guna," kata Izzah pula.
Aliya mengoyak bungkusan itu dengan berhati-hati.
"Oh, cantiknya.. terima kasih. Cantik!"
" Ikhlas daripada kami bertiga," Izzah menganggukkan kepalanya sambil memandang wajah Ana dan Julia.
"Terima kasih."
"Tanda selamat datang kepada saudara kami yang baru," ujar Julia pula.
Aliya terharu. Dia hanya mampu menguntumkan senyuman pada ketiga-tiga kawannya. Tudung kuning lembut daripada kain kapas itu dibeleknya sekali lagi. Dia tunduk untuk menahan dirinya daripada menangis kerana terlalu gembira. Dia tidak pernah menyangka sama sekali bahawa mereka akan memberikannya hadiah sebegitu. Sehelai tudung mungkin tidak begitu berharga untuk seorang Muslimah yang lahir dalam keluarga Islam tetapi bagi Aliya yang baru memeluk Islam dan baru membeli beberapa helai tudung untuk menutup aurat, tudung yang diterimanya itu amat bernilai sekali.
"Syukur alhamdulillah," Aliya berasa amat bahagia.

Ramadhan sudah menjelang tiba. Aliya sibuk menyiapkan dirinya untuk berpuasa. Kini dia bebas menunaikan Rukun Islam yang ketiga. Dia tidak perlu bersembunyi lagi ketika berpuasa.
Aliya sedang menunggu giliran untuk membeli makanan di kafe untuk berbuka puasa. Syukur, pelanggan belum begitu ramai. Kelihatan Elise dan Gina, dua kawannya yang bukan Islam sedang berbual-bual di meja makan.
"Aliya, marilah sini," ajak Elise.
"Apa khabar? Dah makan?" Aliya menegur kawan-kawannya yang tidak berpuasa.
"Dah kenyang," mereka senyum.
"Aliya, ini untuk awak," Elise menghulurkan sekotak kurma kepada Aliya.
"Untuk saya?" Aliya terkejut.
"Untuk awak berbuka puasa," kata Gina sambil senyum pada Elise. Nampaknya mereka sudah berpakat memberikannya hadiah itu.
"Oh, thanks a lot," Aliya hanya mampu mengucapkan terima kasih.
"Enjoy it. Selamat berbuka puasa nanti," Elise dan Gina bangun dan beredar dari situ.
MasyaAllah, kawan-kawannya yang bukan Islam itu pula yang menghadiahkan dia kurma untuk berbuka puasa. Aliya tidak mampu untuk berkata-kata. Dia hanya tersenyum pada kedua-dua kawannya sambil memegang kurma sekotak itu.
"Bagaimana mereka berdua tahu saya berbuka puasa dengan kurma?" Aliya hairan. Dia tidak pernah melihat kawan-kawan bukan Islam menghadiahkan kurma kepada Muslim yang berpuasa sebelum itu. Malah tidak pernah terdetik dalam hatinya untuk melakukan sedemikian.
"Baiknya Elise dan Gina," katanya dalam hati.
Setibanya di bilik asrama, Aliya segera membuka penutup kotak kurma berjenama Yusof Taiyob itu dengan berhati-hati. Itulah kali pertama dia membuka sekotak kurma yang berjenama. Dia tidak pernah makan kurma Arab sebelum bergelar Muslimah. Malah semenjak memeluk Islam pun, kurma yang biasa dimakannya dibeli secara pukal di pasar Ramadhan.
"Banyaknya.. alhamdulillah cukup untuk saya makan sebulan ni."
Berbuka puasa pada hari itu sungguh istimewa. Aliya dapat merasai keenakan kurma yang jarang-jarang dijamahnya sebelum itu. Kurma itu juga dikongsi dengan rakan sebiliknya.
Sambil makan, Aliya tersenyum. Lucu. Siapa sangka bahawa orang bukan Islam yang akan menghadiahkannya, seorang mualaf Islam, sekotak kurma untuk berbuka puasa dan bukan saudara seagamanya sendiri?
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Semenjak hari itu, Aliya menjadi penggemar kurma. Dan setiap kali dia makn, dia pasti teringatkan Elise dan Gina.

Monday, June 6

ISTERI SOLEHAH ATAU ISTERI TAAT SUAMI?

"You tau tak, kawan saya yang baru kahwin, suaminya dahsyat sungguh, harimau.. sampai dia kena kunci diri dalam tandas," Sally [bukan nama sebenar] beritahu saya.
"Haaa? Mengapa kunci dalam tandas?" saya ternganga.
"Haiyah.. itu pun tak tau mehh? Suaminya mau lebih satu kali la sehari, dia tak tahan looohh!"
"Ohhhh... dia tak boleh tolakkah?"
"Mana boleh? Dia kata isteri tak boleh tolak kehendak suami, sebab tu dia terpaksa kunci diri dalam tandas sebab takut tak larat layan suami," Sally membeliakkan matanya.
Saya angguk, tanda faham. Gosip-gosip sensasi dalam bilik guru sebagai penghilang stres memang menarik. Saya yang ketika itu masih belum Islam, tertarik dengan teori yang dikemukakan oleh Sally. Isteri tak boleh tolak kehendak suami yang nak seks ? Itu ajaran Islamkah? Kalau begitu, seronoklah suami yang beragama Islam. Boleh demand bila-bila dan isteri pula tak boleh tolak. Tapi... mengapa masih ada suami Melayu yang pasang teksi di luar rumah atau kahwin lain?
Isu itu juga antara sebab saya tertarik mencari jawapan melalui pembacaan buku-buku Islam.
Lepas selidik dan baca, barulah saya tahu rupa-rupanya Islam itu adil, dan bukan meminta isteri sekadar memenuhi kehendak seks suami sahaja! Suami pun ada tanggungjawab dan peranan dalam rumahtangga. Banyak lagi perkara dalam perkahwinan Islam seperti dinyatakan di sini.

Sehari saya sibuk uruskan anak dan sibuk marking esei pelajar [antara kerja rutin saya yang paling liat nak dibuat sebagai guru bahasa] saya tak sempat nak baca berita semalam
Tadi saya dihubungi melalui emel tentang isu Kelab Isteri Taat yang baru ditubuhkan. Hmmm, dengar nama pun gerun, hehehee.
Kelab Isteri Taat? Oooo, semak punya semak secara online, rupa-rupanya pengasasnya bekas ahli al-Arqam. Patutlah komen-komen yang diberikan tentang kewajipan isteri pun lain macam saja.

Mengapa dinamakan Kelab Isteri Taat?
Mengapa tidak diberi sahaja nama yang lebih bersifat neutral atau universal seperti Kelab Isteri Solehah atau Kelab Isteri Penyayang ?
Pelik bukan? Nak diketengahkan istilah taat pula...
Publisiti? Fuhhh, bukan main heboh lagi dalam internet tentang penubuhan kelab ini terutama di akhbar luar negara.

Baca punya baca akhbar online... ahhh, dah faham.
Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan "objektif penubuhan kumpulan " Global Ikhwan berkenaan sebagaimana yang dilaporkan di the Star. Tidak dinafikan bahawa akhbar the Star ini suka sensasikan berita-berita tentang Islam tetapi jawapan yang diberikan oleh penubuhan tersebut ternyata agak keterlaluan dalam definisikan tugas dan tanggungjawab para isteri beragama Islam. Saya semak dalam akhbar lain, betullah yang dilaporkan dalam the Star. Tak terpesong atau sengaja disensasikan pun. Memang itulah matlamat kelab itu, yang dikatakan menjadi pelengkap kepada kelab berpoligami.

Hmmm, memang isteri perlu taat pada suami tetapi taat yang mesti seiring dengan ajaran Islam. Bukan taat secara membuta tuli. Taat dulu kepada Allah swt, lalu ketaatan itu dijanakan pula dengan tingkahlaku taat kepada suami.
Tapi..taat suami dalam segala hal sehingga boleh disebut begini oleh timbalan ketuanya? Saya quote: “Ditanya mengenai jika isteri didera, adakah isteri masih lagi perlu mentaati suami, Rohaya berkata, seorang isteri perlu taat kepada suaminya dan juga membenarkan suaminya berpoligami kerana itu merupakan fitrah seorang suami.
“Seorang isteri perlu menjadi seorang isteri yang baik sampai bila-bila. Jika apa yang terjadi padanya sebagai contoh didera, mereka perlu memikirkan bahawa ini adalah ujian dari Allah kepada mereka.
“Setiap apa yang jadi ada hikmahnya. Seperti kisah Firaun dan Asiah. Firaun suami kepada Asiah dan dia mengaku dia itu Tuhan. Tetapi, akhirnya Asiah masuk ke syurga,” katanya.

Huh, diizinkan isteri didera seperti Asiah dan disuruh bersabar kerana itu ujian daripada Allah? Tak dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan supaya deraan itu segera dihentikan? Maaf la, tapi pada pengetahuan saya, itu bukanlah sebagaimana yang diajar dalam Islam! Bersabar memang perlu bersabar tetapi bukan bersabar sehingga dicederakan/dibunuh seperti Asiah didera Firaun.

Satu lagi, mengapa bandingkan layanan isteri dengan pelacur? Apa pula ni? Kalau itu juga yang nak diajar kepada para ahli kelab pun, mestikah diketengahkan sebegitu dalam temuramah? Ada udang di sebalik mi?
Adakah patut dikatakan bahawa para isteri Muslimah perlu melayan suami lebih baik daripada pelacur, quote: seperti pekerja seks kepada suami? [isteri dikahwini secara sah, ada maruah laaa]. Pelacur layan kerana wang, isteri layan kerana kasih sayang. Satu kegiatan haram yang dilanat Allah, satu digalakkan malah mendapat pahala di sisi agama. Mana boleh dibandingkan langsung? Isshhh, ishhh, ishhh..[bo-lo punya olang yang cakap itu macam].
Lagipun, jika ada orang yang berani samakan layanan saya kepada suami perlu seperti pelacur kelas pertama, saya tak akan teragak-agak sepak teranjang dia dan halau dia dari rumah saya. Maruah saya [dan layanan ] sebagai isteri tidak boleh dibandingkan dengan layanan seorang pelacur.
Islam telah meletakkan status wanita dan isteri di tahap tinggi, mengapa ada wanita Islam sendiri pula yang mahu jatuhkan maruah isteri Muslimah dengan perumpamaan begitu?

Isteri acuan al-Quran taat pada suami yang soleh, bukan secara membabi buta.
Dalam Islam, juga wajib bagi suami melayan isteri dengan baik dan memenuhi hak-hak isteri seperti yang dilakukan oleh Rasulullah saw, dan tiadapun disuruh isteri bersabar sahaja apabila didera suami. Isteri Muslimah bukanlah pekerja seks kepada suami tetapi pembantu rumahtangga dan pendidik anak-anak suami. Islam meletakkan status isteri dan ibu di tahap tertinggi, mengapa pula kita nak samakan Muslimah dengan pekerja seks? 

Suami akan cari pelacur di luar/bercerai jika gagal dapat layanan first class la pelacur di rumah? Hello kawan, lelaki Muslim bergelar suami bukan semua begitu laa... kalau adapun, saya percaya bilangannya tak sampai 10%. Dari tinjauan dan komen-komen yang saya dengar sendiri dari mulut manusia bergelar lelaki dan suami, isteri yang hebat seks hanyalah sebagai ising/bonus sahaja dalam satu perkahwinan. Yang mereka perlukan bukan sahaja sebagai teman di katil, tetapi lebih penting lagi teman berbicara, berkongsi masalah dan penyokong kuat kepada impiannya, dan penghibur di kala suka dan duka. Wanita baik yang cintakannya, yang dia boleh 'kongsi minda, emosi dan segalanya' di dunia sementara ini, serta yang menjadi ibu terbaik kepada anak-anaknya. Wanita yang tidak akan lari ketika dia ditimpa kecelakaan, yang taat mengerjakan suruhan agama, serta yang hormat pada ibubapa suami serta berbaik dengan ahli keluarga suami. Itulah yang dicari-cari oleh setiap lelaki yang mahu bergelar suami.


Kini timbul pula group dalam FB yang menentang penubuhan/falsafah Kelab ini. Ada yang menuduh group FB itu tidak patut cuba campur tangan dalam hal agama Islam.
Tapi saya berpendapat tak perlulah kita orang Islam marahkan nonMuslim itu kerana komen mereka. Kita sendiri [walaupun bukan jari atau mulut kita sendiri tetapi saudara seagama] yang memberi peluang untuk mereka bersuara. Bukankah kita sendiri yakni Kelab Taat Suami itu sendiri yang menimbulkan isu itu? Lagipun group FB itu ditubuhkan bukan untuk menghina Islam/campurtangan dalam hal peribadi islam, cuma memberi pendapat masing-masing dalam group itu sendiri. Tak gaduh pun dengan orang Islam lain. Lagipun mereka sendiri sedar bukan semua orang Islam berpendapat sama dengan ahli Kelab T.S itu.
Quote dari group FB ini: Global Ikhwan and the OCW do not represent the whole community of Islam in Malaysia.
Ok, bagus.. ada nonMuslim yang sedar juga.


Perlu diingat, kumpulan Global Ikhwan itu sendiri yang menggalakkan orang nonMuslim untuk memandang rendah pada institusi keluarga Islam dengan cara mereka promosikan kelab itu. Jikalau anda seorang nonMuslim yang tak faham tentang ciri-ciri isteri solehah, mungkin anda juga akan percaya itulah yang diajar dalam Islam. Perlu taat pada suami dalam apa jua keadaan?Tak dinyatakan pula apa tanggungjawab dan peranan suami dalam rumahtangga.

Hmmm, orang ramai perlu sedar bahawa bukan semua teori yang diperjuangkan oleh kelab itu adalah 100% seperti dalam ajaran al-Quran dan Hadis. Nampak seperti ada sedikit terpesong.

Seorang isteri acuan Islam seorang isteri yang solehah, bukan setakat taat pada suami. Hebat di ranjang, itu bergantung pada pasangan tersebut juga. Kepuasan seks memang perlu tetapi itu bukanlah sebab utama orang Islam berkahwin. Perkahwinan adalah satu ibadah, dan bernikah itu juga untuk mendapat keredhaan Allah dan mendapatkan zuriat. Bukan kerana mahu layanan seks semata-mata. Banyak yang boleh diterangkan oleh Global Ikhwan tetapi pelik bin ajaib, mengapa seks juga yang diketengahkan dalam laporan berita? Komen yang diberikan oleh pertubuhan itu pula kurang sesuai untuk bacaan umum. Tak tahukah mereka bahawa segala komen itu hanya akan mengundang komen negatif terhadap suami beragama Islam dan agama Islam secara am? Atau adakah itu perhatian yang mereka idamkan?

Mana boleh salahkan isteri bila berlaku gejala sosial?
Suami tak ada tanggungjawabkah?
Lagipun, bukan semua gejala sosial yang melibatkan suami orang adalah kerana isteri 'lemah' di ranjang. Banyak hal lain lagi yang terlibat.
Mungkin selepas ini, mudahlah si suami yang mahu pasang spare saja, memberi alasan layanan dingin isteri sebagai punca mereka meliar di luar?
Mungkin selepas ini, si anak yang membaca akhbar berita akan menganggap perkahwinan hanya perlukan isteri layan suami dengan layanan 1st class di ranjang?
Mengapa ada wanita Islam sendiri yang suka menyalahkan para wanita dan isteri seagama untuk setiap kesalahan rumahtangga dan semua gejala sosial, sedangkan suami tidak disabitkan sama, seolah-olah suami tidak ada peranan dalam keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga?
Sukakah si suami beragama Islam jika layanan isteri anda di ranjang disamakan dengan seorang pelacur? Layanan ibu anda dan adik beradik anda juga perlu disamakan dengan layanan pelacur kelas pertama terhadap suami masing-masing? Itukah itu doktrin yang akan disampaikan juga kepada anak dara anda yang bakal berkahwin nanti, bahawa perlu layan suami dengan 1st class treatment di ranjang, bersabar saja walaupun dia sendiri didera? Hahhh, itulah yang hendak diterapkan kepada anggota kelab taat suami. Tak percaya, baca semula berita tersebut.

Aduh...
Kasihan lelaki Islam bergelar suami, nooohhh. Sebab saudara sekarang akan dilihat oleh sebilangan nonMuslim sebagai lelaki yang tak dapat mengawal nafsu [ tak taulah jikalau isteri layan sehebat pelacur di rumah atau tak... ]:P
Kasihan isteri yang bergelar isteri berpoligami. Sebab saudari mungkin akan dilihat sebagai isteri yang kurang hebat melayan suami di ranjang, sebab tu suami kahwin lagi [sebenarnya teori ni salah laaa]. Jika suami tak ada kehendak, takkanlah Allah hadkan seorang suami hanya 4 isteri. Ramai suami yang tak tambah kuota bukan tak ada keinginan itu, tetapi lebih takutkan hukuman Allah kepada suami yang gagal berlaku adil.

Terima kasih nooohhh kepada Global Ikhwan Sdn Bhd, korang bukan sahaja berjaya ditubuhkan bahkan menambahkan kekusutan dalam masyarakat Islam Malaysia yang sudahpun kusut hari ini...dan menambahkan beban kepada kami yang sedang berusaha berdakwah kepada masyarakat nonMuslim apakah itu ajaran Islam acuan al-Quran.
Kamu juga secara tidak langsung menyebabkan agama Islam semakin dikutuk dan dipandang rendah oleh penganut agama lain, sebab nonMuslim yang tidak faham Islam hanya akan kaitkan 'perjuangan' korang dengan sexism.

Thursday, June 2

BUKAN SALAH SEORANG SAJA

Pilu. Sedih. Membayangkan sekiranya anak sendiri yang diperlakukan begitu.
Terkejut bila membaca berita tentang bayi baru lahir yang pecah kepalanya kerana dicampak seperti sampah dari pangsapuri. Kasihan anak kecil yang baru melihat dunia, terus dibunuh dengan cara yang kejam. Tapi Allah swt yang menentukannya;, mungkin ada hikmahnya untuk kita yang masih hidup. Dia lebih menyayangi bayi kecil itu.
Syukut kita yang membaca tidak berada di tempat kejadian. Tentu hiba dan meleleh air mata melihat mayat itu. Saya tak dapat membayangkan bagaimana perasaan ibu yang telah melahirkannya. Sedarkah dia bahawa anak yang dikandung dalam perut selama 9 bulan itu telah mati dibunuh? Mungkinkah dia sendiri yang melakukannya atau orang lain yang berada di sampingnya?
Bukan itu saja kes buang bayi yang dilaporkan di muka hadapan akhbar dewasa ini.
Saya jadi malas nak baca akhbar terutama akhbar berbahasa Melayu sekarang. Bukan apa, tak tahan bila baca tentang kes terbaru pembuangan bayi di muka depan akhbar.Apa dah jadi dengan masyarakat kita bila anak kecil yang tak berdosa pun diperlakukan seperti itu? Binatang hatta harimau pun tak makan anaknya sendiri.

Kita sering menyalahkan si ibu sebagai orang yang kejam dan zalim kerana sanggup membiarkan anak sendiri mati. Malah ada pula sanggup membunuh anak kecil yang baru lahir itu dengan kedua-dua tangannya sendiri. Lupakah kita siapa yang menyebabkan lahirnya anak itu? Bukan dengan seorang wanita sahaja maka akan wujudnya seorang bayi yang putih bersih. Tentu juga ada si bapanya, yang jarang-jarang orang awam perkatakan. Seringkali menuding jari kepada si wanita yang mengandung serta melahirkan anak itu. Apa pula tugas dan tanggungjawab si bapa? Mana pergi si bapa yang bertanggungjawab membuntingkan si ibu itu?

Kes pembuangan bayi boleh berpunca daripada pelbagai sebab dan masalah. Antaranya adalah kerana kemurungan dan dilema yang dirasai si ibu selepas bersalin. Tambahan bila bayi itu adalah anak di luar nikah yang bakal memalukan keluarga si ibu. Kehamilannya telah berjaya dirahsiakan daripada pengetahuan orang lain termasuk keluarganya. Nak terus dibela dan dibesarkan bayi itu mungkin akan menimbulkan masalah baru, kerana statusnya yang belum berkahwin. Anak yang tidak berdosa itu akan didaftar tanpa nama si bapa, dengan status bapa 'Tidak Diketahui'.

Saya percaya, 99% juga si ibu tidak pernah mendapat rawatan dan penjagaan ante-natal di klinik kesihatan, kerana setiap wanita yang mengandung perlu memberikan salinan surat nikah semasa mendaftar untuk rawatan antenatal. [jika anda berstatus mengandung luar nikah, beranikah menebalkan muka pergi ke klinik setiap bulan dan dengar komen kurang enak daripada jururawat di sana ?] Bila nak bersalin di hospital dan ketika mendaftar untuk membuat surat beranak juga begitu, perlu sediakan salinan surat nikah. Bukankah semua prosedur itu memberi tekanan hebat kepada si ibu yang telah diabaikan/ditinggalkan oleh bapa bayi yang dikandungnya [dan juga mungkin telah dihalau oleh keluarga senfdiri].
Pegawai bertugas di jabatan kerajaan hanya menjalankan tugas ikut prosedur. Malah ada ibu yang memberitahu saya, ketika mengerang sakit nak bersalin, ada pula jururawat bertugas di bilik bersalin komen," Masa buat syok bukan main lagi, masa nak beranak menjerit macam nak mati..."

Masyarakat Melayu kita pula masih kuat dengan pegangan adat. Saya pernah dengar orang tua-tua berkata bahawa anak luar nikah itu akan mewarisi sikap dan perbuatan ibu yang melahirkannya selama 7 keturunan, sebab itu mereka selalu menyiasat betul-betul asal-usul keturunan bakal pengantin. Mereka menghina wanita yang berzina itu termasuk anaknya sekali. Tak pastilah sama ada kepercayaan itu masih diamalkan tetapi bukankah itu juga merupakan satu sebab mengapa masyarakat kita bersikap begitu negatif terhadap status anak luar nikah? Ramai yang mulut lancang mengata itu ini bila tahu si anak itu anak angkat/luar nikah seolah-olah anak itu juga menanggung dosa ibu bapa kandungnya,  padahal jika ikut ajaran Islam betul-betul, setiap anak yang dilahirkan itu putih suci dan tanpa sebarang dosa.

Saya sendiri pernah dilanda kemurungan selepas melahirkan Ikram dulu. Alhamdulillah ia tidak lama tetapi tempoh itu walaupun seketika saja sudah boleh membahayakan diri saya dan anak. Saya dihentikan pengambilan ubat darah tinggi atas arahan doktor pelatih di hospital sejurus selepas bersalin, sedangkan saya dilabelkan sebagai pesakit essential hypertension oleh pakar O&G. Kerana mahu mengawal bacaan tekanan darah itu juga supaya saya tidak dimasukkan ke dalam wad, saya ambil sendiri ubat yang masih berbaki dari masa saya mengandung, tanpa mengetahui bahawa ubat methodolpa itu boleh menyebabkan kemurungan jika tidak mengandung. Akibatnya saya tertekan dengan keadaan saya yang kurang sihat dan terpaksa menjaga bayi kecil seorang diri terutama pada setiap malam. Sokongan moral daripada suami pula kurang ketika itu kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai hal. Pernah beberapa kali hampir-hampir menyebabkan kecederaan pada Ikram yang masih merah itu tapi alhmdulillah, mungkin berkat doa semua dan iman yang masih kukuh, saya berjaya mengawal diri. Jikalau tidak entah apa yang mungkin berlaku. Itu pun baru untuk seketika kerana selepas mengadu kepada doktor pakar di hospital semasa rawatan susulan, barulah saya diberikan ubat yang sesuai untuk mengawal hypertension saya itu. Bayangkanlah sekiranya ada ibu tunggal yang baru melahirkan anak dan di dalam keadaan sangat tertekan dibiarkan berseorangan dengan bayi kecil tanpa sokongan keluarga dan rakan-rakan, dengan pengetahuan agama yang barangkali cetek, apakah kemungkinan yang boleh berlaku. Eeee, tak berani bayangkan.

Baru-baru ini, saya terima mesej daripada seorang kawan, Ana yang juga sarat mengandung dan ada 2 anak kecil di rumah. Dia mengadu bahawa suaminya ugut akan memberikan anak-anak mereka kepada orang lain untuk dijadikan anak angkat jika Ana dimasukkan ke dalam wad atau ditimpa kecelakaan. Sebab suaminya tidak mahu menjaga anak-anak mereka yang aktif itu dengan alasan banyak lagi tugas lain yang memerlukan komitmennya. Alasan lain diberikan adalah suami itu sendiri tidak mampu membesarkan anak-anak mereka seorang diri, walaupun dia menyayangi mereka. Kasihan Ana. Dah la dia itu tanpa keluarga kandung yang dapat membantu.
Saya tak salahkan Ana kerana mengadu. Dia tertekan dengan sikap lepas tangan suaminya. Saya tahu dia seorang ibu yang baik, anak-anaknya sihat dan ceria, malah suaminya pula kelihatan baik dan peramah. Tak sangka pula ada suami yang nak anak tetapi tak mahu menjaga anak-anak itu sendiri ketika isteri sakit. Sanggup ugut untuk berikan kepada orang lain. Si isteri pula sanggup bersusah payah membesarkan anak-anak dan membantu suami menguruskan perniagaan. Saya pula tak dapat nak tolong Ana, sebab sendiri pun bakal menyambut anak baru. Saya juga harap Ana tak akan buat perkara bodoh semata-mata kerana tiada sokongan suaminya itu.
Semoga Allah swt memberikan kekuatan kepada Ana dan menyedarkan suaminya akan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya itu. Ada juga suami yang begitu mudah mahu lepas tangan jika berlaku kecelakaan pada si isteri, ya? Jika bergaduh pun, tak usahlah sampai begitu sekali. Wallahu'alam.