Wednesday, April 27

BENGKAK

"Anak saya yang Tahun 1 tu jatuh di sekolah," kata Cikgu Hasni [bukan nama sebenar] dengan wajah suram.
"Bila? Dah ok?" kami mula bertanya. Maklumlah dia kelihatan amat sedih. Kasihan pula bila melihat Cikgu Hasni yang sentiasa ceria itu berkeadaan begitu.
"Tak.. semalam dia jatuh depan sekolah selepas waktu balik. Dia dipapah oleh kawan-kawannya ke kereta. Terkejut suami bila nampak anak sulung tu dengan air matanya meleleh. Bila balik ke rumah dan buka seluar sekolah, kakinya dah bengkak. Terus suami urut dengan minyak. Ingatkan elok pagi ni tapi nampak ada lebam-lebam di kaki dia jadi suami bawa ke klinik."
"Apa kata doktor?"
"Suami dah hantar ke hospital, Katanya doktor kata teruk, mungkin ada blood clot, takut nanti bernanah jadi doktor kata kena masuk wad. Suami suruh temankan tapi saya segan nak minta keluar.. dah saya baru cuti sakit 2 hari lepas.."
"Pergilah.. ni kes anak sakit, kecemasan, tentu suami dan anak perlukan awak di hospital," nasihat Cikgu Lee [bukan nama sebenar].
"Ya la, minta kebenaran pengetua. InsyaAllah dia izinkan. Kelas tu, tak pa, saya free, saya boleh ganti awak nanti," saya yan kebetulan baru balik dari klinik turut menggalakkannya.
"Ya, kelas 4M pula nanti saya masuk," kata Cikgu Lee.
Dengan wajah penuh kesyukuran, Cikgu Hasni segera meninggalkan bilik guru.

"Kasihan ya," komen Cikgu Sarah sejurus selepas Cikgu Hasni keluar.
"Ya.. sebenarnya bila bengkak, tak boleh urut terus.. kena periksa betul-betul dulu. Buat cold compress, letakkan ais yang dibalut dengan kain sehingga bengkak tu surut," kata saya berdasarkan pengetahuan pertolongan cemas yang dipelajari.
"Oh, tak boleh urut ker?" tanya Cikgu Sarah.
"Kesilapan kita selalu, kita suka urut bahagian yang bengkak sebab begitulah cara tradisional. Sebenarnya doktor tak bagi sebab boleh memudaratkan lagi kecederaan yang sedia ada.. sebaik-baiknya letakkan kain yang berbalut ais dulu pada bengkak sehingga bengkak tu surut, kemudian periksa sama ada bahagian itu boleh digerakkan dengan selesa.. takut ada tulang retak atau patah."
Saya teringat pengalaman saya ketika sedang menuntut di USM dulu. Terjatuh dan buku lali kaki kanan bengkak. Saya terpaksa memakai bandage khas [jenis socks] yang dibeli di farmasi selama 2 minggu untuk keselesaan dan bagi mengelakkan bengkak itu bertambah teruk. Doktor pula memberikan minyak sapu khas dan ubat pil untuk mengurangkan bengkak dan mengurangkan kesakitan pada urat kaki. Saya dilarang mengurut luka itu walaupun selepas bengkak itu surut. Alhamdulillah, kesakitan beransur hilang dan kaki pun sembuh seperti sediakala selepas 2 minggu.

"Macam mana anak?" kami bertanya selepas bertemu semula dengan Cikgu Hasni keesokan harinya.
"Doktor x-ray 2 kali semalam. Kata doktor, anak saya tu patah tulang, nampak dalam x-ray ada serpihan. Jadi kaki dah kena simen. Sekarang bapanya jaga dia di wad. Saya nak jaga susah, tak larat nak dukung dia yang berat 26 kilo tu dari katil ke tandas setiap kali nak buang air. Suruh guna bekas khas untuk membuang air kecil dia tak mau," jelas Cikgu Hasni.
"Sabarlah, Hasni.. insyaAllah, sembuhlah dia nanti."
"Bapanya menyesal kerana mengurut kakinya tempoh hari. Katanya kalau tak urut, mungkin tak teruk begini."
"Dah nak jadi, apa nak buat. Kita doakan agar anak tu cepat sembuh. Budak-budak ni, cepat sembuh berbanding kita orang dewasa."
"Harap-harap begitulah. Aduh, stres saya minggu ni."

Nota: Elakkanlah daripada mengurut luka [akibat jatuh/terhentak] yang sedang bengkak kerana mungkin kecederaan yang dialami lebih serius daripada yang disangka. Sebaik-baiknya lakukan cold compress dahulu dan jikalau ada masalah seperti sakit ketika menggerakkan kaki/tangan/jari, bawalah untuk x-ray di klinik atau hospital.
Semoga anak Cikgu Hasni cepat sembuh dan mereka sekeluarga tabah menghadapi ujian ini.

Monday, April 25

SEBAB ANAK

"Kena masuk wad," kata doktor yang bertugas sambil menulis semula dalam buku merah saya.
"Doktor, saya tak boleh masuk wad," saya merayu.
"Mengapa?" doktor wanita itu memandang saya.
"Anak saya takde orang jaga," air mata sudah bertakung."Suami saya outstation, esok baru balik"
"Betul tak ada orang jaga?Keluarga?"
"Keluarga pun jauh, tambahan bukan senang nak jaga anak berumur 11 bulan. Tolonglah doktor, bukan saya tak nak masuk wad tapi saya tak boleh."
"Tapi BP awak tinggi ni, 150/100.. tambahan awak tinggal seorang dengan anak kecil."
"Tak apa doktor, jika saya rasa lain, saya akan minta tolong jiran bawa ke hospital. Masa tu, berserahlah padaNya. Tapi saya tak boleh tinggalkan anak sekarang, lagi stres saya tinggal di wad dengan anak takde orang jaga."
"Anak di mana sekarang?"
"Ada di nurseri, kejap nanti saya kena pergi ambil balik."
"Cuba telefon kawan-kawan awak, tengok siapa boleh tolong jaga. Nanti saya buat surat untuk awak masuk wad."
Saya terpaksa akur. Tunggu lagi. Sudah beberapa jam saya ditahan di klinik kesihatan itu. BP 140/90. Jam 10.30 pagi saya dibawa berjumpa dengan doktor di bahagian pesakit luar kerana doktor bahagian kesihatan keluarga tidak bertugas pada hari Jumaat. Doktor itu tidak dapat membuat keputusan sama ada saya perlu diberi cuti rehat atau ditambah dos ubat darah tinggi. Lalu saya disuruh berehat di atas katil pesakit sehinggalah 2.45 petang.
"Saya nasihatkan awak pergi segera ke hospital bila dah selesai uruskan anak,"kata doktor itu kepada saya sekembalinya dari bilik lain.

Saya membuat keputusan untuk tidak ke hospital. Memang berisiko tinggi tetapi apa nak buat, di mana nak diletakkan Ikram? Lagipun bukan semudah dulu nak uruskan dia; dia dah kenal orang dan akan menangis jika didukung melebihi 5 minit oleh orang yang jarang dijumpainya. Tangisannya pula lama sehingga terbatuk-batuk; takut orang yang mendukungnya. Ummi ini jugalah yang menjadi sasaran jika Abahnya sibuk dengan urusan lain. Hanya pengasuh-pengasuh nurseri yang sudah biasa dikunjunginya yang masih boleh mendukungnya.

Alhamdulillah, jururawat datang menziarah selama 2 hari. Semalam datang ketika saya tidur maka tidak dapat berjumpa. Pagi tadi, ketika saya mandi. Kelam-kabutlah turun tangga walaupun suami yang telah balik dari outstation itu yang menyambut mereka. Bacaan BP masih kurang cantik Amaran pre-eklampsia diberikan.

Saya periksa semula buku merah lama, yang digunakan ketika mengandungkan Ikram. Hmm, saya telah disuruh makan ubat darah tinggi dengan dos yang lebih tinggi [500mg x 3 kali] mulai minggu ke18. Sekarang mengandungkan anak kedua, masih dengan dos rendah [250mg]. Memang la lebih baik makan dos rendah tetapi itulah, risiko BP naik dengan tiba-tiba juga lebih tinggi. 

Esok saya akan ke hospital. Memang ada appointment dengan doktor pakar mengikut jadual. Itu juga antara sebab saya malas nak ke wad pada Jumaat. Takut ditahan sehingga Ahad, kemudian disuruh pula ke hospital pada Isnin kerana ada appointment. Kasihan kedua-dua anak ni. Yang dah 11 bulan ni memerap terus seolah-olah takut ditinggalkan Umminya. Yang dalam perut pula menggeliat setiap kali mendengar abangnya bising. Risau juga dia lemas jika tak cukup oksigen apabila BP saya naik mendadak, tetapi saya hanya mampu berdoa agar semuanya selamat. Kata doktor memang betul, perlu dipantau kesihatan ni tetapi dalam apa juga keadaan, Allh swt juga yang Maha Berkuasa.

Pengetua baru pula dah mula bermasam muka apabila saya mohon kebenaran untuk ke klinik buat pemeriksaan berkala. Apa nak buat.. kalau mampu, saya pun nak berhenti bekerja sepenuh masa begini. Masa beginilah, tak suka berurusan dengan birokrasi dan pelajar nakal. Jikalau boleh, nak saja berehat di rumah, tak perlu stres menguruskan anak orang di sekolah.

Masalah penjagaan anak kecil juga masih belum selesai. Memang la, ibu seorang boleh jaga ramai anak tapi belum tentu bapa seorang mampu melakukan perkara yang serupa. Apa-apa pun, saya hanya mampu berdoa agar tiada lagi ujian yang Allah swt berikan kepada kami sekeluarga. Cukuplah sudah dengan segala yang berlaku. Tak larat rasanya nak tanggung yang lain pula. Letih.

nota: Jikalau lama tak online, ada masalah la tu.... harap faham dan tolong doakan.. terima kasih :)

Sunday, April 17

BANDING

"10 bulan belum berjalan lagi? Anak akak 9 bulan dah boleh berjalan."
Saya tersenyum.
"Takpa, tak lama lagi berjalanlah dia."

Ikram kelihatan cuba menolak stroller yang didudukinya supaya bergerak. Saya segera menolak stroller meninggalkan pintu pagar rumah jiran.
"Pergi dulu, kak."
Hmmm, baru 10 bulan tetapi sudah beberapa kali Ikram dibandingkan dengan anak-anak orang lain. Saya tak berapa suka sebenarnya tetapi apakan daya, sudah menjadi kebiasaan agaknya orang lain pula membandingkan perkembangannya dengan anak-anak mereka. Syukurlah Ikram belum faham perkara yang dibualkan; kalau dia faham, mungkin dia akan merajuk seperti umminya dahulu.

Perkembangan Ikram masih dikira normal. Pada usia 10 bulan, dia sudah boleh berdiri tanpa bantuan [walaupun tak lama]. Merangkak dengan cepat ke seluruh ruang tamu yang menjadi tempat mainannya. Memanjat tangga rumah dengan saya mengikut di belakang. Bertepuk dan mengangkat tangan mengikut arahan. Saya tak berinya guna walker lagi setelah walker yang digunakan dulu tercabut salah satu rodanya [kerana terlalu buas] InsyaAllah tak lama lagi, akan bertatihlah dia. Ketika itu, saya pula yang tak menang tangan menjaganya di rumah. Oleh sebab itu, saya tak berapa kisah berapa lama dia ambil untuk belajar berjalan walaupun saya berdoa, biarlah dia dah pandai berjalan apabila sudah bergelar "Along" nanti.. Asalkan dia gembira dengan setiap aktiviti yang dilakukan, saya sudah berpuas hati.

Mengetap bibir..Makin dilarang makin nak panjat.. hero ni dah boleh naik 7 anak tangga sekaligus
Saya lebih memberatkan perkembangannya dari segi minda, emosi dan rohaniah. Alhamdulillah, setakat ini dia kelihatan ceria dan aktif, dan mudah mesra dengan orang yang dikenalinya. Semua yang menjaganya bersetuju bahawa dia mudah diuruskan dan tak banyak kerenah. Dia boleh bermain sendirian tanpa terlalu mengharapkan orang dewasa menemaninya. Larangan 'No' atau "Jangan" pula jarang digunakan bila bersamanya walaupun ada kalanya timbul risiko tertentu. Oleh yang demikian, alhamdulillah Ikram mempunyai keyakinan diri yang positif. Mungkin kerana di nurseri dia diajar Bahasa Melayu, di rumah pula saya bertutur dalam B.Inggeris, Ikram agak lambat menyebut perkataan tapi ia bukanlah sesuatu yang merunsingkan saya, walaupun saya sendiri dikatakan mula bercakap pada usia sebayanya. Biarlah Ikram seronok bermain sambil belajar ketika ini.

Ikram juga suka melihat Abah dan Umminya mengerjakan solat. Jikalau tidak dihalang, dia akan duduk di atas sejadah ketika saya atau suami bersembahyang sambil memerhatikan gerak-geri kami. Bagi saya, itu merupakan perkembangan yang positif. Saya membiarkannya menarik-narik kain sejadah yang terhampar di lantai rumah walaupun ia mungkin dianggap tidak sesuai oleh orang lain. Alasan saya, kalau selalu dilarang, mungkin dia akan anggap kain sejadah sebagai sesuatu yang negatif dan tidak boleh disentuh langsung. Susahlah nanti bila mahu diajar sembahyang jikalau tanggapannya begitu.

"Nora dah tumbuh 8 gigi... Ikram baru 4? Lambat gak ya.."
" Tengah tumbuh gigi yang kelima. Nora 2 bulan lebih tua daripada Ikram, bukan?"
"Ya.. agaknya.. mengapa?"
"Saja tanya. Ikram baru 5 batang tapi syukur, air liurnya tak meleleh setiap kali tumbuh gigi baru," saya senyum, terbayangkan wajah si Nora yang asyik dilap mulutnya.
Wanita itu terus mendiamkan diri. Mungkin kurang senang dengan komen saya yang jahat tu. Hehehee.. ibu yang suka menengahkan 'kehebatan' anaknya pasti kurang senang hati apabila diingatkan pula akan kekurangan anaknya.
Tapi bukankah setiap anak itu ada kelebihan dan kekurangannya sendiri? Terima sajalah segala yang dianugerahkan Allah padanya.. dan berilah dorongan padanya agar dia akan terus berusaha menjadi lebih hebat, bukankah itu yang sebaiknya? Tak payahlah nak mengecil-ngecilkan pula perkembangan anak orang lain.

Bagi saya, asalkan Ikram masih dalam graf pertumbuhan yang normal, tak perlu dirisaukan. Graf milestone yang disyorkan oleh pakar kanak-kanak pula harus dijadikan sebagai panduan sahaja tetapi bukan semestinya wajib diikuti. Perlu diingatkan setiap kanak-kanak berkembang pada tahap yang berbeza.

walker diterbalikkannya pula sebab lebih berminat main roda walker
Hai.. mengapalah ibu-ibu suka sangat membandingkan anaknya dengan anak orang lain?
Di hadapan ibu-ibu lain, suka menceritakan kelebihan anaknya dan merendah-rendahkan anak orang lain.
Di hadapan anaknya pula, suka menceritakan kehebatan anak orang lain, sehingga si anak merajuk marah kerana menganggap ibunya tak menghargai dirinya.
Saya berdoa agar saya sendiri tidak terikut-ikut dengan gejala ini apabila membesarkan Ikram dan adik-adiknya.[sebab sendiri pun benci selalu dibandingkan dengan anak-anak kawan ibu ketika saya bersekolah dulu - tak ada apa yang dibuat itu sempurna].

Saya pernah baca dalam sebuah buku bahawa gejala suka membandingkan anak dengan anak orang lain merupakan satu cara merosakkan anak-anak. Islam juga melarang kita membandingkan anak-anak kita atau memberi layanan berbeza kepada mereka. Kita sebagai ibu bapanya yang akan mencorakkan hidupnya. Saya percaya bahawa setiap anak yang dilahirkan itu seorang yang unik, maka tidak adil untuk membandingkannya dengan individu lain.
Jikalau semua anak itu membesar pada kadar yang sama dan pada tahap IQ yang sama, tentu sekali tidak ubah seperti robot, bukan?
Serlahkanlah keunikan anak-anak kita, insyaAllah akan wujudlah bakal Einstein atau Ibn Sina yang baru, insyaAllah..

Nota: Agak mencabar untuk mengambil foto Ikram sekarang kerana dia anggap handfon dan kamera sebagai alat mainan yang menarik, dan pasti akan merangkak ke hadapan untuk merampasnya dari tangan saya.

Tuesday, April 12

KAHWIN PERLU BERKAPEL DULU?

"Teacher... bagaimana nak kahwin tanpa berkapel dulu? Mestilah bercinta dan kenal dulu, baru kahwin!"
Pelajar lelaki Tingkatan 4 itu meluahkan pendapatnya.
Saya tersenyum.
A ha.. perbincangan semakin hangat. Topik tentang cinta memang digemari remaja. Kebetulan pula pengajaran sajak B.Inggeris "He Had Such Quiet Eyes' mengisahkan akibat bagi gadis yang mudah percaya pada lelaki.
Riuhlah kelas dengan pendapat mereka.
Saya biarkan mereka berbincang.
"Perlukah berkapel dulu baru nak kahwin? Ingat, kalau berkapel iaitu tanpa sebarang perhubungan yang sah, tetap dikira haram dari segi agama Islam. Lagi-lagi kalau kamu berkapel, keluar ke sana ke mari tanpa niat untuk berkahwin," saya memberikan pendapat.
"Tapi kalau tak kapel, bagaimana nak kenal sama ada dia tu sesuai untuk kita atau tidak?" soal Suliman.
"Takkan kahwin dulu baru nak cinta!" komen Fauzi.
"Berkenalan memang boleh tetapi tak perlulah keluar berdating.. sebaik-baiknya bila dah suka, terus jumpa ibu bapanya minta restu dan terus nikah.. itu yang sebaiknya dan yang paling selamat.Ingat, antara dua ada yang ketiga iaitu syaitan sebagai penghasut. Kalau pegang-pegang, sentuh-sentuh nanti bertambahlah dosa kamu... sentuh anjing boleh samak, sentuh yang bukan mahram tetap haram sehingga kamu bertaubat."
"A la.. lecehlah camtu... tak best la." Fauzi menggelengkan kepalanya.
"Tak best? Kamu nak berkapel waktu sekolah, apa faedah yang kamu dapat? Buang duit bergayut dengan handfon, buang masa tak tidur malam, tipu mak bapa kononnya pergi tuisyen tapi rupa-rupanya pergi dating di shopping complex...syoknya kejap saja, bila dah break, kamu juga yang rugi.. makan tak lalu, mandi tak basah, sakit hati ada... lepas tu mai sekolah dengan muka monyok, nama sendiri pun dah tak ingat, betul tak?" saya mengusik mereka.
"Berkapel tu jadi kenangan, teacher..." Kamal menyampuk.
"Kenangan manis waktu sekolah patutnya bila kamu lulus cemerlang dalam periksa, baru seronok mak bapa kamu bila tengok result periksa.. berbaloilah pengorbanan mereka kerja susah untuk hantar kamu ke sekolah..takkan mereka nak seronok tau kamu dah pernah kapel dengan 3-4 anak dara orang, kemudian gagal SPM. "
"Kalau tak kapel camner nak tahu orang tu sesuai untuk kita ker tak?" tanya Suliman.
"Tunggulah sehingga kamu dah kerja dan mampu mendirikan rumah tangga. Masa tu bila dah bergaji besar, berkereta dan berumah besar, tak perlu nak cari awek, ramai yang akan beratur untuk berkenalan dengan kamu nanti. Ni tengah belajar lagi, dah nak kapel, belum bersedia untuk jadi suami orang.." nasihat saya.
"Camner teacher tau saya tak sedia?" kata Zamri.
"Boleh jadi imam? Kamu fikir jadi suami ni senang? Semua tanggungjawab kamu tanggung, nak bagi makan minum isteri dan anak, nak sediakan rumah, pakaian, dan kalau isteri berdosa kerana kamu tak pimpin, kamu juga tanggung dosa itu, tau..." saya ingatkan mereka.
"Beli susu anak dan pampers lagi.." sambung si Amin sambil mengangguk.
"Tau tak per," saya mengiyakan
"Kerja kilang gaji RM500 boleh la, teacher.. tak cukup duit makan pasir jer.." ujar Suliman.
"Pasir pun dah mahal, sayang!" kata saya.
Mereka ketawa terbahak-bahak.
Alahai remaja zaman sekarang.. susahnya nak nasihati mereka.. dan tak terima kasih kepada media massa terutamanya drama-drama di TV yang memaparkan kisah cinta remaja sebelum nikah.

Friday, April 8

SIBUK DISIBUKKAN LAGI

Satu minggu yang amat sibuk...
Ada latihan setiap hari untuk memastikan pelajar bersedia untuk pertandingan ini semalam : ( tak menang)



Namun tetap bahagia bila pulang ke rumah, melihat si anak senyum manja...


Dan berebut bahan bacaan dengan saya (baginya, buku dan majalah saya lebih menarik)


Tetapi pilu hatiku melihat tanda ini pada badannya Selasa lalu.
Si kecil yang baru 10 bulan dan belum boleh berjalan dan bercakap tidak dapat menceritakan apa yang berlaku padanya.
Hanya Allah swt Yang Maha Mengetahui.



Satu ujian baru untuk kami sekeluarga.
Syukur alhamdulillah, anakku Ikram ok.. tiada kesan sampingan (zahir dan batin) yang kelihatan.
Siasatan masih dijalankan.
Semoga Dia segera menunjukkan kepada kami siapa yang bertanggungjawab melakukannya... tak mahu menuduh siapa-siapa selagi tiada bukti kukuh.
(Masih mampu bersabar dan bertenang walaupun saya nyaris-nyaris berakhir di wad hospital kerana BP naik dengan situasi ini).

Monday, April 4

PISAU

"Aliya, saya nak tanya sikit, ok tak?"
Cikgu muda berketurunan Cina itu duduk di sebelah saya di dalam dewan. Dari nada suaranya, seperti ada hal penting yang mahu diperkatakannya. 
"Boleh, apa dia?"
"Err.. betulkah orang bukan Islam tidak boleh bawa perkakas yang tidak halal ke sekolah?"
Saya terkejut. "Apa maksud awak?"
"Gini, berkenaan pisau la. Betulkah orang Islam tak boleh makan makanan yang dipotong dengan pisau orang bukan Islam?"
Oohhh ohhh, hati saya sudah mula berdegup kencang. Alamak, satu lagi soalan cepu mas. Semenjak mereka tahu saya Cina Islam, seringkali saya didatangi individu yang ada kemusykilan. Bagaimana nak jawab ni?
"Ermm, daripada apa yang saya baca dan dengar.. ada dua pendapat berkenaan isu ni. Biasanya di Malaysia, orang Melayu lebih berhati-hati bila makan makanan. Ni termasuklah perkakas yang digunakan untuk memasak, memotong dan meletakkan makanan. Nak pastikan makanan itu betul-betul bersih dan halal, kita elak daripada guna perkakas yang telah digunakan oleh orang bukan Islam."
Saya sambung lagi, "Tapi di negara lain, ada juga ulama Islam yang berpendapat boleh gunakan perkakas yang telah digunakan oleh orang bukan Islam, dengan syarat dibasuh bersih dengan sabun dan air. Ia berpandukan pada hadis yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad sendiri tidak pernah mempersoalkan bekas yang digunakan untuk mengisi makanannya bila dia berkunjung ke rumah orang bukan Islam."
Cikgu amoi itu menganggukkankepalanya, tanda faham.
"Jadi bagaimana bila awak balik ke rumah mak awak?" dia bertanya pula.
"Saya jarang makan di rumah mak saya. Kalau ada pun, sama ada guna pinggan baru atau basuh sekali lagi pinggan atau cawan dengan sabun dan air bersih la supaya betul-betul bersih," saya jawab ringkas sambil tersenyum.
"Mengapa tanya begini? Ada masalah kah?"
"Ya la, saya susah hati ni. Di sekolah saya, kami ramai juga guru bukan Islam. Ada Cina, ada Cina.. biasalah. Bila buat potluck, kami semua bawa makanan. Guru bukan Islam bawa buah-buahan sebab kami tahu guru Melayu tak makan makanan yang kami bawa, takut tak halal. Tapi buah ok kan?
Kami pinjam pisau dari kantin sekolah, pisau orang Melayu juga. Tapi kami tak bagitau cikgu-cikgu Melayu. Kami bawa buah-buah yang dipotong tu ke bilik untuk potluck. Ada cikgu India melaporkan, bila cikgu-cikgu semua masuk nak makan, ada guru Melayu yang soalkan tentang kebersihan buah kami tu.
Cikgu Melayu tu kata dengan kuat," Pastikah buah tu halal dimakan? Tak tau pisau apa yang mereka guna untuk potong.." Guru-guru India yang terdengar kata-kata cikgu tersebut berkecil hati. "Kami susah-susah potong buah-buahan tu, takkan kami nak ambil pisau dari rumah kami? Kami bukan sehari dua bekerja dengan orang Melayu, kami pun faham sensitiviti orang Melayu, sebab tu kami pinjam pisau kantin."
Cikgu Amoi itu sambung lagi," Mungkin terpengaruh dengan kata-kata 'ustazah' itu, guru-guru Melayu yang lain tidak menyentuh buah-buahan yang dibawa oleh guru bukan Islam. Mungkin juga mereka takut kalau ambil, nanti cikgu lain akan melabel mereka tak tahu Islam dan tidak alim. Akibatnya, cikgu-cikgu India berkecil hati sebab buah tinggal banyak tapi tidaklah luahkan secara terbuka. Hanya berbisik dalam kalangan guru-guru bukan Islam.
Sebab itu, kata Cikgu Amoi kepada saya, guru-guru bukan Islam tidak lagi membawa makanan ke sekolahnya untuk aktiviti potluck.

Saya dengar dengan teliti. Aduh, sebab sebilah pisau, terjadi perselisihan pula antara kelompok guru. Pisau tajam untuk memotong makanan tetapi ia pula berhasil memecahbelahkan hubungan mesra yang sedia wujud di institusi itu.
"Sebenarnya boleh diselamatkan lagi. Terangkan dari mana dapat pisau tersebut kepada guru-guru beragama Islam. Lain kali tak payahlah bawa buah-buah atau makanan yang perlu dipotong. Bawa saja biskut, buah-buahan yang tidak perlu dipotong seperti rambutan dan pisang, atau kacang yang siap dibungkus dan ada logo halal. Atau pun tembikai sebiji dan minta tolong cikgu Melayu untuk potongkan."
"Ya, saya pun berfikir begitu, tapi kawan-kawan saya dah merajuk," kata Cikgu Amoi lagi.

Hmm, nak buat macam mana ya?
Sensitiviti agama memang sukar, apatah lagi bila bekerja di bawah satu bumbung. Sedikit silap boleh membawa kepada masalah berpanjangan. Mewujudkan jurang dan masalah perkauman.

Sebenarnya pada pendapat saya, sebagai orang Islam, kita perlulah berhemah. Siasat terlebih dahulu makanan (buah) yang dihidangkan itu dipotong oleh siapa dan dengan pisau siapa. Mungkin itu pisau baru yang dibeli khas untuk memotong makanan di sekolah. Orang Islam, lebih-lebih lagi bergelar cikgu, jangan mudah gelabah dan berburuk sangka pada orang lain yang bukan Islam. Kalau ya pun mereka yang bukan Islam tersilap gunakan pisau, tak perlulah bising-bising sehingga boleh didengari para pelajar dan guru lain. Terangkan dengan lemah-lembut dan berhemah supaya mereka faham dan boleh terima dengan baik.

Setahu saya, masih belaku khilaf dalam isu ini. Bagi saya pula, makanan yang dipotong dengan pisau (yang dicuci bersih) yang pernah digunakan untuk memotong makanan lain dan masuk ke perut itu masih lebih baik daripada makanan hasil makan gaji buta/rasuah/perjudian oleh orang yang beragama Islam. Ramai yang tidak kisah membeli makanan dari peniaga yang bertudung kepala (janji dia nampak macam orang Islam) walaupun makanan itu pun belum tentu halal, terdedah kepada debu jalanan dan serangga.
Kita orang Islam suka memandang serong pada orang bukan Islam yang memberi makanan kepada kita, berasa was-was untuk makan. Pernah saya mendengar aduan kawan Kristian, bahawa jiran Melayu membuang kek yang dibuatnya kerana tidak yakin ia halal. "Kalau tak nak makan, bagi balik jer, ni dia buang ke tong sampah, saya nampak dengan mata saya sendiri!"
Bagaimana nak berdakwah kepada bukan Islam bahawa Islam agama yang baik dan indah sedangkan tingkahlaku kita terhadap mereka pun tidak seindah mana?