Monday, December 19

PAMERAN PEDANG RASULULLAH 2011

Replika tongkat Rasulullah di kiri, tongkat Nabi Musa di kanan
"Huh? Bertongkat juga sunnah Nabi?"
Alhamdulillah, tambah satu lagi ilmu baru tentang sunnah Rasulullah. Selama ini saya sangkakan sunnah berjanggut dan berserban bagi lelaki Islam, tetapi itulah kali pertama saya tahu rupa-rupanya menggunakan tongkat juga adalah amalan Rasulullah dan sahabat-sahabat Nabi, walaupun mereka sihat walafiat.

 Setelah menunggu lama, akhirnya berjaya juga saya tiba di pameran pedang Nab Muhammad SAW di Gurun, Kedah pada hari ini. Memang dah lama rancang untuk pergi bersama suami tetapi pada saat-saat akhir, dia ada hal lain, maka terpaksalah saya pergi sendiri ke Dewan Sri Zaleha, tempat pameran diadakan.



Walaupun tempat itu agak sesak, saya berjaya mendapat tempat meletak kereta yang dekat dengan dewan tersebut. Tiket masuk berharga RM10 untuk dewasa.
"Buku ini untuk dijual?"
"Ya, kak. Kami bagi diskaun 50%," jawab wanita muda di kaunter jualan.
"Ok, saya ambil satu, ya."
"Terima kasih.. jual ya."
Ha... ini dia buku yang saya beli.. penuh dengan maklumat tentang koleksi pameran. Lengkap dengan gambar berwarna. Berbaloi dengan harganya. Seronoknya, tambah koleksi saya di perpustakaan rumah :)

alQuran dari Acheh
Entah mengapa, keletihan yang dirasai selepas memandu hampir 45 minit dari rumah hilang tatkala saya melihat koleksi mushaf al-Quran yang pelbagaian sejurus selepas masuk ke dalam dewan. Lagu yang didendangkan pula menenangkan jiwa. Sebagai peminat seni khat, saya tertarik dengan cara mereka menghasilkan sesuatu mushaf. Begitu teliti dan halus sekali seninya. MasyaAllah, hebatnya! Tidak hairanlah mengapa al-Quran masih tetap terpelihara daripada kecacatan walaupun sedikitpun. Al-Quran mushaf Acheh tulisan tangan yang dipamerkan menunjukkan bagaimana teliti dan halusnya kerja yang dihasilkan untuk sesebuah al_Quran.


Tak sah jikalau tak bawa balik sedikit hasil kerja tangan mereka. Dan akhirnya saya berjaya melihat bagaimana nama Ikram dan Ihsan diabadikan dalam tulisan khat, yang ditulis on-the-spot oleh seorang tukangnya. Cantik tak?

Terpegun. Itulah perasaan saya semasa masuk ke dalam ruang pameran pedang. Banyak sekali, dan ada yang hampir 1 meter panjangnya. Walaupun replika, saya sudahpun terpesona dengan keunikan setiap satu pedang yang dipamerkan. Ada juga busur yang digunakan oleh Rasulullah saw. Ada capal baginda, tapak kaki baginda di atas batu, dan tongkat. Ya, ada tongkat Rasulullah saw yang berkepala bulat, dan tongkat Nabi Musa yang lebih ringkas.

Oooo, ada juga replika rumah Rasulullah saw?
Saya ikut pelawat lain masuk ke dalam rumah. Subhanallah..! Walaupun dikatakan luas rumah itu adalah 1:3 kepada yang sebenar, ia masih terlalu kecil berbanding luas rumah kita hari ini. Syukur dengan nikmat yang Alla swt berikan kepada kita semua, alhamdulillah.
Syabas kepada pihak penganjur yang begitu teliti dalam merancang pameran. Setiap bahan dalam replika rumah itu dilabel dengan lengkap, malah ada juga ditulis hadis-hadis yang berkaitan.

'Inai itu penghulu haruman syurga (Ibnu Abi Syaibah & Ibnu Asakir)
Aaaahh... satu lagi sunnah Rasulullah untuk wanita, selain memakai celak. Akhirnya saya jumpa hadisnya :)

Oleh kerana kamera tidak dibenarkan di dalam dewan, mahu tak mahu terpaksalah saya upah jurukamera untuk mengambil foto kenang-kenangan. Tak mampu nak ambil banyak sebab RM10 sekeping untuk 4R.

sekeping foto je tetapi saya bahagi 2 - ni pedang Ja'far Ath-Thayyar

Akhir sekali saya ke ruang koleksi sejarah seni silat Pusaka Gayong. Hmmm... walaupun saya bukan orang silat, tapi sebab suami saya pun kerap mandi minyak, tengok-tengok jugalah bahan yang dipamerkan.
Sayang sekali, saya tidak dapat tunggu sehingga 5.30 petang untuk menyaksikan demonstrasi silat sebab perlu mengambil anak-anak di taska sebelum 6.30 petang.

Menurut poster, pameran ini berobjektif memupuk rasa kecintaan yang tinggi kepada Nabi Muhammad saw. Alhamdulillah, daripada reaksi para pengunjung, nampaknya objektif itu berjaya dicapai.
Tahniah kepada pihak penganjur, dan juga setiap individu yang bekerjasama menjayakan pameran ini. 
Tak tahu bila dan di mana pula pameran ini akan berlangsung lagi.

Maklumat lanjut boleh didapati di facebook sini

image al-quran dari utusan malaysia 

Terkini: Berita baik untuk mereka yang belum melawat pameran ini. Berikutan sambutan yang begitu menggalakkan, tarikh pameran telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2011. Buka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 mlm. Harap maklum

4 comments:

  1. Salam... Mahalnya gambar RM10 sekeping. :). Ikut sunnah Nabi tu mmg bagus. Terutamanya sunnah atau perbuatan nabi yang menyumbang kepada agama seperti berdakwah dan menegakkan sistem Islam supaya Islam beroleh kemenangan.

    ReplyDelete
  2. LydSunshine,
    Waalaikumussalam..RM10 harga biasa sebab lokasi adalah pameran, tentu nak dapatkan sedikit untung, lagipun terus printing foto di tempat pameran. Saya tak kisah sebab jurukamera pun urus setia yang telah bertungkus lumus menjayakan pameran itu.
    ya, semoga kita contohi Nabi dalam dakwah Islamiah.

    ReplyDelete
  3. Salam akak, betul ke pameran ini dilanjutkan? sebab saya cuba cari maklumat di internet tak dapat berkaitan perkara ini.

    ReplyDelete
  4. Cintagung,
    Waalaikumussalam. Benar, kami dah confirm dengan pihak penganjur sendiri. Ia dilanjutkan sehingga 31 Disember 2011 jam 10 pagi hingga 10 malam, di tempat yang sama iaitu Dewan Sri Zaleha, Gurun Jika ada FB, boleh semak di sini- http://www.facebook.com/pedang.gayong

    ReplyDelete