Friday, September 30

BAPA O BAPA

Sedih bila membaca kisah tentang seorang atuk dalam blog Ustaz Amin, yang akhirnya meninggal dunia tanpa dipedulikan oleh ahli-ahli keluarganya.
Itu bukan kisah pertama yang saya dengar dan baca tentang bapa-bapa yang ditinggalkan oleh anak-anak pada usia emas mereka di rumah orang tua. Kasihan betul tapi apa nak buat, dah begitu nasib mereka. Hanya anak-anak mereka dan ahli keluarga terdekat yang bertanggungjawab menjaga mereka.
Rata-rata orang ramai mengutuk perbuatan mereka yang tinggalkan ibu bapa di rumah orang tua. Bertahun-tahun tak menziarahi mereka. Kebiasaannya yang sering dibaca dalam akhbar adalah si bapa yang ditinggalkan, walaupun sekali-sekala ada juga kisah si ibu.

"Betul tak nak ambil tahu langsung?"
"Buat apa? Masa kami kecil, dia pun tak ambil berat tentang kami, Ibu yang bersusah payah membesarkan kami lima adik-beradik," ujar si anak. "Bila dah tua dan tak berdaya, baru nak datang cari kita, minta duit."
"Dia tetap bapa awak, tanpa dia, awak takkan berada di dunia ni."
"Kami di dunia ni sebab dah ditentukan Allah. Lagipun semua masalah berpunca dari dia sendiri; dia yang tak bertanggungjawab, dulu ada duit berfoya-foya, satu sen pun tak pernah beri pada kami sekeluarga. Bila Ibu minta duit belanja, dipukulnya Ibu depan mata kami, lalu Ibu ditinggalkan gantung tak bertali. Sekarang lepas 20 tahun baru dia nak datang jenguk kami? Maaflah, kami tak kenal dia lagi."
"Tak kesiankah, dia bapa awak? Takkan nak biarkan dia menagih simpati orang ramai, masuk surat khabar?"
"Jika dia muka tebal, dipersilakan. Kami pun boleh dedahkan cerita sebenar. Lagipun kami adik-beradik dah sepakat tak mau ambil peduli hal dia lagi. Jika 20 tahun lalu dia datang jenguk kami masa kami susah, keadaan dia takkan teruk begini. Sekarang dah terlambat. Ibu sendiri dah tawar hati, tak izinkan bapa pulang ke rumah. "

Perbualan yng bukan lagi asing bagi saya sendiri.
Perbuatan si bapa yang lampau, walaupun sedikit, boleh meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa anak-anak. Bila kita baca dalam akhbar tentang orang tua yang ditinggalkan di rumah kebajikan atau di kaki lima, timbul rasa pilu dan kasihan pada orang tua itu, yang kebanyakannya golongan lelaki. Ramai yang ada anak kandung, ada isteri tetapi mereka dilayan begitu rupa. Bila diselidik latar belakang mereka, rupa-rupanya ada kisah di sebalik perbuatan ahli keluarga mereka itu.

"Bapa saya dulu selalu pukul kami bila dia balik rumah dalam keadaan mabuk."
"Kami pilih Mak bila Bapa menceraikan Mak untuk kahwin lain. Sejak itu Bapa tak pedulikan kami lagi, tak berikan nafkah untuk kami adik-beradik. Mak yang buat kerja cuci rumah orang untuk sara kami enam adik-beradik. Jadi buat apa kami nak tolong dia sekarang?"
"Bapa sendiri tuduh saya anak haram dan bahawa Mak berzina, jadi kenapa sekarang anak haram ni yang mesti jaga dia? Sekarang baru nak mengaku anak kandung?"
"Masa Ibu mengandungkan adik, Ayah ugut nak buang kami sekeluarga kalau tak turuti segala kemahuannya. Ayah selalu ugut Ibu sehingga Ibu sedih dan menangis. Saya kesian tengok Ibu, lalu saya berjanji takkan pedulikan Ayah lagi selepas dia benar-benar buang kami dari hidupnya lima tahun lalu. Mengapa sekarang baru dia nak ambil kami balik? Dia ingat kami ini apa? Barang mainan, boleh buang dan ambil sesuka hati?"

"Bukankah dalam Islam, kita wajib menjaga ibu bapa kita bila mereka dah tua dan uzur? Tanpa ibu bapa, kita takkan sihat dan sejahtera seperti sekarang."
"Tapi bukankah dalam hadis, Rasulullah saw sendiri suruh kita utamakan Ibu? Berbuat baik kepada Ibu itu  lebih utamakan berbanding kepada Bapa? Saya ikut sunnah Nabi la."

“Siapakah yang lebih berhak menerima perkhidmatanku? Lalu Rasulullah menjawab, ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa’? Rasulullah menjawab, ‘Kemudian ibumu’. ‘Kemudian siapakah lagi?’ Soal lelaki itu lagi. Jawab Rasulullah saw, ‘Ibumu’. ‘Kemudian siapakah lagi?’ Soal lelaki itu. Rasulullah menjawab: ‘Bapamu’.(Muttafaq Alaihi)

"Tapi Bapa awak, takkan nak biarkan dia merempat? Awak tak nak jagakah?"
"Saya utamakan Ibu sebab Ibu yang lebih banyak bersusah payah membesarkan saya. Bapa cuma ada di rumah sekali sebulan sebab kerja di tempat lain. Dia tak pernah ambil tahu kehidupan senang susah kami. Masa kami sakit, Ibu yang jaga. Bila jiran fitnah Ibu ada kekasih gelap, Bapa terus mengamuk dan tak balik langsung selama 10 tahun. Ibu merendam air mata sehingga meninggal dunia kerana rindukan Bapa. Awak nak saya terima Bapa balik semudah ini, setelah apa yang dia lakukan terhadap kami semua?"
"Bukankah memberi maaf itu lebih baik daripada berdendam? Lagipun dia tetap bapa kandung awak."
"Saya maafkan dia tapi saya tak nak tengok muka dia lagi."

Bagi kita yang memandang dari jauh, memang mudah untuk menunding jari dan menyatakan,"Tak patut si anak layan bapa atau ibu kandungnya dengan tinggalkannya di rumah orang tua. Berdosa derhaka pada ibu bapa." Mudah bagi kita orang biasa menunding jari dan mengutuk si anak.
Namun mereka yang telah mengalami pengalaman pahit ditinggalkan atau didera oleh orang yang sepatutnya menjaga dan menyayangi mereka semasa kecil, bukan mudah untuk mereka memaafkan perbuatan lalu dan menerima orang tua mereka semula. Ia mengambil masa, dan memerlukan pengetahuan agama dan kekuatan jiwa untuk memaafkan segala perbuatan lampau si bapa atau ibu.Lebih-lebih lagi anak-anak yang ibu bapanya bercerai dan dibesarkan oleh ibu tunggal.

Memang, Islam menuntut anak-anak untuk berbuat baik kepada ibu bapa.

“Redha Allah itu berada dalam redha kedua orang tua dan murka Allah itu berada dalam murka kedua orang tua”.(Riwayat Abdullah bin ‘Amr).
 
Bukan sedikit ayat dalam hadis dan alQuran yang menyentuh bab ini. Saya percaya mereka yang mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa juga tahu tentang ini tetapi hati dan perasaan mereka tetap mengahalang daripada memaafkan dan menerima semula orang tua itu. Benar sekali pernyataan bahawa meminta maaf dan memberi maaf dua perbuatan yang sukar sekali bagi manusia biasa. Sebaik-baiknya bila kita baca atau dengar kisah sebegini, doakanlah agar terbuka hati anak-anak tersebut untuk memaafkan orang tua mereka dan menerima/jaga mereka semula di hari tua. Bukan sekadar mengutuk perbuatannya kemudian lupakan sahaja kisah itu.




Oleh itu, wahai mereka yang bergelar si bapa, laksanakanlah segala tanggungjawab anda sebagai ketua keluarga dengan baik dan adil. Pada waktu anda kuat dan gagah mungkin anda akan berkata dengan megah,"Saya bapa kamu, kamu mesi patuh dan ikut suruhan saya." tetapi bila anda dah tua dan uzur, hanya kasih sayang dan didikan baik kepada anak-anak yang bakal membolehkan mereka mengambil tugas menjaga anda pula. Lapanglah masa untuk bermesra dengan isteri serta anak-anak, dan bina kefahaman mereka membentuk jati diri Muslim yang sejati. Di samping itu, layanlah isteri anda juga ibu mereka dengan penuh kasih sayang dan perhatian di hadapan anak-anak kerana pengaruh isteri anda terhadap anak-anak jangan dipandang ringan. Jika kasih sayang isteri yang mendidik dan membesarkan anak-anak itu bertukar menjadi benci, kemungkinan besar itu juga perasaan yang akan dirasai oleh anak-anak, tak kiralah betapa sayangnya anda pada mereka.

Ibu-ibu juga, jagalah hubungan anda dengan suami yakni bapa kepada anak-anak anda. Mereka mungkin tidak menyuarakan tetapi mereka lihat dan dengar segala yang kita lakukan serta nyatakan. Andalah model kekeluargaan bagi mereka. Jadilah muslimah yang baik, isteri yang solehah dan ibu yang membesarkan serta mendidik anak-anak dalam bentuk Islam. Jikalau kasih sayang dan saling hormat-menghormati yang mereka lihat dalam hubungan ibu-bapa mereka, itulah jua yang bakal mereka bawa ke gerbang perkahwinan mereka sendiri kelak, insyaAllah.

Pendek kata, sama-sama kita berusaha membentuk keluarga Muslim yang utuh, yang rohnya adalah Islam. Jagalah hati dan perasaan sesama ahli keluarga, tunaikan dan hak tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya. Semoga semua ahli keluarga kita itu bakal bertemu semula di syurga Firdaus kelak, insyaAllah.

2 comments:

  1. Everything starts with us as parents. Let us not blame the older folks. Judge them the way their children are being raised and how they treat people around them. That is some characteristics of 'khalifah', we who have been created by Him. My life experience tells me that if we can raise good children and are able to give comforts to people around us, we are likely to be on the right tracks. Occasionally sit back and tell ourselves that we do all these because He wants it that way.

    That is Pakcik's humble views on life.
    Salaam to all.

    ReplyDelete
  2. Saya berasa dekat dengan kisah ini. Setelah diamati, kisah saya kebanyakannya sama dengan rakan-rakan. Walaupun tidaklah sehingga terjadi ditinggalkan bapa tetapi kenyakan mereka bersikap lepas tangan. Nak disalahkan sifat semulajadi, tidak adil kepada bapa-bapa yang tidak bersifat begitu. Bapa saya pula sangat sayangkan anak-anak saudaranya lebih daripada kami adik-beradik. Ada rakan-rakan yang mengalami perkara yang sama. Tetapi alhamdulilah, kami adik-beradik tidak pula bersifat pendendam. Yang lalu biarlah berlalu. Kami buka buku baru. Ambil pengajaran supaya tidak lakukan perkara yang sama dikemudian hari terhadap anak-anak sendiri. Biasakan dengan sifat ambil berat. Jangan dibiasakan ambil ringan terhadap sesuatu.

    ReplyDelete