Tuesday, August 23

SAYA SEKSI?

'Teacher, teacher sebelum masuk Islam dulu, seksi tak?" pelajar lelaki Tingkatan 4 itu bertanya.
Saya terpinga-pinga sekejap. Ketika sibuk memberi penerangan kepada pelajar lain, tiba-tiba soalan itu ditanya. Alahai, pelajar ooo pelajar. Sabar sajalah.
Saya memandangnya dengan senyuman. "Pendapat kamu?"
"Aaaa, teacher mesti seksi sebelum masuk Islam, kan?" dia yang bertanya, dia juga yang membuat kesimpulan.
Saya ketawa sambil menggeleng kepala. Hairan, mengapa dia dengan mudah membuat andaian bahawa saya seksi sebelum memeluk agama Islam.
Adakah saya bukan lagi seksi sekarang setelah beragama Islam?
Atau adakah pada pendapatnya, semua wanita Cina yang bukan Islam seksi?
Fahamkah dia apa maksud seksi?

Mungkin dia bayangkan saya berpakaian seperti guru-guru wanita nonmuslim lain yang ada; yang berbaju blause, berskirt paras lutut dan rambut dibiarkan panjang ke bahu.
Mungkin dia gambarkan saya bersolek tebal dan berminyak wangi.
Mungkin begitulah seksi pada pandangannya,sebagaimana yang selalu dicanangkn di media massa.
Tapi saya dahulu pun bukan seperti itu. Saya tak pernah memakai baju blaus pendek bertali dua serta mini skirt. Saya boleh dikatakan agak konservatif dalam berpakaian sehingga orang yang tak kenal pun boleh agak saya guru dari cara penampilan, hahaha.

Kelemahan saya hanya satu - gincu.Ya, saya suka memakai gincu atau lipstick. Hampir setiap bulan saya akan membeli gincu baru. Gemar bereksperimen dengan warna-warna baru. Dari warna merah terang pada umur 20-an sehingga merah gelap pada umur 30-an, itulah warna gincu yang saya pakai.Jarang sekali keluar rumah tanpa berbedak dan bergincu, selah-olah tak berseri wajah tanpanya.
Oh, itu dulu. Semenjak saya memeluk Islam, saya semakin kurang bersolek. Banyak perkara lebih penting dalam rutin harian saya. Tambahan pula, saya pernah membaca bahawa bersolek tidak digalakkan untuk muslimah. Di samping itu, berita-berita tentang penggunaan merkuri dalam gincu yang berbahaya kepada kesihatan menakutkan saya. Hanya bedak muka yang menjadi teman setia saya; gincu dan celak pula sekalisekala.


Semenjak saya mengandung, saya semakin jarang bersolek. Pertama, risau akan bahan kimia dalam alat solek yang boleh membahayakan kesihatan kandungan. Kedua, tak ada mood setelah berkali-kali muntah 'morning sickness'. Lagipun ada ustaz yang menyatakan bahawa bersolek di luar rumah sebagai haram. Kini alhamdulillah tak bersolek lagi di luar rumah [lagipun tak sempat, tambah nak layan 2 orang anak kecil lagi, hehehe- alasan baik]

Renungilah ayat-ayat berikut:
surah al-Nur, ayat 31:
"Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka meletakkan penudung pada dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.."

"dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)


Allah swt Maha Mengetahui. Allah Maha Bijaksana. Larangan bersolek dan berpakaian terdedah [yakni, seksi] sebenarnya baik untuk wanita. Mungkin ada di kalangan muslimah yang tidak bersetuju jikalau saya katakan bahawa bersolek boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Pengalaman saya sendiri dahulu bukti bahawa berpakaian begitu mengundang masalah [nanti saya cerita dalam pos lain, insyaAllah].

"Tapi jikalau tak bersolek - bergincu, bercelak dll tentu kita akan nampak selekeh, muka pucat.. tentu orang akan anggap kita wanita Islam sebagai tidak kemas, tak berpenampilan profesional."
"Tak bestlah begitu, tak salah kan kika bersolek nipis semata-mata untuk kelihatan kemas dan cantik. Bukankah Allah suka pada kecantikan?"
'Saya bukan nak tarik perhatian lelaki, cuma sekadar tak mahu kelihatan pucat lesi tanpa gincu."
Hahahaaa... saya sendiri pernah berfikiran begitu, kawan. Tapi bacaan demi bacaan, kajian dan kajian, akhirnya saya mengaku, tak ada alasan sebenarnya untuk kita muslimah bersolek di luar rumah.
Wanita Muslimah hanya dibenarkan malah digalakkan bersolek untuk suami di rumah. Teliti perkataan-perkataan ini - untuk suami di rumah. Maksudnya jika keluar berdating dengan suami di luar rumah masih tidak boleh, kerana boleh menarik perhatian lelaki lain.

Bersolek adalah amalan jahiliah. Kalau setakat berbedak  [bukan jenis haruman]untuk mengelakkan wajah kelihatan berminyak, masih boleh diterima kerana bedak benda biasa, digunakan oleh semua peringkat umur, termasuk bayi. Tapi gincu, mascara, eyeshadow, blusher dan lain lain? Itu jika bukan benda solekan orang bukan Islam, siapa punya? Takkan kita Muslimah masih nak tiru amalan jahiliah, walaupun jahiliah moden?

Oh memang seronok bila bersolek [saya tahulah, kan saya katakan saya dulu pun bersolek gak] tambah bila beli benda baru, rasa nak sapu saja setiap masa dan pandang cermin selalu.. tapi gunalah akal fikiran yang Allah berikan kpada kita - masih dijajahikah minda kita oleh pihak Barat/propaganda kafir dengan pendapat bahawa kita hanya kelihatan cantik dan 'presentable' bila bersolek?
Ingatlah, sama ada kita berniat atau tidak untuk menarik perhatian orang lain bila kita keluar rumah memakai solekan walaupun senipis mana, kita masih berdosa jika berjaya menarik perhatian seorang lelaki bukan muhrim. Bayangkanlah berapa dosa yang sudah kita kutip tanpa disedari. Menggerunkan, bukan?

Oleh itu, jika nak selamat dunia akhirat, lebih baik jauhkan diri daripada bersolek. Yang sudah biasa bersolek tu, bolehlah kurangkan sedikit demi sedikit, lama-lama biasalah tanpa selapis lemak berwarna di bibir dan kelopak mata :)
Yang sudah biasa tanpa pernah bersolek itu, alhamdulillah kekalkan begitu.
Jangan pula ketika majlis pertunangan/perkahwinan, ada pula Muslimah yang tidak pernah bersolek disolekkan dengan tebal atas desakan orang lain, dengan alasan kerana para jemputan nak datang tengok !!!

nota: imej dari http://www.updegree.com/makeup-kits/

7 comments:

  1. benda yang sama saya cakap kat bini saya~~alhamdulillah setakat bedak je dia pakai~he~~

    ReplyDelete
  2. insyaAllah kakchik hanay bersolek, berhias untuk suami semasa di rumah saja. bila nak keluar pakai saja seperti mana yang kak aliya tahu :)

    ReplyDelete
  3. Pengalaman semasa bertukar ke sebuah sekolah di utara. Akak dipanggil ke bilik PUAN Pengetua hanya kerana;
    i. tidak mengenakan gincu- alasannya Pelajar hilang semangat nak belajar kerana cikgunya pucat lesi masuk kelas
    ii. tidak memakai kasut bertumit tinggi- macam makcik2 nak pi pasar
    iii. memakai jubah ke sekolah, kononnya pakaian tu sesuai buat pi kenduri arwah je.
    Sedih dengan pandangan yang sangat tidak profesional dari seorang yang KONONNYA profesional. Alhamdulillah, akak terus istiqamah sehingga le sekarang.

    ReplyDelete
  4. bujal X,
    Alhamdulillah, tahniah.. suami soleh, isteri solehah.

    ReplyDelete
  5. kakchik,
    Semoga kita terus diberkatiNya, ameen. Teringat saya, suami pernah tanya,"Tak ingin lihatkah wajah dia[kakchik] di sebalik niqab?" ketika kami berkunjung ke rumah kakchik dulu. Saya jawab,"Tak perlu. Lihat dengan mata hati, bukan setakat mata fizikal".

    ReplyDelete
  6. maktih,
    Aduh, sedihnya bila dapat pengetua sekolah seperti itu[muslimkah dia?]. Alhamdulillah, saya belum pernah ditegur begitu oleh mana-mana pengetua tetapi kami guru-guru selalu diingatkan agar kelihatan kemas dan ikut pekeliling tentang cara berpakaian.
    Bagi saya, insyaAllah jika teknik pengajaran guru menarik dan berkesan, para pelajar akan bersemangat belajar, walaupun dia berpakaian buruk sekalipun.

    ReplyDelete
  7. salam ustazah. ni kali pertama saya singgah di blog. penulisan sangat menarik =) pendekatan berdasarkan pengalaman sendiri.

    ReplyDelete