Thursday, June 9

SEHELAI TUDUNG, SEKOTAK KURMA

Aliya berjalan dengan tergesa-gesa ke perhentian bas di hadapan asramanya.
Ahh, ramai sekali mereka yang sedang menunggu bas komunter universiti.
"Nampaknya kena berdiri lagi la," Aliya mengeluh sambil mendekati kawan-kawannya yang sudah terpacak di situ.
Mereka senyum sambil memberi isyarat padanya supaya menyertai mereka.
"Aliya, kami ada sesuatu untuk awak," kata Ana sambil menghulurkan sebuah bungkusan kecil.
"Oh. terima kasih," Aliya terkejut kerana tidak menyangka akan menerima hadiah daripada kawan-kawannya.
"Hadiah apa ni?" Aliya cuba mengagak. Dia membelek-belek bungkusan yang kemas berbalut dengan kertas pembalut hadiah.
"Bukalah, sesuatu yang Aliya boleh guna," kata Izzah pula.
Aliya mengoyak bungkusan itu dengan berhati-hati.
"Oh, cantiknya.. terima kasih. Cantik!"
" Ikhlas daripada kami bertiga," Izzah menganggukkan kepalanya sambil memandang wajah Ana dan Julia.
"Terima kasih."
"Tanda selamat datang kepada saudara kami yang baru," ujar Julia pula.
Aliya terharu. Dia hanya mampu menguntumkan senyuman pada ketiga-tiga kawannya. Tudung kuning lembut daripada kain kapas itu dibeleknya sekali lagi. Dia tunduk untuk menahan dirinya daripada menangis kerana terlalu gembira. Dia tidak pernah menyangka sama sekali bahawa mereka akan memberikannya hadiah sebegitu. Sehelai tudung mungkin tidak begitu berharga untuk seorang Muslimah yang lahir dalam keluarga Islam tetapi bagi Aliya yang baru memeluk Islam dan baru membeli beberapa helai tudung untuk menutup aurat, tudung yang diterimanya itu amat bernilai sekali.
"Syukur alhamdulillah," Aliya berasa amat bahagia.

Ramadhan sudah menjelang tiba. Aliya sibuk menyiapkan dirinya untuk berpuasa. Kini dia bebas menunaikan Rukun Islam yang ketiga. Dia tidak perlu bersembunyi lagi ketika berpuasa.
Aliya sedang menunggu giliran untuk membeli makanan di kafe untuk berbuka puasa. Syukur, pelanggan belum begitu ramai. Kelihatan Elise dan Gina, dua kawannya yang bukan Islam sedang berbual-bual di meja makan.
"Aliya, marilah sini," ajak Elise.
"Apa khabar? Dah makan?" Aliya menegur kawan-kawannya yang tidak berpuasa.
"Dah kenyang," mereka senyum.
"Aliya, ini untuk awak," Elise menghulurkan sekotak kurma kepada Aliya.
"Untuk saya?" Aliya terkejut.
"Untuk awak berbuka puasa," kata Gina sambil senyum pada Elise. Nampaknya mereka sudah berpakat memberikannya hadiah itu.
"Oh, thanks a lot," Aliya hanya mampu mengucapkan terima kasih.
"Enjoy it. Selamat berbuka puasa nanti," Elise dan Gina bangun dan beredar dari situ.
MasyaAllah, kawan-kawannya yang bukan Islam itu pula yang menghadiahkan dia kurma untuk berbuka puasa. Aliya tidak mampu untuk berkata-kata. Dia hanya tersenyum pada kedua-dua kawannya sambil memegang kurma sekotak itu.
"Bagaimana mereka berdua tahu saya berbuka puasa dengan kurma?" Aliya hairan. Dia tidak pernah melihat kawan-kawan bukan Islam menghadiahkan kurma kepada Muslim yang berpuasa sebelum itu. Malah tidak pernah terdetik dalam hatinya untuk melakukan sedemikian.
"Baiknya Elise dan Gina," katanya dalam hati.
Setibanya di bilik asrama, Aliya segera membuka penutup kotak kurma berjenama Yusof Taiyob itu dengan berhati-hati. Itulah kali pertama dia membuka sekotak kurma yang berjenama. Dia tidak pernah makan kurma Arab sebelum bergelar Muslimah. Malah semenjak memeluk Islam pun, kurma yang biasa dimakannya dibeli secara pukal di pasar Ramadhan.
"Banyaknya.. alhamdulillah cukup untuk saya makan sebulan ni."
Berbuka puasa pada hari itu sungguh istimewa. Aliya dapat merasai keenakan kurma yang jarang-jarang dijamahnya sebelum itu. Kurma itu juga dikongsi dengan rakan sebiliknya.
Sambil makan, Aliya tersenyum. Lucu. Siapa sangka bahawa orang bukan Islam yang akan menghadiahkannya, seorang mualaf Islam, sekotak kurma untuk berbuka puasa dan bukan saudara seagamanya sendiri?
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Semenjak hari itu, Aliya menjadi penggemar kurma. Dan setiap kali dia makn, dia pasti teringatkan Elise dan Gina.

7 comments:

  1. MasyaAllah...
    Saya turut bergembira dgn kesudian Elise & Gina memberikan anda hadiah itu....
    mmg lebih berharga drps kos sebenar kurma itu...

    Saya turut berterima kasih kpd mereka berdua...
    (mmg menyentuh hati saya...)

    Tolong kirim salam kpd mrk jika Aliya berpeluang!
    Wassalam

    ReplyDelete
  2. Saya kini sedang menikmati sebuah buku susunan/ karangan sdr Ang Wan Seng, judulnya: Mencari Islam di China.
    Cerita mengenai Elise & Gina menunjukkan kpd saya, masyarakat Cina di Malaysia, mulai bertoleransi dgn agama Islam.

    Inilah yg sepatutnya berlaku, kerana di China, agama Islam dipandang mulia & mmg ditoteransi sejak 1400 tahun yg lalu.
    Bacalah buku tersebut sekiranya belum begitu tahu ttg Islam di negara China.

    ReplyDelete
  3. I'm Chinese who reads this blog maybe once a week. I think it is brave for the blog owner to choose her way in this country. I never think Chinese cannot accept Islam, what they cannot accept is in Malaysia, "masuk Islam = masuk Melayu". Like Malays, for them, they still want to keep their originality and culture.

    It's working in China because, they changed their religion but still get to keep their identity as a Chinese. Their race is still chinese, their name is still the same. That's why it is hard to work in Malaysia because we all still racist in this country.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam nas,
    InsyaAllah... ya, mereka memang kawan yang baik dan berfikiran terbuka.
    Saya ada buku Rahsia Islam di China oleh penulis yang sama. Hasil pertemuan saya dengan Muslim di Beijing dahulu, saya dberitahu masih banyak diskriminasi terhadap penganut Islam di sana terutama oleh pemerintah moden, cuma berita-berita ditapis dan tidak dibenarkan disebarkan di media mahupun internet.

    ReplyDelete
  5. wah...bagusnya kawan2 kak...alhamdulillah, punya sahabat yg baik spt mereka :)

    ReplyDelete
  6. nisha,
    Memang, saya amat bersyukur :)

    ReplyDelete