Tuesday, May 3

MACAM-MACAM

"Ahhhhh!"
Saya hanya mampu menjerit. Melihat dia jatuh berguling ke lantai. Seperti adegan filem yang slow-motion.
Saya tinggalkannya bermain di ruang tamu yang jauh dari tangga tetapi dia telah mengejar saya dengan laju sambil menangis-nangis, dan memanjat tangga sehingga anak tangga keempat. Saya berpatah balik untuk mengambilnya, tetapi tatkala dia melihat saya, kepalanya didongak ke atas dan dia tidak dapat mengimbangi badannya. Maka jatuhlah dia...
Syukur alhamdulillah... anak kecil saya itu tidak mengalami kecederaan serius. Dia menangis sekejap kerana terkejut. Saya periksa seluruh badannya, menggerak-gerakkan seluruh anggota badan terutama kepalanya. Tiada luka. Tiada benjol. Yang penting tiada darah. Tangisnya pula seketika, kemudian apabila dipujuk, dia mula membebel dan ketawa seperti biasa.
Hanya syukur yang mampu saya ucapkan kepadaNya yang Maha Berkuasa.
Malam itu hanya kami dua anak-beranak di rumah. Suami keluar outstation sekali lagi, walaupun memang sedar risiko yang bakal kami hadapi jikalau berlaku apa-apa yang tidak diingini dengan tiadanya orang dewasa yang lain di rumah. Saya tak mampu menghalangnya pergi; lebih baik bersabar sahaja daripada bertambah stres dengan pertukaran pendapat suami-isteri :)


Saya tak dapat bayangkan apa yang akan dilakukan sekiranya anak berusia 11 bulan itu cedera parah akibat terjatuh tangga. Mungkin dengan berkat doa semua orang untuknya, maka dia tidak mengalami apa-apa kecederaan. Hanya terkejut sedikit dan tidak mahu tidur sendirian pada malam tersebut. Tak nampak kecederaan dalaman walaupun saya perhatikannya dengan teliti selama 24 jam selepas insiden tersebut.

Pada ketika itu, saya rasa diri ini begitu lemah dan tidak berdaya. Tentu ada orang yang akan gelak, "A la, anak seorang pun tak dapat nak jaga dengan baik!" Tapi apa nak buat, saya memang letih uruskan semuanya tanpa bantuan pembantu rumah. Umur juga sudah 40, bukan muda remaja lagi. Apatah lagi apabila sedang sarat mengandung 7 bulan dengan perut yang kian membesar, yang sedikit sebanyak melambatkan pergerakan. Ikram pula semakin aktif dan lincah, dan tidak sedar akan bahaya yang mungkin berada di hadapannya. Saya terpaksa menumpukan sepenuh perhatian padanya apabila dia berada di rumah. Kerja rumah dan kemas-mengemas terpaksa ditangguhkan dahulu sehinggalah dia tidur malam. Itupun kalau masih larat nak kemas-kemas ketika itu :P

Mak mertua sudah mulai bersuara, risau melihatkan keadaan kami anak-beranak. Dia tidak mampu menjaga saya apabila saya bersalin anak kedua nanti kerana umurnya yang kian lanjut, tambahan pula kini kesihatannya sendiri juga kurang memuaskan. Saya juga tidak mahu menyusahkannya. Terpaksa pula cuba tenangkannya dengan berkata bahawa semua akan ok nanti. Mak saya apatah lagi, dia sendiri perlukan bantuan dan tidak boleh membengkokkan kakinya yang pernah patah. Lagipun Mak marah dan merajuk sedikit apabila mengetahui foto dia dengan saya diterbitkan dalam Majalah-1 tempoh hari. Saya sengaja tidak memberitahunya lebih awal tetapi Adik pula yang menunjukkan foto tersebut.

Saya dan suami masih mencari pembantu untuk menjaga saya dan anak-anak ketika berpantang kelak. Paling kurang untuk sebulan sehingga saya dapat bergerak dengan selesa semula selepas sembuh daripada pembedahah cesarean.Kami tidak bercadang untuk mengulangi keadaan seperti dulu iaitu menumpang di rumah kawan selama 2 minggu selepas saya bersalin anak pertama. Penat suami berulang-alik meninjau keadaan kami selama dua minggu itu; tambahan pula kami tidak mahu lagi mengganggu keluarga yang baik hati itu. Biarlah kali ini kami uruskan sendiri pula walaupun bagaimana caranya masih belum dirancang dengan sempurna lagi. Tempoh pula tak lama- kira-kira 2 bulan lagi. Mula-mula ingin mengambil bibik tetapi dengan keadaan sekarang, memang susah nak dapat yang baik dan boleh diharap. Takut juag nanti bibik baru bukan sahaja lari dari rumah tetapi dilarikan sekali anak-anak saya :)

Pening memang pening apabila memikirkan masalah ini.Apa-apa pun, saya tetap yakin bahawa Allah swt akan memberi jalan keluar kepad kami. Bagaimana, saya sendiri tak tahu tapi saya tetap yakin pada janji-janjiNya.
Ikram perlu dijaga untuk sekurang-kurangnya 3 malam sementara saya di hospital selepas bersalin kelak. Mungkin saya perlu mencarikannya keluarga angkat yang boleh uruskannya ketika itu, hehehe [ada sesiapa berminat jaga hero ni?].
Saya pula perlu uruskan anak yang baru lahir nanti di samping pulih daripada pembedahan cesarean. Alhamdulillah dengan adanya 90 hari cuti bersalin yang bermula pada tahun 2011 ini, dapatlah berehat lebih lama sedikit di samping menyusukan anak dengan lebih selesa dan lama berbanding ketika melahirkan Ikram dulu [insyaAllah].
Saya juga mencari orang untuk memasak dan membawa makanan untuk ibu yang sedang berpantang. Tak larat rasanya nak memasak sendiri nanti, lebih-lebih lagi kalau menyusu secara eksklusif. Suami pula bakal bercuti hanya seminggu [maklumlah pekerja kerajaan] itupun belum tentu lagi dia akan berada 24 jam di rumah sebab mungkin terpaksa ke outstation juga atas urusan rasmi.

Doktor sendiri menggelengkan kepalanya apabila saya memberitahunya bahwa saya tak dapat ke hospital untuk berehat di wad kerana tiada sesiapa yang dapat menjaga Ikram. Itu hakikat, bukan sebegai alasan untuk tidak ke wad.
"Habis, bagaimana bila awak bersalin awal?" dia bertanya.
"Saya tak tahu," saya tersenyum. "Ketika itu, biarlah suami saya pula yang pening. Sekarang saya hanya boleh tunggu ketibaan anak kedua ini dan doakan untuk yang terbaik bagi kami sekeluarga. Allah juga yang tentukan saya mengandung anak kedua ini sekarang, bukan tahun depan, bukan 3-4 tahun lagi. Bila baby nak keluar, itu terpulanglah padaNya. Lagipun bila saya dah berada di atas katil pembedahan, semua itu bukan masalah saya lagi."

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan untuknya jalan keluar (dari masalah hidup). Dan memberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. (al-Talaq:2-3)

6 comments:

  1. Sabarlah puan
    "Adakah kamu menyangka kamu beriman tanpa diuji. Sesungguhnya setiap dari kamu akan diuji siapakah yg paling baik amalannya"
    Mungkin puan diuji dengan susahnya menjaga anak. Allah
    akan memberi kemudahan dalam jalan/cara lain.
    Selain amalan ayat seribu dinar ni, bolehlah mengamalkan selalu tasbih, tahmid dan tahlil 33x. Beban yg berat akan dirasakan ringan. Insya Allah
    "Berat mata memandang, berat lagi bahu yg memikulnya".
    "Tidak dibeban seseorg itu melainkan menurut kemampuannya"
    "Ya Allah janganlah kami dibebankan dengan beban yg x mampu kami menanggungnya. Amin"

    ReplyDelete
  2. Hi Aliya,

    Just a suggestion. Why don't you get a child safety gate for your stairs? At least you can have some peace of mind.

    Take care.

    ReplyDelete
  3. kak liya..
    ikram jatuh ye?? aishh...adik seorang ni....
    syukur dia tak apa2..

    kak, buat sementara ni, nisha rasa ada baiknya kalau akak beli penghadang tangga...just sbg precautions...insyaallah, I will always pray for you and your baby :)

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam semua,
    joe,InsyaAllah, terima kasih atas dorongan dan nasihat :)
    May Hwang,planning to, soon. That and wrapping up all the steel bars at the staircase :P
    Nisha, hero ni mewarisi sikap degil saya.Dah makin lincah dan mengetap bibir bila melakukan sesuatu.Siap menolak walker sambil bertatih [hanya giveup bila jatuh]Memang nak beli penghadang tangga tapi entah apa pula yang dia panjat sebagai ganti, huhuhu..

    ReplyDelete
  5. hero kecil kat rumah saya ni pun hebat juga...penghadang tangga pun dirobohkannya.
    So, be careful...& good luck ;)
    sorry, bukan niat nak menakut2kan. Ikatkan penghadang itu kemas2, ya?

    ReplyDelete
  6. nas, hahaha..tu la... jika penghadang tangga halang dia panjat tangga, entah apa pula yang dibuatnya nanti, hehehe.. hero saya ni pun kuat, berat 10 kg, bila dia pegang pintu pagar dan grill rumah, siap digoyangkannya sehingga bergegar.. insyaAllah akan beringat-ingat :)

    ReplyDelete