Wednesday, April 27

BENGKAK

"Anak saya yang Tahun 1 tu jatuh di sekolah," kata Cikgu Hasni [bukan nama sebenar] dengan wajah suram.
"Bila? Dah ok?" kami mula bertanya. Maklumlah dia kelihatan amat sedih. Kasihan pula bila melihat Cikgu Hasni yang sentiasa ceria itu berkeadaan begitu.
"Tak.. semalam dia jatuh depan sekolah selepas waktu balik. Dia dipapah oleh kawan-kawannya ke kereta. Terkejut suami bila nampak anak sulung tu dengan air matanya meleleh. Bila balik ke rumah dan buka seluar sekolah, kakinya dah bengkak. Terus suami urut dengan minyak. Ingatkan elok pagi ni tapi nampak ada lebam-lebam di kaki dia jadi suami bawa ke klinik."
"Apa kata doktor?"
"Suami dah hantar ke hospital, Katanya doktor kata teruk, mungkin ada blood clot, takut nanti bernanah jadi doktor kata kena masuk wad. Suami suruh temankan tapi saya segan nak minta keluar.. dah saya baru cuti sakit 2 hari lepas.."
"Pergilah.. ni kes anak sakit, kecemasan, tentu suami dan anak perlukan awak di hospital," nasihat Cikgu Lee [bukan nama sebenar].
"Ya la, minta kebenaran pengetua. InsyaAllah dia izinkan. Kelas tu, tak pa, saya free, saya boleh ganti awak nanti," saya yan kebetulan baru balik dari klinik turut menggalakkannya.
"Ya, kelas 4M pula nanti saya masuk," kata Cikgu Lee.
Dengan wajah penuh kesyukuran, Cikgu Hasni segera meninggalkan bilik guru.

"Kasihan ya," komen Cikgu Sarah sejurus selepas Cikgu Hasni keluar.
"Ya.. sebenarnya bila bengkak, tak boleh urut terus.. kena periksa betul-betul dulu. Buat cold compress, letakkan ais yang dibalut dengan kain sehingga bengkak tu surut," kata saya berdasarkan pengetahuan pertolongan cemas yang dipelajari.
"Oh, tak boleh urut ker?" tanya Cikgu Sarah.
"Kesilapan kita selalu, kita suka urut bahagian yang bengkak sebab begitulah cara tradisional. Sebenarnya doktor tak bagi sebab boleh memudaratkan lagi kecederaan yang sedia ada.. sebaik-baiknya letakkan kain yang berbalut ais dulu pada bengkak sehingga bengkak tu surut, kemudian periksa sama ada bahagian itu boleh digerakkan dengan selesa.. takut ada tulang retak atau patah."
Saya teringat pengalaman saya ketika sedang menuntut di USM dulu. Terjatuh dan buku lali kaki kanan bengkak. Saya terpaksa memakai bandage khas [jenis socks] yang dibeli di farmasi selama 2 minggu untuk keselesaan dan bagi mengelakkan bengkak itu bertambah teruk. Doktor pula memberikan minyak sapu khas dan ubat pil untuk mengurangkan bengkak dan mengurangkan kesakitan pada urat kaki. Saya dilarang mengurut luka itu walaupun selepas bengkak itu surut. Alhamdulillah, kesakitan beransur hilang dan kaki pun sembuh seperti sediakala selepas 2 minggu.

"Macam mana anak?" kami bertanya selepas bertemu semula dengan Cikgu Hasni keesokan harinya.
"Doktor x-ray 2 kali semalam. Kata doktor, anak saya tu patah tulang, nampak dalam x-ray ada serpihan. Jadi kaki dah kena simen. Sekarang bapanya jaga dia di wad. Saya nak jaga susah, tak larat nak dukung dia yang berat 26 kilo tu dari katil ke tandas setiap kali nak buang air. Suruh guna bekas khas untuk membuang air kecil dia tak mau," jelas Cikgu Hasni.
"Sabarlah, Hasni.. insyaAllah, sembuhlah dia nanti."
"Bapanya menyesal kerana mengurut kakinya tempoh hari. Katanya kalau tak urut, mungkin tak teruk begini."
"Dah nak jadi, apa nak buat. Kita doakan agar anak tu cepat sembuh. Budak-budak ni, cepat sembuh berbanding kita orang dewasa."
"Harap-harap begitulah. Aduh, stres saya minggu ni."

Nota: Elakkanlah daripada mengurut luka [akibat jatuh/terhentak] yang sedang bengkak kerana mungkin kecederaan yang dialami lebih serius daripada yang disangka. Sebaik-baiknya lakukan cold compress dahulu dan jikalau ada masalah seperti sakit ketika menggerakkan kaki/tangan/jari, bawalah untuk x-ray di klinik atau hospital.
Semoga anak Cikgu Hasni cepat sembuh dan mereka sekeluarga tabah menghadapi ujian ini.

3 comments:

  1. ooo. time kasih kak liya. hee~ dpt ilmu bru..klu jatuh jgn urut dlu, letak ais...
    :)
    time kasih

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.

    2 Minggu lepas baru terjatuh dari motorsikal selepas dihentam kereta dari belakang. Kaki terus bengkak dan ramai orang menasihati saya pergi urut-urut.

    Lama-lama terlupa nasihat orang lain. hehe.. Alhamdulilah rupanya tak payah urut pun.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam
    atie,Sama-sama kasih.. :)
    Ikhwan, semoga sudah sembuh daripada luka akibat kemalangan itu. Boleh urut tetapi perlulah tunggu sehingga bengkak itu surut dulu, dan sah tiada tulang yang cedera.

    ReplyDelete