Thursday, March 24

MARKING

Cuti sekolah selama seminggu merupakan waktu yang sibuk bagi saya. Sepatutnya berehat tetapi pada waktu yang sama, saya perlu menyemak kertas jawapan ujian prestasi yang diadakan sebelum cuti. Itulah tugas seorang guru. Bagi mereka yang bukan dalam bidang perguruan, mungkin mereka akan menganggap guru bertuah kerana sering dapat bercuti. Sebenarnya dalam cuti masih banyak kertas sekolah yang perlu dibereskan.

Menyemak kertas Bahasa Inggeris peringkat SPM, walaupun hanya kelas-kelas Tingkatan 4, sangat memenatkan. Berbanding kertas soalan subjek seperti Sains dan Matematik yang berbentuk fakta atau kiraan, kertas Bahasa memerlukan seorang pemeriksa membaca jawapan esei dan rumusan karangan daripada pelajar berulang kali. Baca sekali lalu, beri markah untuk isi, baca kali kedua baru semak kesilapan tatabahasa lalu beri markah untuk bahagian bahasa. Itu baru bahagian esei, belum masuk bahagian rumusan dan sastera. Kalau semak sambil lewa, bersalah pula kepada para pelajar. Mahu tak mahu, kenalah periksa dengan teliti. Itupun ada pelajar yang mengadu kerana saya dikatakan terlalu cerewet dengan markah, hahahaa..

Saya mengajar sekolah harian biasa. Bukan sekolah elit. Seperti biasa, para pelajar terdiri daripada mereka yang rajin dan bijak sehinggalah mereka yang liat untuk belajar dengan serius. Dan oleh sebab ramai pelajar Melayu yang lulus cemerlang sudahpun mendapat tempat di sekolah-sekolah elit dan sekolah berasrama penuh, yang tinggal di sekolah harian biasa terdiri daripada mereka yang tiada tempat lain untuk dituju. Para pelajar yang cemerlang pula ramai yang terdiri daripada pelajar bukan Melayu, kerana mereka yang jarang ke sekolah berasrama penuh.Oleh sebab itu jugalah, mereka yang lulus cemerlang dalam peperiksaan (8A ke atas) kebanyakannya terdiri daripada pelajar bukan Melayu di sekolah harian biasa. Para pelajar Melayu yang cemerlang di sekolah harian biasa tidak seramai mereka yang bukan Melayu.

Yang menyedihkan, terdapat segolongan besar pelajar Melayu yang seolah-olah tidak kisah akan prestasi mereka dalam peperiksaan, terutamanya dalam subjek Bahasa Inggeris. Mungkin kerana Bahasa Inggeris bukanlah subjek yang wajib lulus dalam SPM. (Malang lagi, ramai juga pelajar Melayu yang gagal dalam subjek Bahasa Melayu SPM - dikira gagal mendapat sijil SPM). Ketika di Tingkatan 4 terutamanya, mereka banyak bermain dan tidak serius dalam pelajaran. Sebagai guru, seringkali saya mendapati kertas jawapan mereka 'kosong' tidak dijawab walaupun berulang-kali diingatkan supaya menjawab semua soalan. Markah yang diterima seringkali merupakan markah daripada bahagian pelbagai pilihan jawapan/objektif sebanyak 15 soalan. Agaknya jikalau kesemua soalan memerlukan pelajar menulis jawapan sendiri, lagi teruklah markah mereka.

Apabila disoal, mereka akan berkata bahawa subjek Bahasa Inggeris susah untuk lulus. Melalui pengalaman saya, sebenarnya tanggapan mereka itu tidak benar. Jikalau seseorang pelajar itu rajin berusaha dan banyak melakukan latihan bertulis, prestasinya akan bertambah baik, tak kiralah bangsa apa sekalipun. Lihatlah pelajar-pelajar yang asalnya di SJKC dan SJKT, di mana waktu mereka mempelajari Bahasa Inggeris  tidak sebanyak waktu yang diperuntukkan untuk subjek itu di sekolah kebangsaan. Namun begitu, ramai bekas pelajar sekolah jenis kebangsaan yang akhirnya berjaya menguasai Bahasa Inggeris lebih baik daripada pelajar dari sekolah kebangsaan.

"Yang lemah pun anak bangsa kita (Melayu). Kita perlu bantu mereka, buat sesuatu supaya prestasi mereka naik dalam subjek BI," seorang pengetua sekolah pernah mengingatkan saya.
Tapi guru hanya mampu melakukan sebaiknya dengan kerjasama para pelajar itu sendiri. Jikalau pelajar tidak berminat dan terus memberikan reaksi negatif, ia umpama cuba menggerakkan sebuah bukit yang besar.
Sikap negatif pelajar terhadap Bahasa Inggeris terutamanya dalam kalangan remaja Melayu sedikit sebanyak merugikan mereka sendiri. Ada yang tak mahu bercakap dalam Bahasa Inggeris kerana dipengaruhi oleh rakan-rakan lain yang akan menuduhnya 'berlagak macam Mat Salleh".Apabila disuruh 'speaking', pandai pula mengaku 'tak pandai'. Malah ada yang menggunakan alasan bangsa lain pun boleh maju dengan bahasa ibunda dijaja sebagai sebab mereka tidak mahu/perlu menguasai Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dengan baik, dan mencemuh mereka yang berusaha agar semua pelajar berjaya menguasai lebih daripada satu bahasa. Entahlah, saya sendiri pun kadangkala pening dengan keadaan dan sikap pelajar-pelajar begini. Kita nak tolong mereka tetapi jikalau mereka sendiri enggan menolong diri mereka sendiri, yang rugi mereka juga nanti.


Tatkala ada pelajar Cina bukan Islam pun sudah boleh menguasai Tasawwur Islam dengan skor A+ dalam SPM, bagaimana pula nasib anak-anak Islam keturunan yang masih gagal dalam subjek itu? Bagaimana nak amalkan ajaran dengan baik sedangkan pengetahuan pun masih kurang?
Aduhai, kasihan sekali pada mereka yang diberi segala kemudahan untuk belajar (berbanding zaman saya yang terpaksa berjimat untuk membeli buku teks) tetapi masih malas/tidak mahu belajar dengan baik.

4 comments:

  1. sy pn student jugak kak liya, slalu dah tgk budak2 ckp x reti nk ckp english sbb x biasa, bgi sy, klu kite nk maju, kuasai and belajar ilmu yg ada... tpi jgn tggl ilmu2 basic utk hidup.. tu je..
    kdg2 ada org aggp, klu ckp org putih, agama tunggang langgang.. sebenarnya, ikut org tu, klu de nk maju , de kekalkan agama, n belajar ilmu baru

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum, kak aliya.how r u??
    marking bhg paling memenatkan bagi mereka yg bergelar guru.jika dahulu ibu ain hanya guru tadika, kini adik perempuan ain pula guru sek rendah bagi subjek bahasa Inggeris.

    Masih ain ingat lagi sewaktu dibangku sekolah rendah mahupun menengah, subjek b.melayu antara subjek kegemaran.Malah, ain jadi tempat rujukan rakan2.

    bkaitan pelajar zaman sekarang, selain guru sekolah, pusat tusyen yg makin melambak disana sini, ibu bapa juga bperanan mengambil tahu prestasi pelajaran anak-anak.

    namun, kini faktor psekitaran yg mementingkn hiburan juga melekakan bukan saja kepada anak-anak muda ini, malah ibu bapa juga turut bpengaruh.

    dan tak lama lagi AF bakal bsiaran, dan sudah pasti satu keluarga akan duduk menonton program kgemaran sambil memberi komen!

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam atie,
    Nauzubillah, kalau benar cakap orang putih agama tunggang langgang, bagaimanakah nasib orang putih yang memang tidak tahu cakap Bahasa Melayu tetapi diiktiraf sebagai pendakwah Islam yang hebat di peringkat antarabangsa seperti Ahmad Deedat dan Yusuf Estes?
    Lebih banyak bahasa kita berjaya kuasai, lebih banyak ilmu yang akan kita perolehi kerana akan berupaya membaca karya yang dicetak dalam bahasa ibunda itu [tanpa tunggu terjemahan B.Melayu]dan insyaAllah lebih mudah kita berdakwah kepada orang bangsa asing tentang keindahan dan kebenaran Islam.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam nurain,
    Alhamdulillah, masuk 5 bulan mengandung ni, dah makin sihat dan montel la saya, hahaahaaa.. sekarang online kerana Ikram sudah tidur.
    Benar, peranan ibu bapa sangat penting. Kalau ibu bapa sentiasa prihatin tentang pembelajaran anak dan menggalakkan mereka untuk menguasai bahasa Inggeris serta bahasa Melayu, insyaAllah lama-kelamaan anak mereka akan berjaya juga. Ada juga ibu bapa yang megah dengah tv plasma/lcd besar dvd di rumah tetapi merungut ketika diseru membelikan buku rujukan berharga RM10 untuk anak mereka :(

    ReplyDelete