Sunday, November 7

MEROTAN MURID KERANA MEMBAWA NASI GORENG DAGING - TINDAKAN YANG MENAIKKAN ISLAMOPHOBIA

Murid bawa makanan tidak halal dirotan disiasat

KUCHING 4 Nov. - Jabatan Pelajaran negeri akan meneliti kes membabitkan seorang pelajar tahun empat di sebuah sekolah di sini yang mendakwa dirotan sebanyak 10 kali oleh gurunya kerana membawa bekal nasi goreng berlaukkan sosej babi, baru-baru ini.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak sekolah berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, adalah lebih baik untuk mendengar alasan kedua-dua pihak terbabit terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.
''Setelah kita mendengar perkara sebenar yang berlaku, baru kita dapat menilai perkara ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang semalam.
Semalam, Angela Jabing membuat aduan bersama sayap wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan mendakwa bahawa anaknya berusia 10 tahun dirotan penolong kanan sekolah kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah.
Angela berkata, pada 15 Oktober lalu, dia menyediakan nasi goreng beserta sosej babi sebagai bekal makanan kepada anaknya ketika waktu rehat sebelum dikejutkan dengan berita bahawa anaknya itu telah dipukul serta dirotan sebanyak 10 kali kerana membawa makanan tersebut.
Tambahnya, anaknya kini takut untuk pergi ke sekolah akibat kejadian itu.
Sementara itu, sumber Jabatan Pelajaran negeri ketika dihubungi hari ini memberitahu, kes murid berkenaan sedang disiasat dan satu laporan lengkap akan disediakan dalam masa terdekat.
Katanya, kes tersebut perlu disiasat dengan teliti bagi memastikan kebenaran dakwaan murid itu.
Tambahnya, murid-murid dibenarkan untuk membawa bekal ke sekolah walaupun mengandungi bahan haram kecuali pihak kantin dilarang daripada menjual makanan tidak halal di sekolah.
*********************************************************************************
Saya tertarik membaca berita ini apabila mendapati banyak komen dalam ruang Malaysiakini dan bebrapa blog yang agak anti-Islam mengutuk tindakan penolong kanan pentadbiran sekolah itu sebagai tindakan 'fanatik Islam'.
Hmmm, rotan pun dah rotan, sekarang tunggulah siasatan terperinci.
Saya tidak menyalahkan ibu pelajar berkenaan kerana membuat aduan. Itu adalah haknya tambahan lagi tindakan merotan murid sebanyak 10 kali boleh dianggap keterlaluan [ibu mana tak sakit hati kalau anaknya dirotan 10 kali untuk sesuatu yang bukan kesalahannya?]
Difahamkan melalui laporan akhbar, murid-murid di sekolah itu hanya diberitahu bahawa larangan melarang membawa makanan tidak halal, yakni yang mengandungi daging babi, hanya disampaikan kepada murid semasa perhimpunan pagi dan tidak secara bertulis kepada ibu bapa/penjaga mereka.

Sebagai seorang guru [juga pernah mengajar di sekolah rendah lebih 10 tahun] dan kini seorang ibu, saya ingin menasihati para ibu bapa tentang prosedur merotan yang dikenakan terhadap para pelajar di sekolah. Ketahuilah hak anda dan lebih penting lagi, hak anak anda terutama murid sekolah rendah.Mereka boleh dihukum untuk apa saja kesalahan yang dilakukan di sekolah [biasalah, siapa tak nakal semasa kanak-kanak, kan?] dan paling dikhuatiri, oleh sebab saiz dan pangkat mereka lebih rendah, boleh berlakunya penyalahahgunaan kuasa oleh sesetengah pihak.Ibu bapa perlulah sentiasa memantau dan berjumpa dengan guru-guru anak mereka untuk mengetahui perkembangan akademik dan sosial anak.
Namun demikian, sentiasalah siasat dahulu dakwaan anak supaya cerita sebenar diketahui. Ada juga murid nakal yang suka 'menjual nama guru' dengan tujuan menyembunyikan kesalahan sendiri.

Antara hukuman yang mungkin tidak diketahui umum adalah:
i. Merotan hanya dibenarkan di tapak tangan tidak melebihi 3 kali bagi kesalahan sederhana
ii. Merotan hanya dibenarkan di punggung tidak melebihi 3 kali bagi kesalahan berat
iii. Kesalahan ringan hanya diberi amaran dan sesi kaunseling.
Untuk keterangan lanjut bolehlah rujuk sini 
Untuk mengetahu peraturan sekolah awam secara terperinci, bacalah di sini [anda mungkin seorang ibu/bapa atau bakal ibu/bapa yang sedang/bakal mempunyai anak di sekolah]

Permasalahan yang ditimbulkan di sebuah sekolah di Kuching  itu sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara mudah, iaitu dengan memberi amaran kepada murid itu dan terus menghubungi ibu bapanya [jikalau sah dia beragama Islam seperti yang didakwa oleh beberapa pihak]. Tak perlu dirotan apatah lagi peraturan melarang makan makanan tidak halal di kantin sekolah, tidak wujud dalam peraturan sekolah secara bertulis.

Oleh kerana kesilapan seorang yang berjawatan di sekolah, dan juga kerana dia beragama Islam dan murid itu bukan Islam, isu ini telah dibesar-besarkan di peringkat negeri [bulan lalu] dan kini di peringkat antarabangsa [melalui internet]. Mereka yang bukan Islam dan sememangnya sudah Islamophobia mengambil peluang ini untuk menyerang dengan pelbagai komen negatif sehingga turut membabitkan nama baik Islam.

Bukan mudah untuk kita membetulkan semula keadaan, bak kata pepatah, kerana seekor lembu tercalit lumpur, semua terpalit sama.
Kini isu ini dipolitikkan pula... isy isy isy.
Sosej oooo sosej...
Oleh itu sebagai orang Islam yang berpengetahuan dan hidup dalam kalangan masyarakat berbilang agama, kita perlulah sentiasa berhati-hati dengan tindakan kita. Jangan memberi peluang kepada mereka yang bukan Islam mengutuk dan memperlekehkan agama Islam.
Tambahan pula kalau guru, elakkan daripada menghukum pelajar dalam keadaan marah. Ikutlah prosedur yang sedia ada.

3 comments:

  1. salam,

    saya berasa hairan juga. bagaimana guru yang merotan tahu sosej yang dibawa oleh pelajar itu adalah sosej babi? pelajar itu menjamu rakannya atau cikgu itu kah?

    semoga dilindungi Allah SWT

    ReplyDelete
  2. waalaikumussalam,
    Entahlah,tidak dinyatakan dalam berita itu maka hanya mereka yang terbabit sahaja tahu. Setahu saya, sosej babi ada 2 jenis - yang berlemak warna merah dan yang berdaging berwarna coklat gelap. Boleh dilihat dalam internet images jikalau ditaip search 'chinese sausage' atau 'lapcheong'

    ReplyDelete
  3. Terlampau la rotan anak murid sampai 10 kali. Sian anak murid tu. Isu ni sensitif, and memang akan ada backlash dari non-muslims. Cikgu tu patut berpikiran panjang sket. Maybe call up the mother to explain. Jangan terus hukum anak murid...dia tau nak makan je.

    I think in this case, the teacher should make a public apology to calm down the situation. And then all schools should send written letters to all non-muslim parents about what kind of food is not permitted in school.

    ReplyDelete