Monday, September 13

22 TAHUN - DULU dan KINI

Terkenang Hari Raya Aidilfitri semasa saya belajar di sekolah menengah dulu. Memang seronok, kerana saya tak perlu makan di rumah. Selepas bersarapan, saya akan berjalan 10 minit ke perhentian bas untuk menaiki bas awam ke pekan Sg Petani. Dari situ saya akan menaiki bas lagi ke kawasan Sg Layar. Di situlah saya akan menyambut Aidilfitri di rumah kawan-kawan dari pagi sehingga petang.

Seronok bertandang ke rumah orang pada Hari Raya, walaupun saya sendiri bukan beragama Islam ketika itu. Setiap rumah ada masakan istimewanya. Sempena Hari Raya Aidilfitri, barulah saya kenal apakah itu serunding, lemang, ketupat, biskut suji, dan rendang. Layanan mesra kelas pertama. Selepas makan di sebuah rumah, saya akan disertai kawan-kawan Melayu serta India yang lain [biasanya saya seorang saja 'amoi' yang pergi] untuk menziarahi rumah kawan-kawan lain. Merekalah yang beramai-ramai berbasikal dan berganti-ganti membawa saya. Dari situlah saya belajar adat orang Melayu, bagaimana memberi ucapan hari raya dan bagaimana orang Melayu menghidangkan makanan pada hari raya, yang berlainan dari budaya orang Cina.

Selepas tamat sekolah menengah, kami berpisah. Ramai kawan Melayu yang melanjutkan pelajaran dengan mengambil matrikulasi, sementara saya ke Tingkatan 6, seterusnya baru ke Maktab Perguruan. Semua membawa haluan masing-masing. Pada zaman itu, mana lah ada internet dan handfon. Yang rajin akan berbalas surat dan menelefon ke rumah keluarga kawan untuk bertanya khabar. Yang sibuk, terus senyap sepi tanpa berita tambahan pula sudah menetap di bandar lain.

Alhamdulillah kerana dengan kemajuan internet, kami dapat berhubung semula melalui Facebook. Walaupun ramai yang jauh di luar negara, kami masih dapat mengikuti perkembangan kawan-kawan melalui internet. Kalau tidak, mungkin ada kawan lama yang berjalan di hadapan saya pun saya tak cam. Maklumlah ada yang dulunya comot, kini sudah anggun. Dulu gemuk, kini sudah kurus. Dulu tak bertudung kini sudah bertudung. Saya pula, dulu 'amoi' berambut pendek, kini dah beragama Islam dan menutup aurat.

Hari Raya Aidilfitri tahun ini mencatatkan peristiwa manis kerana saya akhirnya dapat berjumpa kembali dengan beberapa kawan evergreen ini, yang mengenali saya semenjak dari Tingkatan Satu di SMK Fr Barre's Convent [ada yang dari sekolah rendah]. Jemputan last minute oleh tuan rumah berjaya mengumpulkan 6 orang kawan pada Hari Raya ke3 di Sg Petani. Saya turut membawa Ikram bersama kerana nurseri masih ditutup.
Alhamdulillah, semua yang hadir ceria dan sihat walafiat. Oleh kerana sudah 22 tahun tak berjumpa [bagi saya], kami seronok bersembang, sambil mengingat kembali kisah-kisah lama dengan guru dan kawan-kawan lain. Sudah 22 tahun tak dengar orang panggil saya dengan gelaran lama, ternganga juga pada mulanya apabila dipanggil begitu. Para suami yang menemani diminta bersembang di sudut lain, hehehe... anak saya pula sudah bermanja dengan ahli keluarga tuan rumah dan dah lupakan Umminya.

InsyaAllah kami bercadang akan mengadakan perjumpaan yang lebih besar lagi kelak, supaya lebih ramai kawan Melayu dan bukan Melayu yang dapat hadir. Masalah utama adalah memilih tarikh yang sesuai, kerana kawan-kawan Cina akan berkumpul pada Tahun Baru Cina, sementara yang Melayu tak pulang ke Sp. Begitu juga, yang Cina tak pulang pada Hari Raya. Yang India juga perlu dijemput pada hari yang mereka tidak sibuk dengan perayaan keagamaan. Sebahagian pula sudah berhijrah ke luar negara mengikut suami masing-masing.

Walau apapun. saya bersyukur kerana diizinkanNya untuk bertemu kembali dengan beberapa kawan-kawan evergreen ini. Kawan-kawan sekolah yang paling mengenali diri kita kerana merekalah yang bersama kita bertahun-tahun lamanya. Bersembang dengan mereka, mengumpat cikgu-cikgu dengan mereka, bergaduh pun dengan mereka. Gelaran nama yang diberikan pada kita akan dibawa sehingga mati, dan gelaran itulah yang menjadi pembuka bicara serta menjadi identiti apabila mengingat kembali kisah dulu.
Sememangnya persahabatan begini tidak boleh dibandingkan dengan persahabatan dengan orang sepejabat.
Semoga persahabatan yang ada ini diberkatiNya dan berkekalan sehingga ke akhir hayat kami, ameen.

nota: Gambar lama semasa bersekolah dulu tak boleh diupload kerana hanya seorang saja yang menutup aurat ketika itu :)

2 comments:

  1. memang manis dan seronok bila dapt berkumpul dgn kawan2 lama...pasti terkenang kembali kenangan lama...

    ReplyDelete
  2. Nurain,
    Ya, memang seronok berkumpul dengan kawan-kawan evergreen ni, sebab sama umur dan pernah berkongsi pelbagai pengalam bersama-sama di sekolah. Saya percaya nurain pun akan rasa begitu bila berjumpa kawan-kawan lama, kan?

    ReplyDelete