Sunday, August 22

BILA ANAK SAKIT

"Anak sakit apa?"
Saya menjeling ke arah gadis berumur 12 tahun yang terbaring di atas katil bilik wad yang diasingkan daripada wad biasa. Tinggi dan amat kurus.
"Paru-paru dia masuk angin.." jelas ibunya dengan suara yang lemah.
"Dah berapa hari di sini?"
"Dah seminggu, bermula awal Ramadhan lagi."
Masya-Allah, sudah seminggu! Saya melihat sekeliling. Ikram sudah tertidur di katilnya, lalu memberi saya peluang untuk berbual dengan ibu-ibu lain yan sedang menemani anak yang sakit.
Kami, 6 ibu dan 6 anak sakit, berada di dalam isolation ward hospital kerajaan, yang dipantau 24 jam sehari oleh doktor dan jururawat. Bilik bertutup dan berhawa dingin. Semua dikategorikan kes serius yang memerlukan rawatan rapi.

Ada pesakit jantung berlubang yang kesesakan nafas, ada pesakit demam batuk, ada pesakit kulitnya lebam yang tidak boleh sembuh, ada pesakit yang diserang sawan/tarik. Ikram pula didiagnos sebagai sakit acute bronchiolitis.
Sementara anak tidur, kami kaum ibu mengambil peluang bersembang untuk menghilangkan rasa bosan dan stres. Maklumlah perlu berada di sisi anak yang sakit 24 jam sehari, kerana menjaga anak dan memberikannya ubat minum/sapu [yang disampaikan oleh jururawat bertugas] semuanya tanggungjawab kami.

Saya amat bersyukur kerana berbanding dengan kanak-kanak lain, Ikram boleh dikatakan tidak begitu serius penyakitnya. Dia cuma perlu diubati daripada batuk berkahak [ada jangkitan paru-paru], tetapi kerana umurnya yang hanya 2 bulan 4 minggu, dia dikhuatiri sesak nafas dan lemas dalam muntahnya jika tidak dijaga dengan teliti. Ada bunyi 'wheezing' di dalam paru-parunya yang ada mucus dan hidungnya agak tersumbat.
Setiap 4 jam, saya terpaksa memberinya ubat dengan sedutan gas yang digelar nebulizer untuk melegakan saluran pernafasannya. Ikram tidak suka dan meraung setiap kali ia diletakkan pada wajahnya, tetapi apakan daya, itu cara perubatan yang paling kurang risiko pada kesihatannya.

Menjaga anak yang sakit pada hari biasa sudah meletihkan, apatah lagi pada bulan puasa Ramadhan. Tak makan mahupun minum selama 14 jam, sambil melawan perasaan mengantuk kerana berjaga malam. Keadaannya hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Syukur kerana Dia memberi kekuatan dan kesabaran untuk kami terus berpuasa sedangkan kalau ponteng pun, tiada siapa yang tahu. Makanan hospital memang diberi kepada ibu-ibu yang tidak berpuasa di dalam wad. Sebaliknya, ibu yang berpuasa terpaksa menyediakan makanan untuk bersahur sendiri kerana tiada dalam menu hospital.
Inilah pengalaman pertama saya berbuka puasa dan bersahur di dalam wad hospital. Memang sunyi. Tatkala orang lain berbuka puasa di rumah dengan pelbagai juadah, kami berbuka dengan hanya makanan yang sempat dibawa oleh kaum keluarga ataupun dengan makanan yang diberi oleh pihak hospital. Begitu juga ketika bersahur. Bersendirian tanpa ahli keluarga kecuali si suami, itupun jikalau dia tiada urusan lain dan tidak perlu jaga anak lain di rumah [waktu melawat sehingga 7 malam saja].

Namun begitu, saya bersyukur kerana pengalaman menjaga Ikram semasa di wad hospital memberi peluang kepada saya untuk lebih mendekati Allah swt. Semua yang saya lakukan/tidak lakukan di hospital sendirian bersama anak [berpuasa, bersahur, solat, dsb] hanya Dia dan saya sahaja yang tahu. Dia sahaja tempat saya bergantung dan berdoa. Dia juga yang Maha Mengetahui perasaan saya sepanjang masa 'disekat' di hospital kerana menjaga Ikram yang sakit. Secara tidak langsung, kesakitan Ikram merupakan ujian Allah kepada saya dan suami, yang sengaja berlaku pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Pengalaman ini juga menyebabkan saya lebih bersyukur kerana dianugerahkan seorang anak yang sihat [insyaAllah sakit batuknya akan sembuh] berbanding anak-anak lain yang saya jumpa di hospital selama 5 hari itu. Saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaannya jikalau anak saya terlantar lebih seminggu di isolation ward kerana penyakit yang belum diketahui puncanya [setiap hari pelbagai ujian akan dilakukan kepada si kecil itu sehingga dapat dikesan puncanya] dan saya sebagai ibu terpaksa melihatnya meraung kesakitan [saya diberitahu kanak-kanak biasanya akan trauma sehingga akan menangis setiap kali melihat pintu bilik khas di mana darah/air kencing diambil]. Na'uzubillah, semoga anak-anak kita dijauhkan daripada diuji begini. Saya tabik pada ibu-ibu kanak-kanak yang sakit tenat yang begitu tabah menerima ujian tersebut. Sesungguhnya Allah tidak akan menguji seseorang melebihi tahap kemampuannya.

Ikram akan diperiksa semula pada minggu depan kerana paru-parunya masih belum sembuh sepenuhnya daripada jangkitan kuman ketika kami meninggalkan hospital.
Sehingga saat ini, nampaknya dia sudah semakin sembuh. Batuknya sudah berkurangan dan dia ceria seperti selalu. Dia sudah kembali kepada berat asalnya, 6.2kg [bertambah 1/2 kilo di hospital] Kini, cabaran saya pula untuk memastikan dia tidak memuntahkan ubat syrup yang tidak disukainya.

8 comments:

  1. Assalamualaikum.

    Recite : " As'alullahaal `Adheema Rabbal - `Arshil `Adheemi `an Yashfiyaka" x 7 times and blow it over Ikram.

    It means : I ask Almighty Allah, Lord of the Magnificent Throne to make you well. (Recite 7 times in Arabic ~ the transliteration above.

    Insya Allah, your son will be healed with the Mercy and Blessings of Allah!

    " Syifa tu bi iznillah!"

    ReplyDelete
  2. Dear Aliya,
    Semoga Ikram cepat sembuh dan dapat balik ke rumah dengan segera.
    Nampaknya Ikram punya paru-paru sensitif. Anak yang macam ni, selalunya alami chesty cough dan wheezing yang berulang-ulang. Kena hati-hati supaya tak menjadi full blown asthma.
    Semoga dalam rahmat Allah sentiasa...

    ReplyDelete
  3. saya syorkan pun sprimadu dicampurkan air untuk menambahkan tenaga dan imuniti ikram.
    Amalkan juga selawat syifa atau lain2 selawat. Niatkan kesembuhannya. Insya Allah.
    Di Parit Buntar ada satu klinik Pakar Kanak2. Dr Tan di Pekan Lama Parit Buntar. Jika berkesempatan nanti bolehlah bawak Ikram ke sana. Agak mahal berbanding klinik biasa namun lebih murah berbanding pakar kanak-kanak kat Area Sbrg Jaya n Penang.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Kak Aliya.

    Aja harapkan dgn izin Allah S.W.T, Ikram akan bertambah sihat serta dielakkan daripada mendapat penyakit2 yg memudaratkan.

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam sifu,
    Thanks for the tip ..insyaAllah, he'l be 100% healthy again

    ReplyDelete
  6. Salam Huda,
    Saya pun harap tiada kes asthma pula. Ni dok berjaga-jaga sebab setiap kali Ikram batuk, wajahnya kemerah-merahan dan dia marah betul, huhuhu. Alhamdulillah semalam bawa untuk checkup dengan pediatrician di hospital, Ikram dikatakan semakin sembuh, cuma akan mengambil masa lagi 2 minggu untuk kesihatannya kembali kepada normal.

    ReplyDelete
  7. joe penang,
    Saya akan cuba, insyaAllah. Syukur kerana walaupun sakit, anak lelaki ni aktif, malah orang utara kata 'buas'. Saya bawa dia ke Dr Oh, pakar kanak-kanak di Bandar Perda sebab dekat, harga pun berpatutan.

    ReplyDelete
  8. Waalaikumussalam Hajar,
    Terima kasih atas doa, ameen. Ikram dah semakin sihat, alhamdulillah. Dok 5 hari dalam wad, dia naik setengah kg, saya pula turun 2 kg~

    ReplyDelete