Saturday, May 1

SESI Q&A

Semalam ada sesi soal-jawab selepas ceramah. Antara soalan yang dikemukakan kepada saya adalah:
1. Apakah ekspektasi/ harapan saudara baru?
2. Bagaimana membuang persepsi masuk Islam = masuk Melayu
3. Bagaimana terangkan istilah kafir kepada bukan Islam
4. Bagaimana orang Islam boleh bantu saudara baru?

Hmmm.. kalau anda di tempat saya, apakah agaknya jawapan yang diberikan?
Kata suami yang turut berada di situ, "Ok lah, tetapi masih boleh diperelokkan lagi."
InsyaAllah, nanti saya sambung pos ini dengan jawapan spontan saya pada malam itu, dan diperhalusi dengan penambahan maklumat selanjutnya di sini [buat para audien semalam yang meninjau ke blog ini, hehe].

Sekarang dah letih, baru pulang ke rumah dengan katil yang masih perlu dipasang semula, alhamdulillah... yeahhhh :D

Kalau tak silap saya, inilah jawapan spontan saya berikan semasa ceramah tempoh hari [ada sedikit penambahan]:
1. Apakah ekspektasi/ harapan saudara baru?
  • Kami berharap agar dapat diterima sebagai saudara seagama. Terima seadanya, tapi jangan terlalu mendesak kami agar cepat berubah menjadi Muslim sejati dan jangan letakkan harapan terlalu tinggi. Kalau orang lahir Islam pun mengambil masa lama bertahun-tahun untuk mempelajari dan mendalami ilmu Islam, berilah sedikit masa kepada saudara baru untuk belajar, faham dan amalkan ajaran Islam. Bimbing, nasihat dan ajar tetapi janganlah terlalu cepat menghukum.
  • Adakan peninjauan dan 'followup' secara berkala kepada saudara baru selepas mereka memeluk Islam. Ziarahlah ke rumah mereka untuk mengetahui keadaan mereka, dan hulurkan bantuan zakat bagi yang memerlukan tanpa mereka merayu dan menagih. Jangan tunggu sehingga apabila saudara baru itu meninggal dunia, barulah kelam kabut sehingga berlaku kes perebutan mayat, lebih-lebih lagi setelah berpuluh-puluh tahun dia murtad tanpa diketahui pejabat agama Islam dan hidup sebagai bukan Islam.
  • Mudahkan proses pengislaman saudara baru, termasuk dari segi undang-undang. Islam agama rasmi negara tetapi saudara baru yang memeluk Islam dibiarkan berurusan sendirian untuk menukar nama dan status agama dalam kad pengenalan. Dari saat mengucap 2 kalimah syahadah, sepatutnya pihak jabatan agama tolong uruskan agar saudara baru itu dibantu dalam proses angkat sumpah bahawa dia dah peluk Islam [tak perlu pergi sendiri cari pesuruhjaya sumpah], berdaftar di jabatan pendaftaran negara sebagai orang Islam, dan tidak perlu menunggu sehingga hampir 6 bulan sebelum menerima kelulusan dari Putrajaya untuk pertukaran maklumat dalam kad pengenalan [terutama kepada kakitangan awam]. Proses sekarang amat rumit dan menyusahkan, sehingga ada yang tidak langsung mengisyiharkan pengislamannya di JPN.
  • Berikan juga motivasi kepada saudara baru yang masih lemah dari segi pengetahuan dan iman. Tekankan pada akidah dan akhlak di samping mengajar tentang fiqah.
  • Di sebuah NGO Islam sebuah negeri, seorang saudara baru pernah mengadu kepada saya bahawa walaupun dia memeluk Islam semenjak bulan September 2009, sekarang sudah bulan April 2010, dia masih disuruh meneruskan dalam kelas satu, tidak boleh naik kelas dan mempelajari perkara lain. Alasannya kerana dia masih belum pandai menyebut dengan betul bacaan dalam solat. Dia tidak pula diberi kelas iqra. Akhirnya dia merajuk dan tidak mahu sambung pengajian di situ. Kalau anda di tempatnya, mahukah anda teruskan, atau anda akan rasa Islam itu sangat susah dipelajari?
  • Banyak berempati pada saudara baru.
2. Bagaimana membuang persepsi masuk Islam = masuk Melayu
  • Alhamdulillah sekarang dengan adanya media massa dan pertubuhan NGO Islam seperti MACMA dan IPSI, persepsi masuk Islam bermaksud masuk Melayu semakin terkikis.
  • Lagipun sebilangan besar yang memeluk Islam dewasa ini merupakan golongan terpelajar yang memahami konsep sebenar masuk Islam dan mahu mengekalkan identiti bangsa sendiri yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.
  • Mungkin mereka yang masih berpegang dengan persepsi masuk Melayu adalah golongan tua yang masih beranggapan begitu.
  • Pendidikan Islam yang menekankan bahawa Islam dianuti oleh semua bangsa di dunia perlu difahami dan dihayati oleh pelajar kita. Kalau boleh jemput penceramah Islam bukan Melayu yang boleh berkongsi pengalamannya memeluk Islam supaya dapat menimbulkan keinsafan kepada pelajar.
  • Penerangan dan kuliah khas tentang masuk Islam bukan masuk Melayu perlu diadakan dengan kerap melalui media akhbar dan TV supaya masyarakat faham dan dapat ubah persepsi.
  • Pembinaan bangunan khas seperti Masjid Cina dapat mengubah persepsi serong masyarakat terutama di kalangan orang Cina bahawa saudara baru Cina Muslim sudah masuk Melayu.
  • Kakitangan awam juga perlu peka dengan status bangsa seseorang yang memeluk Islam. Jangan secara automatik tulis Melayu apabila mengisi borang saudara baru tanpa bertanya padanya [selalu berlaku pada saya sendiri].
  • Jabatan Agama Islam juga perlu memainkan peranan penting terutama dalam usaha dakwahnya kepada bukan Islam, serta dalam sesi kursus kepada saudara baru. Salah satu benda yang dibekalkan kepada saudara baru adalah kain batik sarung/ kain pelikat. Mengapa berikan pakaian berkonsepkan keMelayuan itu sedangkan belum tentu akan digunakan oleh saudara baru yang bukan Melayu? Adakahia secara tidak langsung memberi bayangan bahawa saudara baru itu akan diMelayukan? Bukankah lebih baik kalau dibekalkan dengan kain tudung/kopiah, tasbih dan buku tentang akidha Islam, CD bacaan surah al-Quran yang lebih berkonsep universal?

3. Bagaimana terangkan istilah kafir kepada bukan Islam
  • Maksud 'kafir' adalah mereka yang menolak Islam. Benar, orang bukan Islam tidak suka dipanggil kafir.
  • Kita perlu terangkan maksud kafir bukan direka-reka oleh orang Islam tetapi sudah ada dalam kitab al-Quran.
  • Kafir dan bukan Islam tidak mempunyai maksud yang sama. Oleh itu, lebih baik kita menggunakan istilah bukan Islam untuk mereka yang tidak memusuhi Islam.
  • Kita juga perlu ingatkan diri kita dan beritahu mereka yang mengadu itu, bahawa orang kfir pad hari ini tidak semestinya akan kafir apabila dia mati [mungkin dia memeluk Islam dan menjadi seorang Muslim, insyaAllah] dan belum tentu seorang Muslim akan mati sebagai Muslim [ mungkin dia akan murtad, nauzu'billah]
4. Bagaimana orang Islam boleh bantu saudara baru?
  • Bantu mereka setakat mana yang boleh.
  • Terima kehadiran saudara baru sebagai saudara seagama, contohilah kaum Ansar yang menerima kehadiran kaum Muhajirin.
  • Hulurkan bantuan seperti menawarkan diri untuk mengajar mengaji, mengajar solat, menghantar mereka yang tiad kenderaan ke kelas agama, dll.
  • Jangan terlalu mendeak tetapi jangan juga buat tak tahu walaupun dia mungkin tinggal di sebelah rumah anda.
  • Tunjukkan sikap terbaik sebagai orang Islam.
  • Hulurkan bantuan kewangan dari kutipan zakat yang banyak itu, tanpa banyak kerenah birokrasi dan pandangan serong kepada mereka yang meminta. Bukan seperti sekarang, nak sedikit wang zakat, perlu isi borang, perlu tunggu ditapis, kena interviu, lepas itu baru dapat sedikit saja sedangkan saudara baru termasuk dalam golongan yang layak menerima zakat. Oleh itu, disyorkan saja mereka yang ingin membantu untuk hulurkan bantuan zakat mualaf kepada NGO Islam bukan kerajaan yang berurusan secara terus dengan saudara baru.
5. Bagaimana orang Islam dapat sebarkan Islam kepada bukan Islam?
  • Tunjukkan contoh terbaik dalam tingkahlaku, amalan dan pergaulan. Orang bukan Islam bukan tidak tahu ajaran Islam. Mereka tahu Islam melarang berjudi, minum arak, berzina dan sebagainya tetapi mereka juga melihat banyak orang Islam sendiri yang melakukan perbuatan terkutuk itu.
  • Doakan kawan-kawan bukan Islam agar mereka bukan sahaja diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam, tetapi juga kekuatan dan ketabahan untuk hidup sebagai orang Islam di bumi Allah.
  • Lakukan dakwah cara halus seperti menjemput kawan ke rumah untuk perayaan dan kenduri serta ikhlas berkawan baik dengan mereka. Hadiahkan buku tentang Islam yang boleh mereka fahami.
  • Untuk menerangkan tentang ajaran Islam kepada mereka bukan Islam, kita perlulah banyak membaca, hadiri majlis ilmu dan mendalami pengetahuan kita sendiri tentang ajaran agama kita. InsyaAllah akan lebih mudah untuk memberi penerangan secara spontan kepada kawan yang bertanya.

34 comments:

  1. Assalamualaikum semua,

    Ini jawapan pendek yg mungkin saya berikan.

    1. Harapan utama ialah masuk syurga, mendapat keredaan dari Allah S.W.T., belajar Islam yang sebenar, boleh menjadi seorang Muslimin yang sejati.... (list panjang sangat)
    Tapi selepas beberapa lama menjadi seorang Muslim, mungkin harapannya bertukar, berharap agar orang Muslim (konteks Malaysia) boleh memahami agama Islam yang sebenar dari takliq buta.

    2. Persepsi ini wujud walaupun dalam masyarakat Melayu Islam sendiri. Contoh pada masa saya nak register di pejabat agama, mereka menganggap masuk Islam untuk kahwin sahaja. Kalau nak hapuskan persepsi ini kena mula dari orang Islam sendiri kerana orang Islam di Malaysia suka membudayakan Islam.
    Pada masa saya peluk Islam di pejabat agama contohnya, mereka memberikan saya kain pelikat padahal saya orang Cina mana nak pakai.
    Orang bukan Islam pula tidak tahu tentang Islam kerana kita sendiri tidak melakukan dawah. Antara sebab kita tak buat dawah ialah sebab budaya kita yang lepas tangan dari tanggungjawab dawah yang wajib.

    3. Istilah kafir ini mudah diterangkan dgn quote ayat2 dari al-Quran.

    4. Orang Islam boleh bantu saudara baru dengan membayar zakat yang sepatutnya dibayar. Yang paling penting ialah orang Islam haruslah melakukan segala perbuatan yang wajib dan meninggalkan segala yang haram. Ini akan memberikan imej yang baik yang paling banyak membantu saudara baru dari pelbagai segi.

    -tak sempat nak tuliskan detail nanti terlebih panjang lagi.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,
    saya pernah dengar perbahasan mengenai istilah Kafir. Orang bukan Islam menganggap bahawa disebabkan istilah kafirlah yang menyebabkan perpecahan masyarakat.

    Jawapannya diberikan oleh seorang pendakwah yang terkemuka iaitu Dr. Zakir Naik. Sila follow link dibawah utk video. Semoga memberikan inspirasi dan semangat kpd akak dan umat Islam yang lain. Insyallah

    http://www.youtube.com/watch?v=s4sMSxHbyR4

    ReplyDelete
  3. 1. Apakah ekspektasi/ harapan saudara baru?
    -Mendalami Agama Islam melalui bantuan Ustaz/Perkim/NGO dalam bahasa cina/india
    -Memberi kaunselling sekiranya perlu(Muallaf sering dilanda masalah keluarga/kewangan)
    -Kelas iqra disediakan untuk muallaf
    -Kerajaan memberikan sokongan kepada muallaf sama ada dalam bentuk ceramah atau kempen.

    2. Bagaimana membuang persepsi masuk Islam = masuk Melayu
    -Islam yang membentuk corak budaya sesuatu kaum malah bukan Kaum yang mencorak Islam.
    -Saya pernah nampak buku yang menceritakan bagaimana Islam telah memimpin masyarakat melayu menuju pembentukan budaya yang berdasarkan landasan Islam, Contohnya gotong royong semasa kenduri ialah ajaran Islam.
    -Cuba menjelaskan konsep Rukun Islam ke Lima, Haji. Haji menyuruh seluruh dunia umat islam untuk berkumpul dan mengerja haji, telah merupakan Islam sendiri bukan perkauman kerana umat islam dikumpulkan tanpa mengira darjat dan kaum.


    3. Bagaimana terangkan istilah kafir kepada bukan Islam
    -Istilah kafir sungguh susah diterangkan kerana non muslim sungguh sensitif mengenai kritikan terhadap agama selain Islam.
    -Orang kafir adalah umpama najis seperti yang disebut dalam Al Quran, juga disebut sebagai binatang ternakan yang mampu mendengar bunyi-bunyian sahaja tetapi tidak memahami isinya semasa ajaran Islam disampaikan.
    -Non muslim akan menjauhi Islam sekiranya jawapan jujur diberikan. Jadi lebih baik tidak menjawab soalan tersebut.

    4. Bagaimana orang Islam boleh bantu saudara baru?
    -Memberikan dorongan/sokongan/ajaran kepada saudara baru sekiranya mampu

    ReplyDelete
  4. saudara/i darkcat,

    saya tidak bersetuju dengan pendapat saudara bahawa istilah 'kafir' adalah sukar dijelaskan.

    Masalahnya ialah dalam budaya tempatan kita yang menganggap semua orang non-muslim itu kafir, padahal jika dilihat dalam konteks al-Quran bukanlah sebegitu. Ini adalah salah faham yang berterusan wujud dalam masyarakat muslim di Malaysia.

    Link yang diberikan oleh Mocha Ghost adalah bagus untuk memahami istilah 'kafir'.

    Orang muslim Malaysia tidak memahami implikasi menuduh seseorang itu kafir sehingga perkataan ini digunakan secara terbuka dan ada masanya menyinggung perasaan orang non-muslim.

    ReplyDelete
  5. http://ms.wikipedia.org/wiki/Kafir

    ReplyDelete
  6. Ahong:

    Hidayah dan petunjuk itu datang daripada Allah swt. Manusia hanya boleh menyampaikan ajaran daripada Islam.

    ReplyDelete
  7. Saya tidak gemarkan penggunaan wikipedia kerana kandungannya yang tidak konsisten sehingga ada antara artikelnya yang menghina Islam. Contohnya ada lukisan yang dilabelkan sebagai Nabi Muhammad S.A.W. (rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Muhammad).

    Banyak maklumat dalam wikipedia yang berkenaan Islam hanyalah daripada artikel2 pendek sahaja yang tidak memberikan gambaran sebenar Islam serta nikmatnya.

    Sememangnya hidayah dan petunjuk itu adalah daripada Allah tetapi itu bukanlah satu alasan untuk tidak membuat da'wah. Jika maksud perkataan 'kafir' ini dirasakan susah untuk didawahkan maka adakah kita kenal agama kita sendiri?

    Ingin saya ulangi kafir tidak bermaksud non-muslim.

    ReplyDelete
  8. Sangat sangat setuju dengan brother Hong :)

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum,
    saya pernah dengar perbahasan mengenai istilah Kafir. Orang bukan Islam menganggap bahawa disebabkan istilah kafirlah yang menyebabkan perpecahan masyarakat.

    Masalahnya ialah dalam budaya tempatan kita yang menganggap semua orang non-muslim itu kafir, padahal jika dilihat dalam konteks al-Quran bukanlah sebegitu. Ini adalah salah faham yang berterusan wujud dalam masyarakat muslim di Malaysia.

    So........Thank's

    Quran

    ReplyDelete
  10. salah faham inilah yang perlu kita jelaskan dengan baik. contohnya juga istilah bagi Muamalaf, juga telah disalahertikan dalam masyarakat kita.

    Mualaf bukan hanya sekadar istilah bagi orang yang baru memeluk Islam, tetapi istilahnya adalah lebih luas.

    saya percaya dengan penjelasan yang lebih baik, sudah tentu dalam "menjinakkan" hati samada non-muslim atau yang sudah lama muslim untuk terus mendalami Islam yang suci ini. Insyallah

    ReplyDelete
  11. assalamualaikum wbt, kak aliya...

    mmg susah juger org yg asal Islam neh nk menunjukkan contoh yg baik coz tidak dimulakan dr kecil. Biasernyer, org2 ini akan mempunyai 1 persepsi yg agak kelakar dan kebykkannyer tidak menunjukkan contoh yg baik spt yg diharapkan. honestly, sy pon termasuk ant. org2 itu... membaca blog sis byk menyedarkan sy realiti menjadi muslim sebenar... sama2lah kita berubah ke arah kebaikan, sis... aminnn!!!

    ReplyDelete
  12. ahong:

    Sila jelaskan istilah "kafir" kepada saya berdasarkan Al-Quran, terima kasih.

    ReplyDelete
  13. Darkcat:

    Biar saya cuba untuk menjelaskan dengan semudah yang mungkin.

    Perkataan kafir adalah dari perkataan asas kufur, yang bermaksud untuk menolak (umumnya). Dari terminologi Islam, 'Kafir' bermaksud seseorang yang menolak kebenaran tentang Islam.

    Saya pasti dari definisi yang saya berikan adalah mudah untuk memutuskan bahawa semua orang bukan Islam ialah kafir. Namun begitu, jika dilihat dari segi kontekstual, saudara akan mendapati bahawa orang 'Kafir' hanya boleh diaplikasikan kepada mereka yang telah didatangi oleh ilmu/kebenaran tentang Islam yang sejati kemudian menolaknya.

    Orang bukan Islam yang tidak didatangi oleh kebenaran Islam / mendapat maklumat yang salah tentang Islam dan yang seumpamanya tidaklah dianggap sebagai Kafir. Bayangkan seorang manusia tinggal di pulau terpencil yang tidak ada apa2 agama, adakah dia kafir.

    Yang saya berikan itu hanyalah dari segi definisi. Kalau dari segi kita untuk melabel seorang itu kafir atau tidak itu bukanlah hak kita lansung. Itu adalah hak Allah S.A.W. sebab hanya Dia yang tahu apa yang ada dalam hati manusia. Ini adalah sama dengan Iman, siapakah kita hendak mengukur tahap Iman seseorang?

    Saya kuatkan dengan hadis ni.
    Volume 8, Book 73, Number 125d:

    Narrated Abu Huraira:

    Allah's Apostle said, "If a man says to his brother, O Kafir (disbeliever)!' Then surely one of them is such (i.e., a Kafir). "


    Saya ambil contoh Umar al-Khattab(hero saya) R.A. Sebelum memeluk Islam dia seorang pembuli sehinggakan dia sanggup untuk berjalan dengan Nabi Muhammad S.A.W. dan mengugut semua penduduk yang ingin Nabi S.A.W. dekati untuk da'wah. Adakah Umar ialah seorang Kafir?

    Antara masalah utama kita orang Islam ni ialah kita melakukan perlakuan tanpa ilmu dan itu akan menyebabkan imej Islam menjadi buruk. Anataranya ialah memanggil seseorang itu kafir. Tidak lupa juga kita jarang atau tak pernah untuk berda'wah. Tak pernah/jarang memanggil non-muslim ke arah Islam.

    Semoga Allah S.W.T. akan melindungi dan membuka hati kita semua (termasuk my parents, I hope).

    ReplyDelete
  14. Ahong:

    Insya Allah. I also wish my parents will meet the path of light but it's still Allah swt right to do so.

    ReplyDelete
  15. Sekadar renungan dari keratan Utusan Malaysia..

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive

    Maka Islam sebelum menghukum iman atau kufur atas seseorang mewajibkan Iqamah al-Hujjah (penegakan hujah). Setelah ditegakkan hujah dan alasan yang kukuh, jika dia terus membantah dan tidak menerima sedangkan dia tahu dari segi hujah dan alasan Islam ini benar, maka ketika itu dia dianggap sebagai kufur. Firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang beroleh petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk itu hanya kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Isra, ayat 15). Ayat ini adalah kaedah teras yang mesti difahami oleh setiap muslim. Allah Yang Maha Suci tidak akan menanggung dosa seseorang ke atas orang lain dan tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutusnya rasul yang menegakkan hujah. Apabila datang rasul, atau wakil rasul, atau apa sahaja saluran yang menyampaikan hujah dan bukti rasul terhadap kebenaran petunjuk Allah kepada seseorang sehingga dirinya akur bahawa ini merupakan ajaran Allah, maka jika dia menolak, dia layak untuk dihukum di Hari Pembalasan kelak.

    Sebaliknya, jika hujah yang kukuh mengenai Islam atau ajaran rasul itu tidak sampai kepadanya, maka dia tidak akan diazab oleh Allah sekalipun kita memanggilnya ‘kafir’ atau seumpamanya. Bahkan kita pula yang mungkin diazab oleh Allah jika kita tidak menerangkan ajaran Islam yang telah sampai kepada kita, atau kita tunjukkan contoh buruk sehingga dia salahfaham terhadap Islam. Jika kita memahami hakikat ini, tentu kita akan mendahulukan dakwah daripada kekerasan. Persoalan yang patut kita semua tanya, apakah mereka yang kita anggap sebagai kaum kafir itu telah sampai kepada mereka hujah yang benar lagi teguh tentang Islam ini? Atau, mungkin kebanyakan mereka itu jahil? Atau mungkin sebahagian mereka telah disalahfahamkan hakikat Islam yang sebenar oleh musuh-musuh Islam, atau mungkin juga oleh tindakan sebahagian orang Islam sendiri.

    ReplyDelete
  16. Waalaikumussalam semua,
    Terima kasih kerana memberi komen dan pandangan anda. InsyaAllah saya akan rumuskan kemudian. Letih hari ni, terlal banyak berjalan :)

    ReplyDelete
  17. kelihatan banyak perdebatan ttg istilah kafir dan kufur... kepada anda semua, lihatlah surah ke 109 yang mengandungi 6 ayat shj. sebagai saudara seagama jika kita nak menegakkan kebenaran sedangkan kita bukannya ahli yang pakar dalam cabang ilmu tersebut maka janganlah sampai berlaku perbalahan. ini boleh mengundang dosa. islam itu satu, khilaf mazhabnya banyak namun islam tetap satu. perdebatan ttg sesuatu pada suatu tahap yg tinggi akan memberi pahala kepada ahlinya iaitu ulama2. ingatlah yang islam menolak perdebatan dengan hanya menurutkan perasaan. jika kita ada sedikit ilmu, mana mungkin ilmu yang kita miliki itu cukup kerana Allah telah berfirman andaikata setiap titis air dilautan itu dijadikan dakwat, sehingga habis titisan air itu merekodkan hujah ilmu Allah maka belum selesai lagi ilmu itu. elakkan dari memberi hujah untuk menghukum seseorang itu kufur atau kafir. jika ada insan yang bertanya, nyatakanlah ciri2 kufur dan kafir itu seperti terkandung di dalam Al Quran. rasulullah tidak membenci orang kafir...fahamilah. namun Allah juga tidak mengizinkan baginda mendoakan syurga untuk bapa saudara yg amat disayangi oleh baginda yg mati sebelum memeluk islam. jgnlah ditanya kemana mereka kerana itu adalah urusan Allah. jika ia melibatkan keluarga kita kufur atau kafir maka berusahalah untuk membawa mereka ke arah ...al maidah ayat 3.
    cuma sedikit nukilan dari saya... dalam surah yang telah saya sebutkan di awal td (106). Allah telah berfirman untukmu agamamu, dan untukku agamaku. kepada saudara baru atau saudara lama yang mencari sesuatu, insan marhain ini sekadar cuba membantu. jika sudi layarilah blog saya. mungkin di dalamnya ada sesuatu.
    kepada aliya, saya cuma tidak bersetuju apabila dibicarakan ttg masjid cina. ini kerrana sebenarnya tiada istilah masjid melayu. setahu saya cuma ada masjid dan masjid jamek sahaja. masjid merupakan rumah Allah dan tmpt penyatuan saudara2 seagama. pandangan masyarakat bukan islam atau islam sendiri ttg masjid, peranan atau haknya mengikut perasaan semata perlu ditolak. jika islam itu bersaudara mengapa perlu hanya difikirkan bangsa. saya mungkin agak konservatif ttg hal ini kerana hanya Demi Allah dan kerana Allah, umat islam itu bersaudara. namun begitu saya menghormati pendapat saudari. cuma saya tidak dapat bersetuju ttg pembinaan masjid cina. penubuhan masjid mengikut kitab adalah berdasarkan hajat(keperluan) sesuatu kawasan. jika terdapat suatu kawasan orang cina yang beragama islam itu ramai sehingga memenuhi hajat maka pohonlah masjid. ia tetap akan menjadi salah satu diantara dua iaitu masjid atau masjid jamek bukan masjid melayu atau masjid cina.
    maaflah jiika tersilap bicara. Allah Maha Mengetahui.

    ReplyDelete
  18. saudara/i tenang_aku

    saya rasa perbincangan di atas berjalan dengan sihat. tidak ada percakaran yang tak munasabah. Ahong dan DarkCat kelihatan matang dalam memberikan pandangan mereka.

    Mengenai masjid cina, memang ada pro dan kontra. tapi dalam keadaan masyarakat kita sekarang, yang mana sentimen perkauman dilihat agak menebal, masjid cina agak relevan dalam berfungsi untuk memberikan penerangan tentang Islam kpd masyarakat cina. Saya pasti masjid cina ini akan dapat banyak membantu. Walaupun saya seorang Melayu, tetapi isu masjid cina jika direalisasikan, merupakan satu perkembangan yang amat sihat serta berita yang menggembirakan kepada umat Islam di Malaysia khususnya.

    Saya rasa orang cina yang terdetik untuk memeluk Islam sudah tentu lebih senang berurusan dengan sesama bangsa dengan mereka kerana situasi yang dihadapi oleh mereka sudah tentu lebih difahami oleh sesama mereka kerana mereka pernah menghadapinya dulu, berlainan dengan bangsa Melayu yang hampir semuanya telah Islam sejak mereka lahir lagi.

    Sesungguhnya umat Islam sentiasa mempunyai sifat persaudaraan dengan saudara seagama mereka. Tidak mungkin kita berasa terbakar hati melihat saudara2 kita di Palestin yang sentiasa di tindas jika bukan disebabkan kita tahu mereka adalah saudara sesama Islam kita walaupun berlainan bangsa.

    Semoga dapat membuka lagi minda kita semua. Hanya Allah Maha tahu

    ReplyDelete
  19. saudara mocha ghost...
    apa yg kita tuliskan di dalam blog ini kadang kala membuatkan org lain terpengaruh. atas sebab inilah kita perlu berhati2. bukan niat saya untuk menghalang perbincangan, namun pastikanlah kita benar2 ada kefahaman ttg perkara tersebut. bljar agama ini bukan hanya melalui buku tapi perlu berguru. walaupun setiap insan yang menyatakan satu huruf dianggap guru namun perkara yang melibatkan agama perlu dicari 'guru' yang sebenar.
    saya menghormati pendapat mereka dan saya juga cuba untuk memahami perasaan saudara baru terutamanya ttg istilah kafir. mereka telah diberikan petunjuk dan sekarang mereka akan berhadapan dgn ujian lain pula untuk mengajak saudara2 mereka ke arah islam. umat islam tidak kira bangsa pasti diuji denggan kebaikan dan kesulitan..begitulah firman Allah di dalam surah al anbiya apabila rasulullah mengetahui ttg kematian baginda. kita sebagai pengulas atau penulis blog perlu berhati2 ttg apa yg kita tulis kerana penulisan kita dibaca. walaupun niat kita betul keberangkalian cara kita menyampaikan itu tidak tepat.
    seperti kata saudara hanya Allah Maha Mengetahui.

    menegenai masjid cina... bukanlah saya menghalang penubuhannya namun begitu itulah yg saya katakan bergantung kepada hajat yakni keperluan sesuatu tempat. jika disana ramai cina muslim dan menepati hajatnya maka pohonlah kepada jabatan agama. pendapat saya berkenaan hajat adaalah berdasarkan kitab yang menerangkan tentang masjid, masjid jamek dan perkara2 yang berkaitan ttg ibadah.
    sentimen perkauman merupakan kelemahan manusia. mengapa dilayan... tanyalah diri kita...islam itu hanya satu...
    maaflah andai pendapat saya tidak boleh diterima maafkanlah kerana saya juga kurang ilmunya.
    sesungguhnya ana tadri....

    ReplyDelete
  20. saudara tenang_aku :

    Benar, Ayat Al-Quran juga tidak dibenarkan ditafsir secara sesuka hati atau pandangan diri sendiri tanpa Ulama atau Ustaz. Saya juga tidak berani memberikan pandangan diri sendiri semata-mata terhadap Ajaran Islam yang Maha Suci. Suatu ketika saya mendengar khutbah jumaat, Ustaz telahpun menasihat bahawa jangan membincang isu agama dengan sesuka hati bersama rakan2 kerana perbuatan begitu akan menyesatkan diri sendiri.

    Saya juga memohon maaf kerana copy paste Wikipedia yang tidak mempunyai info tepat. Insyaallah saya akan kongsikan maklumat lain dari sumber yang boleh dipercayai.

    Saya teringat suatu cerita ialah suatu hari seseorang menanya Ulama soalan yang agak belit. Ulama tersebut cuma kata "saya tak tahu, bagi saya masa untuk mencari Surah Al-Quran dan Hadis dulu ". Pada Keesokkannya, Ulama ditanya soalan yang sama lagi, malah Ulama hanya kata "Saya tak tahu, saya masih tak jumpa jawapan."

    cerita ini boleh didapati dalam Solusi #17 page 27 " Saya Tidak Tahu".

    biar saya kongsikan penutup pada article tersebut:
    Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah katanya, "Sesiapa yang berbicara tentang ilmu (agama), namun ia tidak merasa bahawa suatu hari nanti Allah tidak akan menanyakan kepadanya, "Mengapa engkau menjawab seperti itu?", maka sungguh sangat murah diri dan agamanya."

    Beliau juga meriwayatkan daripada Sufyan bin 'Uyainah, "Orang yang paling memahami fatwa ialah orang yang paling enggan menjawabnya. Dan orang yang paling jahil mengenai fatwa ialah orang yang paling senang menjawabnya."

    Semoga kita berhati2 semasa berbincang mengenai Islam.. Wallahu a'lam

    ReplyDelete
  21. Untuk Makluman semua, MACMA telahpun dapat kelulusan membina masjid yang mengikuti corak masjid china di Taman Tasek, Ipoh Perak.

    Pembinaannya masih dalam proses..

    ReplyDelete
  22. Tenang_aku:

    Saya rasa antara tujuan perbincangan adalah supaya kita memahami istilah 'kafir' masyarakat Islam salah ertikan.

    Kafir dalam bahasa Inggeris paling hampir maksudnya ialah 'Non-Believer' dan bukannya 'Non-Muslim' sepertimana yang biasa ditranslasikan dalam bahasa Melayu iaitu orang bukan Islam.

    Pada pendapat saya, masalah utama bukanlah pada definisi tetapi dalam penggunaan perkataan kafir itu sendiri. Perkataan kafir acap-kali keluar dari mulut orang Islam dan mereka sendiri tidak memahami implikasinya memanggil seseorang itu kafir. Saya contohnya dipanggil 'kapiaq' (slang Kedah) berulang-kali semasa di zaman persekolahan. Cikgu sekolah saya jugak guna. Ustaz sekolah pun guna. (Rujuk balik hadis yang saya berikan sebelum ini dalam English tu, implikasi sangat besar. Tiada ulamak silam yang berani memanggil sesiapapun dengan perkataan 'kafir')

    Saya berbeza pendapat dengan saudara di mana saudara berpendapat lebih baik tidak membincangkan isu agama. Bagi saya kita boleh membincangkan mengikut kapasiti ilmu pengetahuan kita. Contohnya jika tak tahu maka kita jangan membincangkannya tetapi kita boleh mengkritik atau bertanyakan soalan kerana itulah caranya ilmu kita akan berkembang dan ilmu kita juga akan diMURNIkan daripada bidaah ataupun sebarang salah faham.

    Perbincangan ilmiah (bukan sekadar pendapat sendiri tetapi pendapat ulamak2 silam dll) terutamanya tentang Islam adalah sangat penting kerana ianya boleh membantu untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan meMurnikan ilmu kita yang ada daripada bidaah mahupun salah faham. Ia juga boleh memberikan ruang untuk memahami kaedah pengajian ilmu yang berbeza (contohnya mazhab berbeza).

    Bagi saya jika membaca buku sahaja sudah banyak ilmu yang kita boleh dapat dan kongsikan tetapi kenalah pastikan buku yg dibaca itu adalah ditapis dahulu. Kita harus ingat, satu-satunya sumber ilmu yang kita ada tentang Islam ialah al-Quran dan kitab2 yang ditulis oleh ulamak2 silam (saya stresskan umalak silam supaya tak disamakan dengan ulamak kontemporari). Kalau tak dari buku, manalah kita boleh dapatkan ilmu itu? Saya tak nafikan kepentingan berguru tetapi sejauh manakah kita harus ikut dalam konteks hari ini?
    Contohnya, boleh saudara namakah seorang 'guru yang sebenar'?
    (boleh tulis beberapa mukasurat tentang isu ni sahaja)
    Lagipun pada kebanyakkan masa, semua isu dibincangkan berdasarkan pendapat ulamak dan bukannya pendapat sendiri pun.

    Pendapat saya tentang masjid cina:
    Tiada. Masjid sekarang sudah tidak memainkan peranannya. Hanya sekadar tempat solat sahaja.

    ReplyDelete
  23. Assalamualaikum semua,
    Terlebih dahulu, tahniah kerana berjaya berbincang dengan baik di sini.
    1. Setuju dengan pendapat ahong, dan darkcat tentang harapan saudara baru.

    2. Masjid yang berkonsepkan senibina Cina dan perhiasan dalaman dari bangsa lain sudah pun siap dan tersergam indah di Rantau Panjang, Kelantan. Walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan, hakikatnya ia sudah wujud di negara kita. Sudha boleh menunaikan solat di situ. Cuma masih belum pasti pengurusannya, kerana saya belum pernah singgah di situ.
    Keperluan Masjid Cina bukan bersifat perkauman tetapi lebih kepada bentuk dakwah kepada masyarakat.Ia telah saya terangkan di sini http://pukullima.blogspot.com/2008/05/masjid-idamanku.html

    ReplyDelete
  24. tenang_aku,
    Isu pembinaan masjid Cina di peringkat kebangsaan telah lama dibincangkan, malangnya sehingga hari ini masih dalam kertas kerja. Yang terbaru dengar khabarnya telah dipilih tapak Penjara Pudu.
    Cuba baca falsafah di sebalik permohonan masjid cina di sini:http://pukullima.blogspot.com/2008/06/isu-masjid-cina-sptmana-yg-dijelaskan.html

    ReplyDelete
  25. assalamualaikum....
    darkcat...mengatakan 'saya tidak tahu' menurut rasulullah adalah salah satu daripada 3 cabang ilmu. ia juga merupakan cabang yang paling sukar untuk kita kuasai.
    ahong...jika nak didebatkan ttg perkataan kafir, kufur, non believer dan non muslim adalah suatu topic yang amat besar untuk saya cuba bahaskan. saya juga mungkin bukan orang yang dapat menjelaskan dgn tepat kepada saudara. cuma inilah kata terakhir saya untuk topik ini.
    benar...kita tidak boleh mengatakan bahawa "engkau kafir" atau "engkau kufur" (walaupun ada perbezaan antara dua istilah) kepada mana2 insan lain. cumanya kita pandanglah diri kita sendiri terlebih dahulu. pastikan kita tidak memiliki ciri2 tersebut (kafir dan Kufur). masalahnya kita selalu menunding jari.
    kepada yang nak berdakwah maka ada tiga perkara asas yang perlu dikuasai iaitu ilmu ttg perkara yang disampaikan, kefahaman ttg ilmu tersebut dan tidak membuat pertimbangan berdasarkan perasaan dan akal semata2 dan yang ketiga, menghayati ilmu tersebut dgn amalan yang benar2 ikhlas dan yakin untuk membentuk kekuatan.
    kepada yang ingin memohon masjid cina...saya berdoa agar jika itu adalah yang paling tepat dan paling benar disisi Allah, saya berdoa agar disegerakan dan dipermudahkan segala urusan yang berkaitan dengannya.
    Allah menyayangi semua manusia itulah Ar Rahim. siapalah kita untuk membenci insan lain.
    yang salah itu bukan masjid namun manusia.
    jika kita merasakan diri kita benar2 layak untuk menjadi pemimpin yang boleh membuat penambahbaikan maka tampillah ke hadapan.
    ttg guru sebenar tanyalah diri..rasulullah telah berpesan agar BERPEGANG TEGUHLAH KAMU KEPADA AL QURAN DAN SUNNAH KU MAKA KAMU TIDAK AKAN SESAT. hayatilah untuk kebaikan diri sendiri. dari memperdebatkan kekurangan insan lain baik kita mulakan dari diri sendiri. hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. pohon maaf jika silap hujah untuk topic ini. mungkin ia menjangkau kapasiti akal pengetahuan saya yang cetek. assalamualaikum

    ReplyDelete
  26. Assalamualaikum semua,
    Siapa sangka, isu 'kafir' pula yang dipilih untuk didebatkan di artikel ini :)
    Istilah 'kafir' adalah satu perkataan yang dikatakan oleh bukan Islam sebagai bersifat keras terhadap mereka. Sebenarnya ramai yang tidak memahami maksud kafir itu sendiri, tetapi sebab selalu dilabel begitu oleh orang Islam Melayu, maka ada antara mereka secara tidak langsung menolak Islam secara total.
    Kegemaran melabel orang lain merupakan satu nanah yang merebak di kalangan masyarakat Islam kita sekarang. Kalau bukan kafir, ekstrimis, liberalis, wahabi, dll sedangkan ada kalanya kita sendiri tidak faham sepenuhnya maksud istilah tersebut.
    Kalau diteliti dengan lebih jelas lagi, ada umat Islam juga boleh masuk dalam kategori kafir nikmat. Belum tentu orang bukan Islam semuanya kafir [bagaimana mereka yang berjinak-jinak dengan Islam tetapi belum ucap 2 kalimah syahadah, adakah mereka kafir?]dan belum tentu orang Islam itu semuanya beriman dan bertaqwa padaNya.
    Oleh itu, berhati-hatilah bila menggunakan istilah kafir ini.
    Cuba rujuk Fundamentals of Islam [m/s 49-51]oleh al-Maududi untuk memahami maksud kafir dan dan juga di laman ini: muslimhttp://netlog.wordpress.com/category/makna-kafir-dan-syuhada/,

    ReplyDelete
  27. Mocha Ghost,
    Benar, istilah mualaf sebenarnya merujuk kepada mereka yang belum Islam tetapi berjinak-jinak dengan Islam yang boleh dilembutkan hati mereka kepada Islam, dan tidak semestinya mereka yang baru memeluk Islam.

    ReplyDelete
  28. akuzle,
    Sama-sama la kita berusaha menjadi Muslim yang lebih baik hari ni dari semalam, insyaAllah.

    ReplyDelete
  29. tenang_aku,ahong, darkcat dan saudara-saudari yang lain,
    Terima kasih kerana memberi pandangan masing-masing. Siapa sangka, penulisan satu artikel ini boleh mengundang perkongsian ilmu dan pendapat yang boleh mengajak kita berfikir, menganalisis dan seterusnya mendalami pengetahuan kita.
    Saya bersyukur kerana walaupun saya tidak menapis komen yang masuk,perbincangan dijalankan dengan beradab, dibentangkan dengan hujah dan dijauhkan daripada komen buruk sepertimana yang sering dibaca dalam ruang komen blog lain. Alhamdulillah, syukur pada Allah swt.

    ReplyDelete
  30. saya pohon keampunan dari Allah dan anda semua di atas kekhilafan saya. sifat Allah yang saya ingin nyatakan ialah Ar Rahman... bukan Ar Rahim seperti yang telah saya tulis. maafkan kesilapan saya.

    ReplyDelete
  31. tenang_aku,
    Benar, Ar Rahman, thanks for the clarification.. aliya masih menanti artikel dalam blog tenang_aku..mesti menarik isinya nanti :)

    ReplyDelete
  32. saya pun baru balik dari negeri Melaka kerana ada kursus di sana.. Alhamdulilah atas takdir Allah swt yang Maha Kuasa, kebetulan minggu lepas sembahyang jumaat saya telah dijalankan di Masjid Al-Syuhada yang mempunyai corak masjid china.

    Amat unik rasanya melihat bumbung yang berdasarkan bangunan tradisional china.. walaubagaimanapun, tetap 90% umat Islam yang bersolat ialah bangsa melayu.. (Bukan masjid bangsa cina) Mungkin ini sedikit sebanyak menggerakkan hati orang yang ingin mendekati Islam, Wallahu a'lam..

    http://qilla.blogspot.com/2010/01/masjid-al-syuhada-kem-terendak.html

    ReplyDelete
  33. Darkcat,
    Tahniah kerana berpeluang solat di masjid itu. Sebenarnya ramai yang salah faham, difikirkan bahawa masjid cina untuk cina muslim saja. Hakikatnya ia seperti masjid biasa yang lain, semua umat Islam boleh bersolat di situ, cuma rekabentuk dan seni binaannya lebih berkonsepkan seni bina bangunan tradisional bangsa Cina. Secara tidak langsung boleh membantu menyedarkan masyarakat bahawa Islam adalah untuk semua bangsa, dan orang yang peluk Islam masih boleh kekalkan identiti bangsanya masing-masing.

    ReplyDelete
  34. Salam
    I personally prefer to call them as "not yet muslims",rather than simply "non muslims". This can serve as a reminder to us to always be doing da'wa to those who are not yet muslims and invite them to Islam

    ReplyDelete