Tuesday, February 16

KALAULAH MEREKA TAHU

Saya pernah melawat sebuah pusat perlindungan dan pemulihan akhlak wanita Islam. Letaknya jauh di pedalaman, tersisih dari pandangan masyarakat. Pergi atas jemputan. Itupun sesat 2 kali akhirnya baru berjaya menemui tempat tersebut.
Dari luar kelihatan kawasan itu dipagari. Tinggi pagarnya, mungkin untuk mengelakkan penghuninya melarikan diri. Hendak masuk juga perlu menelefon warden yang menjaga pusat itu kerana pintu pagar dikunci pada setiap masa.

Mereka yang menumpang di situ semuanya anak muda. Keluar bersalaman bersalaman dengan saya beramai-ramai. Bertudung dan berbaju kurung.
Saya perhatikan mereka. Zahirnya, tak ada beza di antara mereka dengan wanita muda Melayu yang lain. Ramai yang kelihatan agak lincah. Namun saya tahu, mereka sudah melalui pelbagai pengalaman pahit manis dalam usia yang muda itu. Masing-masing ada kisah tersendiri. Bukan
anak dara lagi. Kerana silap langkah, mereka ditempatkan di situ untuk melalui proses pemulihan akhlak dan pengajian Islam untuk satu tempoh yang belum ditetapkan. Ada yang telah menyerahkan anak kepada keluarga angkat, ada yang telah mengalami keguguran, dan ada juga yang berjaya diselamatkan sebelum keadaan menjadi semakin tenat.

"Kak, tolong jangan beritahu lokasi tempat ini kepada mereka, biar rahsia," pesan warden.
Saya mengangguk, sebelum pergi berbual dengan beberapa orang daripada mereka.
"Saya terpaksa berhenti belajar di kolej," kata salah seorang daripada mereka.
"Saya tak sempat ambil SPM," jelas seorang lagi.
Mereka tunduk dan diam apabila saya bertanya tentang keluarga mereka.
"Kami belajar mengaji dan memasak di situ, petang buat keja kebun sedikit," kata mereka apabila saya ingin mengetahui rutin harian mereka.

Bosan. Itulah yang saya fikirkan apabila membaca jadual harian mereka dan melihat keadaan sekeliling.
Mereka hanya dibekalkan dengan kemudahan asas untuk membina ketahanan diri. Tiada bentuk hiburan. Tiada benda-benda mewah seperti penghawa dingin, mesin basuh dan sebagainya yang sering kita take for granted. Yang ada hanyalah buku-buku agama dan pokok-pokok. Mereka diawasi pada setiap masa supaya tiada peluang untuk melarikan diri dari kawasan itu.
Namun alhamdulillah, apabila saya bertanyakan harapan dan cita-cita masa depan mereka, mereka melahirkan keinginan untuk berjaya.
"Saya bersyukur kerana dapat ke sini. Sini saya belajar tentang agama, solat, mengaji. Bila saya keluar nanti, insyaAllah saya akan sambung belajar," kata si A.
"Saya dapat peluang kedua di sini," kata si B. " Saya banyak buat dosa dulu."

Mereka mengaku telah tersilap langkah, terlalu percaya pada kawan. Maksiat. Zina.
Akibatnya mereka sendiri yang susah dan menanggung aib, menconteng arang ke muka ibu bapa dan ada yang telah melahirkan anak luar nikah.
"Sabarlah ya, belajar rajin-rajin di sini. Bila keluar nanti, binalah hidup baru, jadi Muslimah yang diredhai Allah," saya cuba nasihati.
Kami bersalaman sekali lagi, sebelum saya diiringi oleh warden ke pintu pagar. Sebaik sahaja saya keluar, pintu tersebut dikunci sekali lagi.
Saya menoleh ke pusat itu buat kali terakhir. Suram seperti para penghuninya, sunyi dan terpinggir.

Dalam hati kecil ini, timbul perasaan kasihan pada mereka yang ditempatkan di situ oleh keluarga masing-masing. Kalau mereka tahu dahulu bahawa mereka akan berada di situ berbulan-bulan lamanya kerana perbuatan mereka sendiri, sudah tentu mereka akan berfikir panjang sebelum melakukan perbuatan yang diharamkan. Mungkin akan lari jauh-jauh sebelum
terjerat dengan cinta monyet.
Hakikatnya mereka telah terjebak. Kini segala susah dan malu mereka sahaja yang tanggung. Syukur juga, Allah masih sayang, keluarga masih sayang; mereka ditempatkan sementara di situ dengan harapan akan berubah ke arah kebaikan.
Bekas teman lelaki mereka entah di mana, kemungkinan masih bebas untuk menjerat kasih wanita lain.


He Had Such Quiet Eyes [a poem for Form 4 English Language students, beginning 2010]
He had such quiet eyes
She did not realise
They were two pools of lies
Layered with thinnest ice
To her, those quiet eyes
Were breathing desolate sighs
Imploring her to be nice
And to render him paradise

If only she'd been wise
And had listened to the advice
Never to compromise
With pleasure-seeking guys
She'd be free from "the hows and whys"

Now here's a bit of advice
Be sure that nice really means nice
Then you'll never be losing at dice
Though you may lose your heart once or twice

by Bibsy Soenharjo, 1968.

2 comments:

  1. assalamualaikum kak aliya. belated gong xi fa cai.
    pengalaman bertemu dan berhadapan dgn remaja di sana tentu sekali memberi impak yg besar kpd diri akak. kakchik belum berpengalaman berhadapan dgn remaja sedemikian tapi pernah terlibat dalam program di pusat pemulihan dadah wanita. perasaan kasihan terutama kepada mereka yang terbabit secara tidak sengaja. semoga Allah bantu mereka.

    puisi itu sangat bagus sekali.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam kakchik,
    Terima kasih. CNY selama 15 hari, hehehe...
    Ya, pengalaman itu memang menginsafkan. Kalaulah anak remaja kita didedahkan kepada keadaan kakak-kakak mereka yang malang itu, insyaAllah mereka akan lebih berhati-hati. Namun kerana perlu merahsiakan identiti mereka, pusat tersebut tidak membenarkan pelawat yang tidak diundang khas.
    Dewasa ini, dengan semakin bertambahnya laporan pembuangan bayi, saya hanya mampu mendoakan agar mereka yang terbabit tidak membiarkan perasaan malu dan takut menyelubungi jiwa mereka sehingga tergamalk melakukan perkara terkutuk ke atas bayi yang tidak berdosa.

    ReplyDelete