Saturday, December 19

DOA MUSTAJAB?

"Kak dah hafal doa qunut?"
Saya masih ingat wajahnya yang agak pucat, ketika dia bertanya sama ada saya telah berjaya menghafal doa qunut. Sama-sama Cina dan bergelar mualaf beberapa bulan tetapi dia jauh lebih muda daripada saya; hanya 18/19 tahun.
Saya senyum. "Belum."
Aduh, nampak sangat bahawa dia agak tertekan untuk menghafal doa qunut. Mungkin dirasakan bahawa solat subuh tidak sempurna tanpa bacaan doa qunut, padahal setahu saya, ia sekadar sunat untuk dibaca.
Mengapakah pula soalan itu yang ditanya kepada saya yang baru dikenalinya sedangkan banyak lagi soalan lain yang bolh menjadi pembuka bicara? [saya tidak berpeluang bersembang dengannya lagi kerana dia kelihatan sibuk di rumah transit saudara baru itu].
Saya bersyukur kerana memeluk Islam secara rasmi ketika usia matang, 35 tahun. Sudah berjawatan tetap walaupun menyambung pengajian di universiti. Sudah ada gaji bulanan yang tetap walaupun hanya separuh kerana belajar sepenuh masa di bawah program PKPG. Dah banyak makan nasi, hahaha. Tidak mudah lagi ditipu dan tidak mudah dibuli oleh orang lain. Tidak malu bertanya dan tidak lokek meminta bantuan. Tidak seperti amoi mualaf yang saya jumpa itu, usia muda dan pengalaman yang kurang menjadikannya lebih mudah dipengaruhi oleh pihak lain.

"Nak, mahu beli buku doa?" seorang pakcik menghulurkan beberapa buah buku doa kepada saya ketika menunggu bas bergerak.
Saya memandangnya. Sudah tua,kurus dan beruban. Kasihan pula melihatnya turun naik bas dengan menggalas sebuah beg usang berisi buku agama yang sudah lama diterbitkan. Kebanyakan orang hanya melihat dan menggelengkan kepala.
"Berapa harga, pakcik?"
Dia menyatakan harga. Lantas saya keluarkan wang dan membayarnya.
Ah, buku doa. Banyaknya doa, untuk semua keadaan. Orang Islam yang baik perlu tahu semuanyakah?

Saya tertanya-tanya, siapakah yang mencipta semua doa tersebut?
Sebab tak ada pun dalam sebarang penerbitan buku yang menyatakan penulis doa, termasuklah doa awal tahun dan doa akhir tahun. Lebih membingungkan, doa semua dalam bahasa Arab. Aduh, bagaimana nak baca, sedangkan nak baca huruf Arab dalam buku iqra pun tergagap-gagap?
Takkan tak ada doa dalam Bahasa Melayu yang boleh digunapakai? Baca dan hafal saja maksud yang ditulis dalam Bahasa Melayu, tak bolehkah?
Mengapa mesti gunakan Bahasa Arab, sedangkan bukan semua orang Melayu Islam di sini faham bahasa Arab?
Lainlah kalau doa itu memang wujud dalam al-Quran sendiri, maka sunat kita baca dalam Bahasa Arab.
Doa masuk tandas, doa makan, doa penerang hati sudah menjadi kelaziman masyarakat Islam di sini. Dari manakah asalnya doa-doa pendek itu? Mudahlah bagi mereka yang dari kanak-kanak lagi dilatih membaca doa tersebut. Tetapi bagi mualaf seperti saya, diminta hafal berbelas-belas doa selepas memeluk Islam? Aduh, nak hafal doa ketika solat pun ambil masa lama.
Tapi mana datangnya Doa ketika frust? Doa minta naik pangkat?

Pemikiran kritis dan kritikal.
Ada pihak yang tidak setuju dengan saya. Kata mereka, doa dalam Bahasa Arab lebih baik, kerana Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran.
Tapi, tanya saya, takkan doa dalam Bahasa Melayu, atau bahasa lain dianggap doa kelas kedua pula? Sedangkan dalam al-Quran sendiri, Allah swt Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.Kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya apakah kandungan doa imam ketika solat berjemaah/ majlis tertentu yang dilakukan dalam bahasa Arab padahal saya sebagai salah seorang makmum tidak faham langsung tetapi terus meng-amin-kan[huhuhu].

Saya hairan jua, mengapa disyorkan agar doa-doa yang kadang-kadang panjang dihafal dalam bahasa Arab sedangkan kita boleh berdoa terus kepada Allah swt dalam bahasa sendiri. Bukankah menambah stres terutama bagi yang tak tahu/faham bahasa Arab? Sedangkan kita akan dapat berdoa dengan lebih khusyuk padaNya dalam bahasa sendiri, bukan.

Saya ingat lagi betapa kagumnya saya sebagai nonMuslim ketika menghadiri satu kursus dan ketika majlis penutupan, doa dibacakan dalam bahasa Inggeris. Ya, doa orang Islam dibacakan dalam bahasa Inggeris! Sebelum itu saya fikir doa mesti dalam bahasa Arab sahaja.
Kadang-kadang kelam-kabut sesuatu majlis rasmi kerana tiada muslimin yang sudi tampil untuk membaca doa sebelum perasmian. Alasan tak pandai baca doa dalam bahasa Arab, malu kalau tersalah sebut atau tergagap-gagap, tak tahu nak doa panjang-panjang. Kononnya juga yang pandai baca doa dalam bahasa Arab lebih alim, lebih berilmu agama, lebih Islamik [tapi malangnya para hadirin ramai yang tak faham sepatah pun apa yang didoakannya].

Kadang-kadang nonMuslim bertanya sama ada saya berdoa dalam Bahasa Arab. Jawapan saya mudah saja- saya berkomunikasi dengan Allah dalam bahasa yang saya dan Dia fahami. Saya kan multi-lingual :P

Diakui buku doa ada kebaikannya, terutama bagi mereka yang takut lupa. Atau untuk mendapatkan ayat-ayat doa yang istimewa. Tapi saya ingat, ketika saya mula-mula diberikan buku doa. Selak halaman dem halaman,alamak... takut! Banyaknya kena tahu, banyaknya kena hafal [fikiran saya ketika itu]. Motivasi untuk belajar terus menjunam 50%.
Akhirnya saya masukkan buku itu ke dalam laci, baru hilang tensen, hahahaa...

Doa dalam Bahasa Arab lebih baik dan mustajab?
Entah... adakah ini satu budaya Melayu atau ajaran Islam?
Belum ada yang dapat beritahu.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).

8 comments:

  1. assalammualaikum aliya

    doa adalah permintaan peribadi kita kepada Yang Esa, pakailah bahasa apa pun...

    ReplyDelete
  2. assalamu'alaikum.... sebenar nya aku lg teruk sampai sekarang tergagap baca doa' .Pernah ada mamat tu gelak kan aku kerana kata nya doa bacaan aku cam Imam masjid di China....Ehhh...Tak tau ke dia , aku ni Cina...weekk..keeekk..kekk.keekk! .Tapi aku tetap terus kan perjuangan belajar. Tang doa...aku pun doa dalam apa-apa bahasa yang datang pd waktu doa tu! Aku pun multi channel ehhh! multi lingual (7 bahasa). Tp pendapat aku, itu bahasa Nabi...Baik kita belajar ...kalau kita kasih kan Baginda...

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum. saya setuju dengan saudara Iqqhuan.

    Better kalau kita cuba untuk baca doa dalam bahasa arab sebab bahasa arab adalah bahasa Al-Qurán. Bila kita doa dalam bahasa arab, secara automatik kita nak tahu apa maksud doa kita. so, secara perlahan kita cuba bljr bahasa arab bahasa Al-Qurán itu.

    tapi kdg2 saya baca doa dalam Bhs Malaysia jer. rasa lebih senang dan kita pun benar2 tahu apa yg kita nak minta.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam kl citizen,
    Ya, setuju benar. Satu bahaya juga apabila kita sudah hafal surah dan doa, tetapi lupa akan maksudnya pula.

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam Iqqhuan,
    Tergagap tak mengapa, sebab pahala tetap diberikan kepada mereka yang lemah tetapi berusaha.Saya sampai sekarang pun masih belajar hafal sesetengah doa, dah tua, otak pun dah berkarat, hahaha.. tambahan pula kerja sebagai guru memerlukan banyak hafalan subjek sebelum diajarkan kepada pelajar.
    Mamat itu salah, kerana kebanyakan imam masjid di China fasih berbahasa Arab. Bacaan surah mereka sedap didengar. Saya tahulah, sebab dah melawat China pada tahun lepas.
    Doa-doa tertentu dalam bahsa Arab memang perlu kita belajar.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam Mocha,
    Setuju tetapi saya suka baca dulu maksud doa baru saya berusaha baca dalam bahasa Arab. Tetapi mungkin perasaan saya saja, lebih susah nak fokus apabila berdoa dalam bahasa Arab walaupun pendek. Kita menjadi risau dan cuba ingat sebutan betul dalam bahasa Arab sehingga kadang-kadang menjadi kurang khusyuk pula.

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum kak lya,

    saya rasa nak tergelak bila baca post nih.... sebab benda yang sama berlaku dengan saya. hehe...

    pasal belajar bahasa Arab, saya masih lagi meniarap.... tak sampai tahap merangkak lagi. lidah keras lagi la kak.... huuuuu......

    apa2pun masih berusaha ni.... he

    ReplyDelete
  8. Waalaikumussalam dakbrightside,
    Meniarap pun takpa, asalkan masih berusaha untuk belajar, jangan terus kaku, hahaha..
    Rasa-rasanya semua mualaf tak kira bangsa akan melalui pengalaman menarik ini :)

    ReplyDelete