Sunday, October 18

REZEKI RUMAH BARU

Lontong. Kambing bakar. Ayam bakar. Ais kacang. Koayteow sup. Roti jala. Kuih raya.
Bertuah punya anak dalam kandunganku ni. Semua dia rasa. Kenyang. Tak meragam pula malam ni, tak seperti selalu.
Alhamdulillah, malam tadi semua penduduk 2 deret rumah di taman perumahan saya mengadakan jamuan hari raya. Rumah saya turut terlibat. Kira-kira 20 buah rumah. Kami turut menjemput penduduk lain. Adalah kira-kira 100 orang yang datang menjamu selera.
Oleh kerana jamuan tersebut diadakan di padang hadapan rumah, saya dan suami turut mengadakan majlis bacaan Yasin yang serba ringkas selepas solat maghrib di rumah kami sempena masuk rumah dan untuk keselamatan anak dalam kandungan. Syukur, selesai satu urusan lagi.
Kata jiran-jiran yang lama tinggal di situ, sudah 5 tahun jamuan beramai-ramai tidak diadakan kerana masing-masing sibuk. Wah, saya rasa bertuah pula kerana ia berjaya diadakan pada tahun ini, 2 bulan selepas kami berpindah ke sini. Sempatlah saya dan suami berkenal-kenalan dengan jiran-jiran dalam suasana santai. Alhamdulillah, dengan rahmatNya cuaca sangat baik. Orang dewasa dapat makan sambil bersembang di gelanggang bola manakala anak-anak kecil bermain-main di taman permainan kanak-kanak di tempat yang sama.
Terasa ukhwah yang terjalin begitu baik sekali. Makanan dimasak beramai-ramai. Mungkin sebab semua adalah orang Islam, maka lebih mudah berbicara.
Bila bersembang, rupa-rupanya rumah saya yang baru diduduki ini telah lama tidak bertuan. Sudah lama hendak dijual oleh pemilik lama yang berbangsa Cina tetapi semua urusniaga tidak berjaya. Saya dan suami pula tidak pernah bercadang untuk membelinya, kerana kami sebenarnya mencari rumah satu tingkat. Sudah menjadi ketentuanNya, kami diberitahu oleh ejen rumah bahawa ada rumah kosong di sini. Tanpa disangka-sangka, rumah bertukar tuannya. Jiran-jiran yang dahulunya tertanya-tanya dan bimbang akan mendapat jiran bukan Islam yang tidak serasi dengan mereka, menghembus nafas lega apabila mengetahui penghuni dan pemilik baru adalah Muslim seperti mereka.
Selepas mengira hari, anak dalam kandungan saya juga berasal di rumah ini. InsyaAllah akan dibesarkan di rumah ini.
Sesungguhnya semua yang berlaku adalah ketentuan dan berkat Allah swt.
Dan saya bersyukur kerana dianugerahi rezeki yang melimpah dan tidak disangka-sangka.
Alhamdulillah.. Alhamdulillah...Alhamdulillah.

4 comments:

  1. assalamualaikum kak aliya.

    kakchik tersenyum membaca tulisan akak pagi ni. boleh dirasakan betapa gembira hati akak dapat tinggal di situ dengan jiran-jiran yang baik. semoga kak aliya dan suami serta bayi yang akan lahir mendapat banyak kebaikan di situ.

    ReplyDelete
  2. Salam akak..tahniah dan saya doakan yang terbaik bt akak,suami dan anak yang bakal lahir nanti...

    ReplyDelete
  3. bertuah lagi dia kerana beribukan kak aliya. :)

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam kakchik,C-ni~2, Humyrah,
    InsyaAllah, kami pun ingin menjadi jiran yang baik.Bersyukur kerana diberikan tempat penginapan yang baik.
    Terima kasih.. ameen.
    Saya hanyalah ibu yang mengandungkan [insyaAllah bakal melahirkan, membesar & mendidik]tetapi Allah swt jualah yang Maha Mencipta dan Maha Berkuasa ke atasnya :)

    ReplyDelete