Saturday, August 8

TEGUH

"Tak tahu berfesyen langsung! Gaji banyak tapi pakai tudung bulat macam orang kampung, mekap tak pakai, asyik dengan baju kurung saja. Cubalah pakai baju yang elok sikit, baru nampak class!"
"Yalah, anak i kuat agama gak, sembahyang 5 waktu tak pernah tinggal, tapi takdelah pakai tudung labuh macam dia. Apa kena dengan si dia tu, nampak ekstrimis sangat sejak dia bercampur dengan budak-budak uni tu?"
"Alah, tak payah la nak tunjuk alim kat kita orang. Kita pun orang Islam gak, tapi kita orang Islam moden. Mereka yang pada zaman Nabi bolehlah pakai tudung labuh dan purdah, sebab sana panas dan berpadang pasir. Sini Malaysia la, cuaca panas!"
"Bila dah tua nanti baru bertudung pun sempat lagi. Sekarang kita masih muda, enjoylah dulu. Asalkan hati kita ni baik, sudahlah.. yang bertudung labuh pun bukan semua baik-baik, di belakang kita mereka buat maksiat lebih teruk lagi daripada kita."

Hannah yang baru memeluk Islam mendiamkan diri. Dia tahu tiada gunanya dia bertekak dengan mereka. Lagipun mereka lebih tua, kalau dia balas kata-kata mereka nanti bakal dituduh kurang ajar dan biadap pula. Lebih baik diam sahaja, walaupun hatinya panas mendengar kritikan demi kritikan yang dilemparkan terhadap cara pemakaiannya.

Salahkah aku berpakaian begini? Ini hak aku, dan aku memilih berbaju longgar dan menutup aurat kerana ikut suruhan agamaku, agama Islam yang aku anuti. Arahan Allah swt yang terkandung dalam kitab al-Quran surah An-Nur, bukan aku suka-suka pakai.
Aku pilih tudung labuh kerana aku selesa memakainya. Hak akulah nak pakai apapun asalkan menutup aurat dengan sempurna. Tak satu sen pun aku minta duit awak untuk membeli pakaianku, habis mengapa awak kritik cara aku berpakaian? Tak ada kerja lainkah selain daripada mengutuk cara pakaian aku berpakaian?

Tak pandai berfesyen? Tak cantik berpakaian begini? Nampak macam orang kampung? Nampak macam ustazah?

Bukan awak yang pakai, tapi aku!
Suka hati akulah nak pakai apa, berfesyen atau tidak. Aku tak kisah sangat tentang fesyen pakaian asalkan ia sesuai dengan badanku, longgar dan menutup aurat dengan baik. Aku tak mahu ikut fesyen terkini yang tak cukup syarat - bertudung tetapi tudung tak dilabuhkan menutup kedua-dua dada sehingga masih nampak bentuk dada, baju berlengan panjang tetapi ketat di pinggang sehingga nampak bentuk badan. Itukah yang awak katakan sebagai pakaian Islam ikut fesyen? Maaflah, bagi aku, fesyen begitu hanya mengundang kemurkaan Allah swt kerana tidak menutup aurat dengan lengkap. Yang awak kata busana Muslimah bukan semuanya pakaian yang menepati hukum menutup aurat wanita, awak tak sedarkah? Atau sememangnya awak tak tahu?

Aku kasihan pada awak sebenarnya kerana terikut-ikut dengan fesyen, terutamanya fesyen ciptaan orang Barat. Orang kafir. Pakaian yang dilabel cantik mengikut kaca mata pereka Barat, awak kata cantik. Fesyen tudung yang tidak mengikut piawaian syariat Islam iaitu tudung yang tidak menutup bahagian dada dan leher dengan sempurna, awak pilih untuk pakai, dengan alasan itulah fesyen terkini, dan ramai Muslimah lain pun pakai. Awak beri alasan baju awak dah menutupi dada tetapi awak lupa akan bentuk dada yang boleh menarik perhatian lelaki di sekeliling awak. Awak fikir kain tudung yang awak pakai itu setakat untuk menutup rambut, leher dan telinga awak sahajakah? Lupakah awak pada surah An-Nur 24 ayat 31? Tudung perlu tutup dada!
Awak sanggup belanja banyak untuk ikut fesyen terbaru, beli pakaian ikut trend terkini semata-mata kerana mahu kelihatan cantik dan dipuji orang. Awak yang menjadi keliru antara suruhan agama Islam dan fesyen, bukan aku.

Awak kata aku nampak macam orang kampung kerana berpakaian begini? Terima kasih. Memang aku asal orang kampung pun, sama seperti awak. Kampunglah yang membesarkan nenek moyang kita, yang memberikan rezeki kepada keluarga kita, sehinggalah kita berpeluang untuk hidup di bandar. Mengapa pula awak hina orang kampung dengan menuduh orang kampung tidak pandai berfesyen? Semenjak awak menjadi penghuni kotaraya, awak sudah menjadi sombong dan pandang rendah orang kampung, ya? Mungkin mereka tidak berpakaian secantik awak yang tinggal di bandar, tetapi pakaian mereka lebih cantik daripada awak di mata malaikat dan di hadapan Allah. Pakaian biasa orang kampung disulami keindahan budi bahasa, adab Melayu yang menghormati orang tua dan patuh pada suruhan agama Islam. Atau awak sudah lupa semua itu? Mengapa kaitkan orang kampung dengan kekolotan berfesyen? Awak malukah dikatakan berasal dari kampung? Kalau bukan kampung, mana asal-usul awak?

Awak kata aku nampak macam ustazah kerana berpakaian begini? Terima kasih banyak-banyak. Walaupun aku belum layak menjadi ustazah, aku hormati mereka yang mempunyai pengetahuan agama yang lebih banyak daripada aku. Awak malukah digelar ustazah oleh mereka yang tidak dikenali, maka awak suruh akau jangan pakai seperti ustazah? Aku tak bermasalah berpakaian seperti ustazah tetapi apa pula masalah awak yang tidak tahan melihat aku berpakaian begini?

Aku tidak seperti awak yang bersandar pada pujian orang lain.. yang bersandar pada jawatan tinggi, pada keluarga yang berpengaruh, pada kekayaan, pada pangkat, pada kebijaksanaan otak, pada keindahan dan keseronokan dunia. Kerana semakin awak bergantung pada duniawi dan manusia biasa, semakin awak diperhambakan. Manusia, harta, pangkat, kebijaksanaan otak; semua itu hanyalah jalan-jalan rezeki daripada Allah. Hatiku tenang kerana aku tidak bergantung pada manusia biasa atau perkara duniawi
Aku bersandar sepenuhnya pada Allah swt. Aku berpakaian menutup aurat dengan tujuan mendapatkan keredhaanNya, bukan berpakaian untuk dipuji manusia biasa atau diterima dalam kelompok mereka.

Kasihan aku lihat awak dan kawan-kawan awak. Awak kata masih banyak masa untuk memakai tudung, untuk menutup aurat, iaitu bila awak dah tua. Masa muda untuk bersukaria dan berpakaian cantik. Pastikah awak bahawa umur awak masih panjang? Sempatkah awak bertaubat sebelum dijemput malaikat maut? Sempatkah awak menutup aurat di khalayak ramai sebelum awak ditutup dengan kain kafan? Jangka hayat kita semua bukan ditentukan oleh kekuatan vitamin atau kehebatan doktor perubatan, tetapi atas kehendak Allah swt. Tak sedarkah awak bahawa setiap helai rambut yang awak tunjukkan kepada lelaki bukan muhrim, awak mendapat dosa dan kemurkaan Allah dan bapa, suami serta saudara lelaki awak turut tanggung dosa awak yang tidak menutup aurat itu?

Oh, tak payahlah nak kutuk aku. Tak payahlah nak yakinkan aku supaya ikut awak berfesyen. Buang masa dan tenaga awak sahaja. Lebih baik masa dan tenaga itu awak gunakan untuk membaca al-Quran dan hadis.
Jangan harap aku akan membuka tudungku untuk memuaskan hati sesiapa pun walaupun dia seorang maharaja.
Jangan harap aku akan melayan permintaan ibu bapaku yang masih kafir supaya membuang tudungku untuk diterima sebagai anak mereka.
Jangan harap aku akan berpakaian seksi bersama suamiku di khalayak ramai, biarpun dia sendiri yang suruh.
Aku mahu hidup berprinsipkan ajaran Islam. Aku tidak mahu menjadi seperti lalang-lalang yang tumbuh liar di tepi jalan, atau seperti pokok hiasan yang semakin layu dikelilingi rumpai. Aku mahu menjadi seperti sepohon pokok yang kuat, yang hijau merendang, yang teguh tidak mudah tumbang ditiup angin dan tidak mudah mati ketika kemarau.
Cinta Allah dan keredhaan Allah yang kuidamkan.

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, 'Tuhan kami adalah Allah' kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka maka malaikat akan turun kepada mereka [sambil berkata]:'Janganlah kamu merasa takut dan jangan pula bersedih, dan bergembiralah dengan syurga yang telah Allah janjikan kepadamu"
AQ Surah Fussilat 41:30-32

9 comments:

  1. skrng yg bertudung hnye lah tudung melayu..bknnye tudung islam..dan jika ada yg berkelakuan buruk walaupun bertudung itu hal laen.bknnye menutup aurat membuatkn mereka jd begitu.walau apapun menutup aurat ttp wajib,,papepun sy menyokong penulisan akak..hmmm...bleh x nk tau,,adakh cerita ini cerita sbnr seorng muallaf??

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum...
    satu pandangan yang bernas...bahkan mencipta inspirasi buat saya menulis mengenai aurat ni ^_^

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam syahbandar87,
    Tudung dan pakaian fesyen terbaru dalam pasaran banyak yang tidak sesuai dipakai oleh Muslimah. Kain jarang. Tudung diikat tidak menutupi dada dengan sempurna.Malangnya ramai yang terikut-ikut dengan anggapan ia cantik, fesyen terkini.
    Ya, ini cerita sebenar mualaf, yang saya olah menjadi artikel ini. Perenggan pertama & kedua situasi yang diceritakan kepada saya, perenggan seterusnya jawapan saya sendiri untuk persoalan ini. Sudah banyak aduan yang saya terima daripada mualaf wanita, masalah yang dihadapi ketika mereka cuba patuhi cara berpakaian mengikut syariat Islam dan komen negatif daripada wanita Melayu lain.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam Fakhruddin,
    Tulislah... terutama tentang penjagaan aurat [bukan sekadar pakaian] seorang lelaki Muslim :)
    Boleh saya baca bila dah siap?

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum kak aliya.
    doa kakchik untuk semua HANNAH yang ada di dunia ini terutamanya HANNAH-HANNAH yang kakchik kenali. semoga pendirian dan keyakinan mereka dengan berpakaian sedemikian akan sentiasa teguh walaupun diuji dengan kejian atau kritikan. orang yang mengkritik itu sudah pasti cara pemakaiannya tidak ikhlas menurut ISLAM. kakchik cukup terharu dan bangga dengan kekuatan semangat dalaman para HANNAH yang masih baru sebagai MUSLIM tapi telah yakin dan berani memenuhi tuntutan agama dalam berpakaian menurut kehendak ISLAM. semoga ALLAH beri mereka kekuatan. yang mengkritik itu mungkin MELAYU bukannya ISLAM.

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum, walaupun itu cerita seorg muallaf tapi yang muslimah brpakaian begitu juga masih ada yang dkritik...mudahan kuat dan tetap teguh dengan prinsip muslimah sejati..

    ReplyDelete
  7. Waalaikumussalam kakchik,
    Ameen..
    Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui cabaran dan ujian yang terpaksa dihadapi para HANNAH demi mempertahankan hak menutup aurat.

    ReplyDelete
  8. Waalaikumussalam farhana-ann,
    Benar, semua muslimah yang berusaha mematuhi segala suruhanNya akan sentiasa menghadapi tentangan dari musuh Islam.. hanya membezakan adalah cara tentangan itu, setiap ujian bergantung kpada tahap iman kita

    ReplyDelete
  9. Saya pun hairan dari mana dia orang dapat "idea bernas" dgn tudung yang macam mentol lampu tu. Buruk sangat...Tolong belajar syarat2 berkerudung ada lah menutup aurat...

    ReplyDelete