Wednesday, August 12

BEKAS MINUMAN

Hari pertama ke tadika, Mak menyuruh saya bawa bekas minuman. Tupperware ringkas tanpa sebarang corak, yang boleh mengisi kira-kira 300ml air dimasukkan ke dalam hasil jahitan crochet Mak, dijerut dengan benang, lalu dihulurkan kepada saya.
"Minum bila dahaga," itulah pesanan Mak kepada saya.
Di tadika, bila dahaga, saya buka bekas tersebut. Ah, minuman kesukaan saya. Air madu yang manis saya hirup perlahan-lahan. 2 sudu besar madu dikacau dalam bekas berisi air masak. Itulah yang menjadi minuman harian saya ke tadika. Kemudian saya teruskan tabiat ini di sekolah biasa sehingga saya tamat Tingkatan 5.
Entah berapa bekas minuman yang saya hilangkan. Bila hilang sebuah, Mak akan gantikan dengan yang lain, siap dengan hasil jahitan crochet yang baru. Bila semakin kerap hilang, Mak ugut untuk potong duit poket saya. Ha, ketika itu barulah berhati-hati, hehehee.

Tabiat membawa minuman ke sekolah sudah disebatikan dalam hati nurani anak-anak Cina sejak hari pertama ke sekolah. Jarang yang ke sekolah tanpa membawa air minuman, pasti dimarahi ibu bapa atau penjaga.
"Kalau tak bawa bekas minuman, kamu nak minum apa di sekolah? Minum air kantin yang tidak dimasak? Minum air bergas? Kamu nak sakit perutkah?"
Saya tak berani menjawab. Kalau beli minuman bergas di kantin pun, tak berani nak beritahu Mak Ayah. Pasti kena marah pula. Apa-apa pun, minuman yang dibawa dari rumah mesti habis diminum.
"Membazir! Kamu ingat kamu anak orang kayakah? Beli minuman bergas yng manis tu?" pasti Mak akan membebel panjang sekiranya dia tahu saya membeli air botol F&N di kantin sekolah sebulan sekali.[air sirap manis, susu pekat dan teh-o tiada di rumah Mak dan nenek sehingga hari ini, hanya milo dan teh cina yang dihidang]

"Nak pergi mana pula?"
Saya tegur pelajar yang meminta kebenaran keluar.
"Dahaga, cikgu. Nak minum!"
"Kenapa tak bawa minuman dari rumah?"
"Leceh la. Berat, cikgu."
Berat sangatkah air minuman itu? Atau diri yang malas hendak menuang air ke dalam bekas minuman dan memasukkan ke dalam beg?
Sebenarnya membawa minuman dari rumah dapat memastikan pelajar tidak kehausan ketika belajar di dalam kelas. Bila diri dah dahaga, bagaimana hendak fokus dalam pelajaran?

Pelik sungguh. Ramai pelajar Cina boleh menggalas beg berat berisi 1.5 liter botol air ke sekolah tetapi pelajar bangsa lain susah sangat untuk membawa air minuman walaupun sekecil 250ml. Bukannya berat sangat pun, hanya botol kecil berisi air minuman. Dah berbuih mulut saya menasihati mereka agar menjaga kesihatan diri dan membawa minuman dari rumah. Ketika cuaca berjerebu dan serangan virus semakin merebak, keperluan badan untuk air yang mencukupi semakin bertambah. Badan manusia perlukan air yang cukup untuk berfungsi dengan baik. Kalau sekadar mengharapkan air yang diminum ketika waktu rehat, sudah pasti tidak mencukupi. Apabila badan tidak cukup air, mulalah cepat letih dan mengantuk. Mata pun mulai kuyu dan mulut pun mulalah menguap.

Kalau bulan Ramadhan, fahamlah juga sekiranya mereka kelihatan lesu. Ini masih bulan Syaaban dan saya tahu bukan semua yang berpuasa sunat. Satu cabaran hebat untuk meminta mereka membawa minuman dari rumah ke sekolah. Kalau tiada didikan dari awal yang bermula dari rumah, memang susah untuk anak-anak kita memulakan tabiat membawa minuman dari rumah. Dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, saya lihat sama sahaja. Di universiti pun sama; tak ramai pelajar Melayu yang membawa minuman ke dewan kuliah.
Malang, membawa bekas berisi minuman ke institusi pendidikan masih belum menjadi tabiat pelajar Melayu dan India.

Macam-macam alasan diberi.
Tak cool. Leceh. Nanti hilang. Malulah dengan member. Dah besar, tak payahlah. Berat! Tak sempat nak isi air.
Kayanya ibu bapa kamu; banyak duit poket yang diberikan mak bapa kamu untuk membeli minuman yang mencukupi, supaya dapat menahan dahaga di sekolah, dari 8 pagi sehingga 2.00 petang?
Bila badan dah dehydrated dan waktu rehat sudah lama tamat, bagaimana hendak belajar dengan baik? Hendak minum pun tak boleh; sememangnya air minuman tak ada di sisi!
Bila dikatakan bodoh sombong, marah... hahahaaa.


http://tokotupperware.com/oscommerce/catalog/images/208_new.JPG

10 comments:

  1. Salam cikgu..

    Alhamdulillah, anak2 kakcik memang bawa bekal air kosong (air masak/air mineral ke sekolah). Kalau kakcik lupa nak siapkan, mereka akan minta. Kakcik selalu bagi contoh "tengok anak-anak Cina, tak malu pun bawa botol berisi air ke sekolah"

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Cikgu Aliya, kalau cikgu jadi guru sekolah saya, kan bagus!! heheh

    Dulu masa di sekolah, saya bawa juga bekal air ke sekolah. Tapi saya takut nak minum dalam kelas. Takut kena marah dengan cikgu. Bagi saya, agak kurang sopan ketika cikgu sedang mengajar di hadapan, saya buka botol air dan minum (cikgu pernah buat muka pelik). Pihak sekolah ada galakkan pelajar bawa bekal tapi tidak pernah menggalakkan pelajar minum dalam kelas. Mungkin inilah sebabnya.

    Ya, dan saya pun kagum lihat anak-anak Cina galas botol air 1.5 liter setiap hari ke sekolah bersama-sama beg sekolahnya yang entah berapa kilo tu.

    ReplyDelete
  3. Sampai sekarang pun saya masih bawa bekal air. Air mineral lebih nikmat berbanding air 'mahal' yang lain.. kan kak..

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam kakcikseroja,
    Anak2 Cina dilatih untuk membawa bekal air ke sekolah. InsyaAllah anak2 kita pun boleh dilatih begitu.. ambil yang baik, buang yang buruk.

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam zaharahanum,
    Saya tak kisah kalau pelajar minum di dalam kelas, terutama mereka yang sakit atau terbatuk-batuk. Namun adab di dalam kelas, minum hanya ketika guru tiada, minta izin keluar untuk minum atau ketika membuat latihan bertulis. Amak-anak perlu dilatih :)

    ReplyDelete
  6. Benar, humyrah :)
    Saya sentiasa ada beberapa botol air mineral di dalam laci, 'just for emergency'. Maklumlah kadang-kadang terlalu sibuk untuk ke kantin.

    ReplyDelete
  7. salam..cikgu aliya.
    membawa air dan bekalan makanan waktu zaman sekolah memang menyeronokan..hehe.
    duit yang mak saya bagi boleh simpan,guna akhir tahun buat belanja..hehe
    dah hampir 4 tahun zaman sekolah berlalu.
    tapi di kampus saya masih bawa botol air.
    air amat penting bagi saya.
    saya terjebak kerana kawan-kawan sekolah dulu cina...hehe
    kita ambik yang baik...
    salam kenal cikgu(^_^)

    ReplyDelete
  8. Salam,

    The best water is cold fresh water on a hot day especially after giving 2 to 3 hour of lecture in class. ;p

    I still hate to take medicine and to some extend i still do not believe the doctor 100%. Prevention is better than cure. I still believe that having a strong body with good lifestyle according to our religion is better. We will have strong immune system. Not even H1N1 will be a problem.

    ReplyDelete
  9. Waalaikumussalam arieos,
    Memang seronok tambahan bila boleh berkongsi atau bertukar-tukar makanan dan minuman dengan kawan-kawan.Benar, semoga kita menjadi lebih baik dan bijak hari ini berbanding semalam :)

    ReplyDelete
  10. Waalaikumussalam ahong,
    Oh, I miss the fresh fruit juices sold at USM campus. School canteen is so boring.
    True, prevention is better than cure. I still opt for traditional herbs and spices whenever possible.

    ReplyDelete