Friday, May 29

SIJIL ISTIMEWA

"Teacher, siapa nama teacher sebelum Islam?"
Tiba-tiba seorang pelajar saya bertanya.
Alhamdulillah, setelah lama mengajar dan melayani mereka dengan sabar, mereka mula mendekati untuk berbual-bual dan saling mengenali. Peluang keemasan begini bukan datang dengan percuma; dan perlu digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mengetahui kehidupan seharian mereka dan sebagai cara memberi motivasi kepada mereka yang berada dalam kategori galus [gagal/lulus].
Saya tersenyum, sambil mencapai beg tangan. Saya keluarkan sekeping kad berwarna biru lalu menghulurkan kepada pelajar yang bertanya tadi.
"Oooo... comel teacher," katanya sambil menatapi gambar saya yang berselendang, diambil seminggu sebelum memeluk Islam.
Pelajar-pelajar lain berkerumun melihat kad itu.Mereka membaca nama asal saya dan segala butiran yang tertulis pada kad tersebut. Bagi saya itu bukan sesuatu yang perlu dirahsiakan.
Kad atau Sijil Akuan Memeluk Islam satu-satunya dokumen rasmi keluaran Majlis Agama Islam Negeri yang mengesahkan saya sebagai orang Islam sebelum berjaya menukar nama dan agama dalam Kad Pengenalan.


Dengan berbekalkan sijil inilah [maaf gambar kabur kerana ambil dengan handfon], saya melakukan dakwah kepada mereka yang lahir Islam, khasnya para pelajar saya. Saya tidak perlu bercakap banyak; sekadar menunjukkan sijil ini kepada mereka yang bertanya sebagai bukti saya bukan lahir sebagai orang Islam, dan berapa lama saya sudah hidup sebagai orang Islam. Dan akan saya teruskan cerita asal-usul saya jikalau mereka terus bertanya.
"Cikgu, cikgu orang Cinakah?" pernah pelajar bertanya kepada saya, dengan wajah terkejut. Dia telah menganggap saya orang Melayu selama setahun sehingga terdengar saya bercakap dalam bahasa Cina.
"Ya, saya orang Cina. Mengapa?"
"Tak ada apa, cuma cikgu tak nampak pun macam orang Cina," jawabnya.
"Saya berbangsa Cina beragama Islam."
Ketika mula-mula memeluk Islam, saya bertekad tidak mahu menjadi seperti kebanyakan guru wanita Cina yang memeluk Islam, yang saya kenali. Saya tidak mahu dikatakan memeluk Islam semata-mata kerana berkahwin dengan lelaki Islam tetapi zahirnya masih seperti belum Islam. Saya tidak mahu hanya menukar nama kepada nama Islam, tetapi penampilan diri masih seperti biasa; tanpa menutup aurat. Kalau sekadar berbaju kurung sebagai pakaian mengajar di institusi pelajaran, itu belum mencerminkan seorang Muslimah. Saya mahu menjadi yang terbaik di antara yang terbaik. Itu tekad saya; dan alhamdulillah Allah swt berikan suami yang terbaik untuk terus membimbing saya.
Kini saya pula dikatakan nampak lebih Islamik daripada yang lahir Islam kerana bertudung dan berstokin. [tak apalah, itu kewajipan setiap Muslimah untuk berpakaian begitu, bukan saya seorang]. Saya tahu, ada pelajar Islam yang segan dengan saya kerana tahu saya seorang saudara baru.
Namun perkara yang penting adalah, para pelajar disedarkan bahawa mereka bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga beragama Islam. Islam tidak boleh diwarisi sejak lahir tetapi sekurang-kurangnya mereka sudah diberi asas tentang Islam semenjak kanak-kanak lagi, tidak seperti mualaf yang perlu bermula dari asas sejurus selepas mengucap 2-kalimah syahadah pada usia 20-an atau lebih. Selebihnya terpulang kepada mereka yang muda-muda ini untuk menghargai kedudukan mereka sebagai orang Islam dan untuk menuntut ilmu agama Islam dengan sebaik-baiknya sewaktu di alam persekolahan.
Saya tidak berceramah kepada para pelajar sekolah saya sebagaimana saya berceramah ketika kursus Dakwah dalam masyarakat majmuk di USM. Mereka tidak tahu aktiviti sampingan guru mereka ini, hehehe.
Cukuplah dengan sekeping sijil yang istimewa sebagai pemberi kesedaran kepada mereka bahawa bukan semua orang Islam dilahirkan dalam keluarga Islam, dan bukan semua orang bukan Islam akan mati dalam keadaan kafir.

3 comments:

  1. assalammualaikum.
    salam perkenalan :P

    your story humbled me. i think it is muslim like you that makes islam so divine.

    i want to add this:-

    dan tak semua orang yang dilahirkan islam akan mati dalam islam.

    ReplyDelete
  2. A very inspirational entry.....

    ReplyDelete
  3. a good one kak aliya..

    agree with KNV..dan tak semua yang dilahirkan islam akan mati dalam islam..amat rugi golongan ini...

    ReplyDelete