Sunday, May 3

MEMBERI SALAM

"Good morning.."
"Assalamualaikum.."
Saya jawab setiap satu dengan sebaik mungkin. Bayangkan, ketika naik turun tangga dan bertembung dengan sekumpulan pelajar, pelbagai ragam dan ucapan yang diberikan.

Sebelum bergelar Muslimah, mudah sahaja. Cukup sekadar ucapan "Good morning" dan "Good afternoon". Kini situasi sudah berubah, sebagaimana penampilan diri saya juga sudah berubah berbanding 10 tahun yang lalu.

"Assalamualaikum, apa khabar semua?" saya sudah berdiri di hadapan mereka.
Diam, mereka baru hendak berdiri. 5 saat berlalu.
"Assalamualaikum..." sengaja saya kuatkan suara.
Mereka memandang ke kiri dan ke kanan, menanti ketua kelas memulakan ucapan.
[Istighfar Aliya.. sabar.. sabar]
"Assalamualaikum ciiiikkkk guuuu.."
"Waalaikumussalam warahmatullah," saya menjawab.

"Cikgu..." tegur mereka yang 'ambil angin' di luar bilik darjah, sambil mempamerkan wajah 'bersalah' kerana sedar tidak patut mereka berada di situ.
"Terima kasih, cikgu," kata mereka yang lalu di hadapan saya, yang tidak pernah saya ajar.
Alahai.. bagaimana harus jawab?
"Jawab saja, 'Sama-sama kasih'," ada yang mencadangkan.
Yang paling membingungkan adalah tabiat sesetengah golongan yang seolah-olah malu untuk mengucapkan salam sehingga tidak dapat didengari ucapan yang dilafazkan. Yang dapat didengari hanyalah "kum' atau sesuatu yang hampir menyerupai salam.
Akhirnya, saya bersangka baik dan mengambil keputusan menjawab "Waalaikumussalam" kepada mereka itu walaupun sebenarnya tidak pasti perkataan yang disebutkan mereka ketika mereka lalu di hadapan saya.

Bukan guru-guru lain tidak pernah tegur. Bukan ustaz dan ustazah tidak pernah ajar. Namun berat sangat mulut anak-anak muda beragama Islam itu untuk memberi salam. Di manakah silapnya? Mungkin kerana ketika masih kanak-kanak lagi, tabiat memberi dan menjawab salam tidak pernah ditekankan oleh ibu bapa, juga tidak pernah dipuji apabila mereka dengan suka hati memberi salam kepada ahli keluarga dan jiran-jiran? Mungkin anak-anak tidak dididik bahawa sebagai Muslim, terdapat banyak kebaikan memberi dan menjawab salam sesama umat manusia? Maka jadilah keadaan hari ini, manusia berat mulut untuk memberi salam. Lebih syok mengucapkan "Hai", "Hello" dan "Yo brother" daripada "Assalamualaikum" yang dianggap kekampungan?
Malah, ada yang terpinga-pinga apabila saya memberi salam kepada mereka yang merupakan saudara seagama?
Saya tak kisah; saya mulakan juga. Lama-kelamaan biasalah mereka, fahamlah mereka bahawa mereka perlu memberi dan menjawab salam.
.
Saya rujuk buku bertajuk 'Takwa' tulisan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang sedang dibaca [target sekurang-kurangnya satu buku setiap minggu,alhamdulillah masih berjaya dicapai]. Dalamnya Rasulullah s.a.w. telah berpesan agar umat Islam memberi salam. 'Ucapan salam walaupun ringkas dan mudah pada mulut, adalah doa untuk saudaranya, dan mempunyai unsur tarbiyah agar setiap orang sentiasa bersih hati. Jika seseorang itu menyedari pengertian salam yang dipohonkan kepada Allah terhadap saudaranya, bererti dia minta agar selamat dirinya, selamat harta bendanya, selamat agamanya, selamat keimanannya. Bahkan apa juga keselamatan yang menjadi punca kebahagiaan saudaranya itu, maka itulah yang dikehendaki dengan ucapan salam itu.'(bab 37)

Benar! Salam adalah sesuatu yang begitu istimewa untuk orang Islam. Maka dewasa ini, mengapa begitu berat untuk melafazkan salam sesama umatNya?
Memberi salam hukumnya sunat tetapi menjawab salam hukumnya wajib. Dan hukum memberi dan menjawab salam itu terkandung dalam al-Quran dan hadis.
Jikalau belum mendidik dan memuji anak-anak kecil yang belajar memberi dan menjawab salam , mulakanlah hari ini.
Ikutlah pesanan Rasulullah s.a.w agar kita menjalin silatulrahim dengan memberi salam kepada saudara Islam yang anda kenali dan tidak kenali.

Wabillahi taufik wa hidayah
Wassalamualikum warahmatullahi wabarakatuh

2 comments:

  1. thanks for the reminder. tersedar diri yg selama ni kekdg terlupa nk tekankn didikan memberi salam kepada anak2. ank dah nk 3 thn. harap belum terlambat :)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum sheri,
    Sama-sama kita memberi peringatan. InsyaAllah belum terlambat, anak 3 tahun waktu yang sesuai untuk menerapkan nilai-nilai Islam, semoga membesar menjadi Muslim yang bijak dan soleh, ameen.

    ReplyDelete