Sunday, May 24

DIA SUDAH PERGI

"Ada pelajar kita yang meninggal..."
"Inna lillaahi wa innaa ilahi raaji'uun.."
Kami semua terkejut. Suasana ceria pagi Sabtu bertukar muram. Guru mana yang akan ceria apabila menerima berita kematian salah seorang pelajarnya. Dia anak murid cikgu, dan anak harapan ibu bapanya.

Pelajar perempuan itu didapati demam panas beberapa hari yang lalu dan dihantar pulang oleh guru yang bertugas. Dia tidak kembali ke sekolah selama 2 hari berikutnya. Kami diberitahu bahawa dia diserang sawan pada awal pagi, lalu dibawa ke hospital, tetapi telah terlewat. Arwah hanya berumur 13 tahun.

Walaupun dia bukan pelajar kelas saya, mungkin dia salah seorang yang telah saya tegur, dan yang telah memberi salam kepada saya ketika lalu di hadapan saya. Saya boleh bayangkan bagaimana kawan-kawannya akan terasa kehilangannya yang pergi tanpa sebarang pesan. Kematiannya walaupun pahit, perlu dihadapi dan dijadikan pedoman serta peringatan bagi yang masih hidup.
Tangisan seorang ibu yang terpaksa menerima hakikat anak daranya telah pergi selama-lamanya amat memilukan hati sesiapa yang menziarahi ke rumah. Dialah anak, dialah kakak, dialah pelajar, dialah kawan. Tiada ibu bapa yang mahu melihat si anaknya dikebumikan lebih awal daripada dirinya sendiri. Tiada guru yang mahu melihat jenazah anak murid diusung ke kubur. Namun Allah swt yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.
Buku-buku dan barang-barang peribadi arwah perlu dikutip semula oleh guru kelasnya. Bayangan wajah arwah ketika sihat akan menjadi kenangan seumur hidup untuk warga sekolah yang mengenalinya. Sekolah kehilangan seorang pelajar yang baik. Keluarga kehilangan seorang anak yang solehah.
Selamat tinggal adik Shamimi. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-fatihah.

3 comments:

  1. Innalillahi wa innailaihi raji'un...

    Semoga rohnya dirahmati Allah sentiasa dan semoga arwah bersama-sama golongan yang beriman di syurga. InsyaAllah... Amiin~

    ReplyDelete
  2. Innalillahi wa innailaihi raji'un. Berbahagialah ruh adik Shamimi, anak yang solehah, pelajar yang baik. Di saat badan yang tidak sihat, terasa amat terharu mendengar berita tentang kematian tambah-tambah kalau yang mati itu individu yang baik.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Adawiyah & kakchik,
    Cuaca yang tidak menentu dan gejala demam yang berleluasa dewasa ini memang membimbangkan. Tambah pelajar Melayu yang amat jarang membawa air minuman ke sekolah, berbanding anak-anak Cina.
    Mahu tak mahu perlu snetiasa ingat akan kematian. Harapan saya, sekiranya ALLAH izinkan biarlah saya yang pergi dahulu supaya segala urusan dapat disempurnakan oleh suami tercinta. Saya tidak mahu mayat dimandikan oleh mereka yang tidak saya kenali, kerana selain suami, saya tiada muhrim beragama Islam.

    ReplyDelete