Sunday, March 8

SAYA ANAK MALAYSIA

"Tak ada pelat Cina!" komen seorang kakak pada pertemuan pertama kami.
"Ingatkan Melayu!" apabila melihat saya yang bertudung dan berbaju kurung.
"Mata tak sepet!" kata mereka yang menyangka akan bertemu Nyonya bermata kecil dan sepet.
"Baru dua tahun Islam? Tak sangka!" kata yang lain.
Mereka yang pertama kali berjumpa saya sering tidak dapat mengecam saya, kerana mungkin tercari-cari seorang wanita yang berbahasa Melayu dengan pelat Cina dan berwajah putih keCinaan. hahaha.. saya tidak memenuhi kategori itu.

Apa yang nak dihairankan sekiranya saya tidak ada pelat Cina semasa bercakap? Bukankah saya turut dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia? Bahasa perantaraan saya dengan masyarakat umum adalah Bahasa Melayu. Walaupun berbangsa Cina, saya masih rakyat Malaysia. Alhamdulillah dengan berkatNya, saya boleh membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu dan tulisan Jawi lebih baik daripada bahasa ibunda saya, bahasa Cina. Semua artikel dalam blog ini saya tulis sendiri tanpa diedit oleh orang lain. Saya turut mengajar mata pelajaran Sejarah yang memerlukan saya banyak berhujah dan menerangkan fakta dalam Bahasa Melayu, maka kemahiran berbahasa Melayu juga perlu ditekankan pada empunya diri. Mungkin kelancaran berbahasa Melayu saya tidak sebaik orang Melayu asli tetapi tidaklah sehingga mereka tidak faham pengucapan saya.

Syukur alhamdulillah. Ini semua ketentuanNya yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa. Kebolehan berkomunikasi dalam dwibahasa mengizinkan saya untuk menyampaikan segala maklumat dan berkongsi pengalaman secara langsung melalui blog dan pertemuan muka-ke-muka. Pengajaran Sejarah dalam Bahasa Melayu di sekolah membuka dimensi baru kepada saya dan para pelajar untuk berkongsi ilmu dan membuat perbandingan ajaran agama Islam dan kepercayaan agama lain. Semua itu adalah amanah dan tanggungjawab yang diserahkanNya kepada saya yang baru Islam, bukan untuk dibanggakan tetapi untuk diinsafi. Rupa-rupanya penungguan saya selama 10 tahun untuk diIslamkan ada hikmah yang besar. Mungkin jikalau saya lebih awal memeluk Islam pada usia yang lebi muda, saya tidak mungkin berupaya menjadi seperti diri saya pada hari ini, dan mewujudkan blog 'Musings of a Mualaf' ini. Semua ketentuanNya.

Alhamdulillah, kehadiran saya sebagai seorang saudara baru Islam di kalangan warga sekolah nampaknya memberi kesan positif terhadap tingkahlaku pelajar Islam. Rupa-rupanya penampilan saya sebagai saudara baru Islam yang menutup aurat, sebagai guru yang tegas, dan agak cerewet tentang kebersihan diperhatikan pelajar remaja (Syukur kerana kini para pelajar semakin menjaga kebersihan bilik darjah). "Cikgu yang tak makan saman" ini tidak boleh dibodek, tidak bertindak mengikut arus kebiasaan guru Melayu yang boleh diramal pelajar, dan mampu bersuara lantang dalam dua bahasa merupakan cabaran baru kepada pelajar yang cuba mencuri tulang. Ya, saya adalah cabaran kepada pelajar nakal (yang alhamdulillah, sudah semakin kurang kenakalan mereka).

Sebenarnya, saya tidak menepati tanggapan biasa masyarakat umum terhadap saudara baru Islam, kerana saya memang tidak mahu 'di-stereotype-kan'. Saya anak Malaysia, saya diajar dalam Bahasa Melayu dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa yang rata-rata memahami Bahasa Melayu. Saya selesa berkomunikasi dalam tiga bahasa.
Hanya orang Melayu yang nampaknya masih beranggapan bahawa mualaf Cina adalah seperti begini, begitu dan begitu. Maaf, saya tidak seperti yang disangkakan. Saya mahu mengubah persepsi umum (yang mengenali saya) tentang mualaf, khasnya mualaf wanita. Dan saya bersyukur kerana saya diberi peluang, dan dijadikan sedemikian olehNya.

4 comments:

  1. Betul tu, Kak Aliya. Ramai orang ada tanggapan begitu dan begini mengenai orang mualaf.

    They also expect us to become "Malay". This cannot be! Islam and Malay do not go hand in hand because some Malay cultures are taken from the Hindu culture which is against the teachings of Islam.

    And this also no thanks to our constitution that says to be a Malay is to be a Muslim and to be a Muslim is to be a Malay. Have they forgotten that Islam is for all regardless of race and creed?

    There is a dalil that reminds us that no race is greater than another as well...

    ReplyDelete
  2. betul2....kita sama-sama mauallaf, tahu macam mana keadaan diluar sana...dengan tanggapan mereka-mereka...saya dah hampir 5 tahun dah masuk islam,terlalau banyak dugaan yang dialami..tapi nak buat macamana itulah namanya dugaan....

    ReplyDelete
  3. How many of you know that SONGKOK and KAIN PELIKAT is from the Hindu Indian culture?

    Hehehehe.

    ReplyDelete
  4. Salams...

    From the outside coming in is definitely different. Some disadvantages yes; hardship, being alienated by them old and them new, or even being victims of prejudice but the rewards for being truthful to your faith, like that card ad, priceless.

    And I respect y'all more because of your dedication to seek knowledge, to verify that knowledge and be guided by it. And sticking to the belief and practising your knowledge regardless. Instead of jumping in blindly and doing a Luncai with his labu, as most of us are guilty of.

    Stay strong and may His Blessings be upon y'all and may your steadfastness open our eyes to our own shortcomings and maniacal ego.

    ReplyDelete