Friday, December 5

BERBICARA

Aku selalu berbicara denganNya. Dialah pendengar paling setia, yang tidak pernah menutup pintu komunikasi denganku. Dialah yang Maha Melihat dan Maha Mendengar secara yang kulakukan, dan Maha Mengetahui segala yang kufikirkan dan simpan dalam lubuk hatiku.

Dia tidak pernah menjawab secara langsung tetapi kutahu Dia tetap menjawab. Ku terima peringatanNya melalui penulisan orang lain, melalui nasihat orang lain. Kurasai kasihNya dalam ketenangan jiwa yang diberikanNya kepadaku selepas setiap kali berbicara. Kuterima segala ketentuanNya dengan redha. Aku usaha.

Ujian Allah bukan sedikit. Lepas satu satu. Ketika sesatu ujian, aku ditanya pula oleh hamba lain yang mahu tahu persoalan apa, bagaimana dan mengapa perkara tersebut berlaku padaku. Manalah kutahu kerana itu sudah dikira takdir. Kadang-kadang aku menjadi malas hendak melayan mereka. Cukuplah sudah aku dengan keadaan-keadaan yang menguji kesabaran dan ketaqwaanku; tak ingin sungguh kulayan mereka yang cuba mencungkil lagi. Bila tak dilayan, ku terpaksa pula bersabar dengan tuduhan lain. Dalam keadaan kesihatan yang kurang baik, lagi banyak cabaran yang perlu dilalui.

Dahulu aku tak jadi memeluk Islam kerana teramat kecewa dengan sikap dan layanan orang Islam di sekelilingku. Kini aku masih sedikit kecewa dengan sikap orang Islam lain di sekelilingku. Bukan aku menyalahkan mereka. Kutahu tahap pemahaman Islam mereka tidak sama. Cuma aku masih terkilan dengan segolongan daripada mereka. Ada yang bukan tidak tahu tetapi tidak mahu. Ku hanya mampu berdoa agar mereka mendapat petunjuk dan hidayah dariNya. Ku perlu salurkan tenaga dan masaku untuk perkara yang lebih penting daripada terus-menerus mengetuk pintu-pintu hati yang enggan dibuka. Cukuplah sudah. Biarlah orang lain pula yang usaha. Ku tak berdaya.

Ku sedar juga diriku bukanlah manusia yang sempurna. Masih lemah dari pelbagai sudut. Aku tahu benar siapa diriku; apa kekuatan dan apa kelemahanku. Kubendung sifat-sifat buruk daripada terus bertapak dalam hatiku, dengan bantuanNya. Alhamdulillah, dalam 2 tahun ini, aku cuba perbaiki diriku mendekati ajaran Islam yang benar. Ku yakin, ajaran Islam jua yang dapat mengubah manusia menjadi baik. Ku juga impikan cara hidup Islam seperti zaman Rasulullah saw, yang benar-benar Islam tanpa perlu terikat dengan pandangan sempit masyarakat, adat yang membazir, dan budaya yang bercanggah dengan Islam.
Ada yang kata aku patut bersyukur; memang ku bersyukur dengan segala yang diberikanNya. Bagaimana mereka nak diukur sebanyak mana aku bersyukur?
Ada yang kata aku patut muhasabah diri; mana mereka tahu, bagaimana mereka hendak ukur sebanyak mana aku muhasabah diri?
Ada yang kata aku patut diamkan diri sahaja, sebab aku saudara baru, orang baru. Tetapi mengikut pemahamanku, semua umat Islam perlu tegur-menegur untuk mengelak kemungkaran? Tiada bezanya di antara kau dan aku di sisi Allah kecuali dari segi ketaqwaan padaNya?
Ada yang kata aku tidak boleh mengadu. Maaf,aku hanya ingin menyatakan pendapat, supaya manusia sendiri boleh mengubah keadaan menjadi lebih baik. Belajarlah juga menerima aduan dengan hati yang lapang. Sekiranya aku mengadu terus padaNya, kemungkinan balasanNya dan pengadilanNya lebih dahsyat lagi. Wallahu'alam.

Ku bersabar dengan segala yang berlaku. Namun, bagiku bersabar bukan hanya menerima bulat-bulat keadaan tanpa bertindak proaktif. Prinsipku (yang berlainan dengan ramai) adalah bersabar sambil berusaha, di samping berdoa.Ku tahu semua mengikut kehendakNya. Manusia merancang tetapi Allah juga yang menentukan keputusannya. Kita semua hanya hamba Allah. Hamba Allah yang menerima dengan redha segalanya selepas berusaha bersungguh-sungguh. Redha. Redha dengan keadaan. Redha dengan keputusanNya. Aku mahu menjadi hambaNya yang redha.

Aku hanya mampu memohon padaNya agar mengampunkan segala dosa-dosaku dan dosa-dosa mereka. Aku ingin ikhlas beribadah kepadaNya. Aku ingin hidup sebagai Muslimah yang baik, isteri yang solehah, dan anak yang baik, mengikut acuan al-Quran dan al-hadith, insyaAllah.

3 comments:

  1. Salam Aliya,

    Tabah dan sabar kepada dugaan tu menjadikan kita kuat dan bersedia menghadapi cabaran yang akan datang serta meningkatkan darjat sesesorang disisiNya.

    ReplyDelete
  2. Salam kak aliya... selamat hari raya... kekadang nak juga dengar apa pandangan aliya mengenai status wanita/isteri muslim. Dalam kebanyakan buku agama banyak menceritakan wanita wajib.. begitu.. wajib begini... nampak seperti wanita tidak banyak pilihan selain bersabar. Saya membaca tulisan di dalam sebuah majalah - kenapa tiada penekanan di dalam peranan suami dalam rumahtangga ? dalam konteks melindungi anak-anak, dalam menjadi seorang ketua keluarga yang bertanggunbgjawab. Dilihat hidup suami sangat mudah, berkahwin dan kemudian boleh cerai isteri dan meninggalkan anak-anak dibawah jagaan isteri... menjadi ibu tunggal. Merata kita lihat senario menjadi lelaki sangat mudah. Kadang-kadang mahkamah syariahpun tidak mampu memberi pembelaan kepada ibu-ibu tunggal... kasihan. kan? kenapa dalam buku-buku agama mengenai perkahwinan jarang kita membaca penekanan kepada tanggungjawab suami? kebanyakan lebih kepada apa isteri harus lakukan. kenapa yer? adakah kerana syurga di bawah tapak kaki suami ? bagaimana dengan suami/lelaki adakah mereka lebih bernasib baik kerana syurga mereka dibawah tapak kaki ibu - yangbiasanya lebih pemaaf dan lebih redha? eem seronoklah menjadi lelaki ramailah mereka masuk syurga walhal wanita kekadang terpaksa hidup dengan meredhakan diri dengan segala apa yang ada pada seorang bergelar suami... eem macamana kak aliya boleh komen. nak tahu sangat kak aliya punya pandangan.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam e-joe,
    Kebanyakan buku agama menyatakan wanita wajib itu.. ini? Mungkin dalam buku Malaysia berbahasa Melayu sahaja? Tentu sekali syurga BUKAN di bawah tapak kaki suami. InsyaAllah, nNanti saya akan beri pendapat saya dalam isu ini :)

    ReplyDelete