Tuesday, November 4

PANGGILAN TELEFON SANA SINI

Saya tidak suka berleter tetapi nampaknya kadang-kadang saya perlu berleter. Perlu berleter panjang apabila berurusan dengan pegawai di jabatan kerajaan. Cakap berulang-kali sehingga mereka faham dan berlakunya perubahan positif.

Beginilah lebih kurang perbualan telefon saya pada hari ini:
"Jabatan Imigresen (Putrajaya)"
"Assalamualaikum, boleh saya bercakap dengan Encik Mohd Faizal?"
"Ya, saya bercakap? Boleh saya bantu cik?"
"Nama saya Nur Aliya..Saya ingin bertanya tentang permohonan paspot antarabangsa saya yang dihantar ke Putrajaya. bla-bla-bla.."
"Aliya.. aliya.. macam pernah dengar. Oh, kami sudah luluskan pada 30 Oktober."
"Terima kasih. Saya bertanya sebab belum mendapat apa-apa maklumat dari Jabatan Imigresen PP."
"Sabarlah.. Jabatan Imigresen banyak kerja."
(Ya, kalau dah banyak kerja, kenapa perlu tambah kerja lagi? Hapuskan saja syarat perlu semak semula permohonan paspot mualaf yang sudah diberi Kad Pengenalan baru, terutamanya yang sudah berkhidmat di jabatan kerajaan, bukankah senang? Semua pihak gembira)

"Jabatan Imigresen PP.. tekan 4 untuk .. tekan 5 untuk.."
Saya tekan nombor 5.
"Bahagian Paspot."
"Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang permohonan paspot antarbangsa saya yang saya lakukan pada 28 Oktober. Nama saya ... Saya diberitahu oleh Jabatan Imigresen di Putrajaya bahawa permohonan saya sudah diluluskan oleh pihak mereka pada 30 Oktober. Bila agaknya saya boleh mendapatkan paspot saya?"
"Nombor rujukan cik?"
Saya memberitahu lelaki itu.
"Oh, fail Cik ada di dalam pejabat Pengarah. Kalau Cik nak cepat, Cik kena datang sendiri berjumpa Pengarah."
"Encik, saya perlu tahu sama ada permohonan saya itu sudah diluluskan atau belum oleh jabatan ini sebelum saya pergi. Bukankah membazir jika saya parking kereta, ambil nombor, tunggu kemudian diberitahu bahwa permohonan paspot saya belum diluluskan oleh jabatan imigresen PP?"
"Sila datang berjumpa Pengarah."
"Berapa lama perlu saya tunggu untuk mendapatkan permohonan paspot saya ini diluluskan oleh pihak tuan?"
"Kalau tak datang sendiri, 2 hingga 3 minggu. Kalau Cik nak cepat, datang sendiri jumpa Pengarah."
(Hairan bin ajaib, mengapa perlu tunggu lagi 2-3 minggu sedangkan permohonan sudahpun dapat lampu hijau dari Putrajaya? Takkanlah nak tandatangan Pengarah pun perlu tunggu 2-3 minggu?)

Saya tak puas hati. Geram. Takkan saya hendak ke Jabatan Imigresen tanpa sebarang dokumen atau pengesahan bahawa permohonan paspot saya sudah diluluskan oleh pihak negeri? Merugikan masa, meletihkan dan bukan satu tindakan yang bijak. Saya pun pegawai kerajaan, saya tahu benar tentang prosedur kerja. Kalau tak ada borang rasmi atau dipanggil hadir, jangan hadir. Buang masa sahaja.

"Tolong sambung saya ke pejabat pengarah. Terima kasih," saya memberitahu telefonis.
"Saya Abdul Rahman. Boleh saya bantu?"
"Assalamualaikum. Nama saya... Saya ingin bertanya tentang permohonan paspot antarabangsa saya yang saya buat pada 28 Oktober. Saya diberitahu pada hari berkenaan bahawa sebagai saudara baru Islam, saya perlu mendapatkan kelulusan dari Putrajaya. saya baru telefon Jabatan Imigresen di Putrajaya dan saya diberitahu bahawa permohonan saya sudahpun diluluskan. Jadi saya nak tahu bila agaknya saya boleh mendapatkan paspot saya dari pihak tuan."
"Cik perlu telefon Bahagian Paspot, bukan bahagian ini."
"Saya sudah telefon dan saya tidak mahu menelefon sana lagi. Pegawai yang menjawab telefon itu agak biadap."
"Boleh tahu siapa pegawai itu?"
"Dia tak kenalkan dirinya. Encik, saya hanya nak tahu sama ada permohonan paspot saya sudah diluluskan oleh pihak tuan atau belum, dan bila saya boleh mendapatkan paspot itu. Saya sudahpun telefon Putrajaya dan diberitahu mereka sudah luluskan permohonan saya."
"Cik bercakap dengan siapa di Putrajaya?"
"Dengan Encik Faizal, Bahagian Paspot"
"Apa nombor telefon yang Cik hubungi?"
"Encik, bagaimana saya hendak beritahu nombor itu sedangkan saya sedang bercakap menggunakan telefon bimbit? Maaf saya tak ingat nombor Putrajaya itu."
"Cik, kami perlu siasat dahulu dengan siapa Cik bercakap dan sama ada permohonan Cik itu betul-betul sudah diluluskan."
"Saya diberitahu oleh pegawai Encik yang menjawab di Bahagian Paspot bahawa fail saya ada di pejabat Pengarah, sebab itu saya telefon ke sini.Dia suruh saya pergi jumpa pengarah jika hendak paspot saya cepat. Saya perlukan kepastian. Saya diberitahu oleh pegawai semasa saya membuat permohonan paspot bahawa pihak imigresen akan menghubungi saya apabila permohonan saya diluluskan oleh Putrajaya. Sekarang saya sudah telefon Putrajaya, dan diberitahu bahawa permohonan saya sudah diluluskan pada 30 Oktober. Sekarang saya nak tahu bila saya boleh dapatkan paspot saya."
Dua minit berlalu, kedengaran dia menyelak kertas.
"Cik tolong telefon balik dalam masa 10 minit? Atau begini.. Bagi saya nombor telefon Cik, nanti saya telefon balik."
"Ok, nombor saya ..... Terima kasih."

Sejam kemudian, telefon berdering.
"Cik Aliya, saya Abdul Rahman. Permohonan paspot Cik sudah lulus. Cik boleh datang ke sini esok."
"Terima kasih."

Alhamdulillah dah lulus permohonan. Terima kasih Encik Abdul Rahman atas keprihatinan anda. Aduh, entah berapa ringgit bil telefon yang perlu ditanggung bulan ini kerana menelefon ke sana sini. Apa agaknya yang bakal berlaku di jabatan imigresen esok?

6 comments:

  1. Assalaamu'alaykum dear sis aliya,

    oh dear, it's that putrajaya "nombor mana yang puan telefon? oh, jangan guna nombor itu, sila guna nombor XXXX"

    uh... but they're in the SAME BUILDING!

    I did write an e-mail etc, telling them to STANDARDISE the information that all their officers get, and put it in black and white - I even listed down item by item, what they should do to make it easier for us, but anything done? Looking at what you have to go through, I don't think so!

    Inshaa Allaah your case will be settled asap! It's ridiculous what the gov officers are up to sometimes..

    ReplyDelete
  2. Salam Puan....

    Tahniah puan.. dah berjaya mendapatkan pasport puan...dan surat puan ke akhbar pun keluar hari ni... http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20081105000741/Article/index_html.

    Saya cadangkan puan buat surat susulan ke akhbar mengucapkan terima kasih (bukan nak mengajar tapi utk kemudahan mualaf lain di kemudian hari) kepada pihak berkenaan kalau boleh sebut sekali nama2 mereka dalam akhbar yang membantu puan. Biar terangkat sikit mereka. Bukan apa mereka suka dipuji bila buat kerja apatah lagi bila nama masuk akhbar dengan tugas yang baik.... silap2 boleh naik pangkat lagi..

    Tujuan saya mencadangkan demikian bukan nak suruh puan mengampu tapi adalah untuk kepentingan mualaf2 lain dikemudian hari supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi... SELAMAT MELANCONG...

    Salam mal887

    ReplyDelete
  3. Salaam,

    Thanks for sharing this phone conversation. I bet it's really useful when comes my turn to make my passport.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam,
    Rayhana,
    I'm also a government officer, although I deal mostly with parents and students. I know how the system works, that's why I have been pushing and pushing so that I'd have my pasport before my coming surgery.InsyaAllah I'd get mine by the latest tomorrow.


    mal887,
    InsyaAllah saya akan susul dengan surat terima kasih. Sebenarnya tanpa paspot kita tersekat di dalam negara sahaja. Nak tempah tiket kapal terbang pun tidak boleh.

    wafiUddin,
    Soory to tell you that the current piagam pelanggan Jab.Imigresen stated that citizens from Sabah & Sarawak applying for international pasport the frist time need to wait for 30 days before approval. Be prepared for a long wait. Time to sharpen your communication skill,huh.

    ReplyDelete
  5. salam kak aliya.

    kesiannya kat akak. amalan birokrasi di jabatan-jabatan kerajaan memang masih byk yang menyusahkan pelanggan. tak tau bila sistem ini akan menjadi efisyen.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumusalam kakchik,
    Biasalah, tetapi saya tetap bersyukur kerana Allah berikan ruang untuk saya bersuara di alam siber dan akhbar. Bayangkanlah masalah sama dihadapi mereka yang lain, yang dipaksa menunggu dan menunggu sehingga berminggu-minggu lamanya. Kasihan mereka.

    ReplyDelete