Wednesday, November 12

MENJADI AGEN PERUBAHAN

"Ok, saya pergi dulu," kata Adik sambil beredar ke keretanya.
Saya mengangguk. Kami berbual di hadapan pondok pengawal kerana masa suntuk. Masing-masing ada urusan penting.
Rupa-rupanya perbualan kami dalam Bahasa Cina Hokkien itu telah didengari pengawal India yang bertugas. Juga didengari seorang wanita Cina yang memandang saya dengan hairan.
"Wah, awak banyak pandai cakap Cina ya, macam orang Cina betul," pengawal itu menegur saya yang lalu di depan pondoknya.
"Saya Cina mahh, " saya menjawab sambil tersenyum padanya.
"Cinakah? Tapi pakai itu?" dia menunjuk ke arah tudung saya.
Saya tergelak. " Saya masuk Islam."
Wajahnya berubah, mulutnya terlopong. Saya ketawa kecil sambil membuka pintu kereta.
"Apa yang awak bual dengan pengawal tu?" tanya suami melihat saya tersenyum riang.
"Oh, saya telah memberitahunya bahawa saya Cina Islam."



"Adik, Cina.. bukan Melayu," saya membetulkan jururawat yang mengisi buku rekod pesakit yang memeriksa bacaan tekanan darah (rutin saya setiap hari untuk minggu ini, alahai).
"Oh, minta maaf," jururawat Melayu itu tersipu-sipu malu."Tak perasan."
"Tak mengapa," saya senyum padanya.
Agaknya esok kalau berjumpa saya lagi, dia akan lebih berhati-hati. Bukan susah nak pasti pun, nama penuh saya masih ada nama keluarga Cina. Saya juga tidak memakai baju kurung ke klinik kesihatan itu.

"Wah, awak hebat la. Boleh cakap tiga bahasa. Bahasa Melayu boleh, Bahasa Inggeris dan Cina pun pandai," kata jurujual wanita Cina itu kepada saya.
"Cik, saya orang Cina," jawab saya dengan tenang.
"Oh, Cinakah? Patutlah awak fasih cakap Hokkien. Boleh cakap Mandarin?"
"Sikit-sikit boleh."
Dia terus bercakap Mandarin. Agaknya dia tidak fasih bercakap loghat Hokkien. Mungkin bukan orang tempatan.
"Kenapa pakai itu kain (tudung)? Suami awak suruhkah?"
" Tak, saya sendiri yang mahu pakai. Ajaran Islam menyuruh wanita pakai tudung."
" Tak panaskah pakai?"
" Dah biasa, tak rasa panas."
" Oh."

Setiap kali masuk ke kedai Cina, saya perlu membuat keputusan dengan cepat. Nak cakap dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Cina. Ada pro dan kontra. Kalau cakap dalam Bahasa Melayu pun, taukeh tidak akan tahu bahawa saya sebangsa dengannya sebab saya tidak mempunyai pelat Cina ketika berbual. Wajah saya pun tidak nampak terlalu Cina, tambahan dalam keadaan bertudung. Cuma saya sendiri yang berasa janggal, hehehe.. Kalau cakap Bahasa Melayu, kebaikannya saya dilayan seperti biasa, tak perlu jawab banyak soalan sampingan " Lu Cina atau Melayu? Kahwin Melayukah? Bapa Melayukah?".
Kalau bercakap Bahasa Cina, kebaikannya saya mudah mendapat barang yang saya kehendaki, terutama di kedai runcit Cina atau kedai sinseh. Tak perlu nak perah otak memikirkan nama bahan tertentu dalam Bahasa Melayu.

Bayangkanlah, mana lebih mudah, "Ah Pek, bagi saya ang-choh 1 paket, pek-kueh 500 gram, dan pek-mok-ni 200 gram.." atau " Uncle, err bagi saya kurma cina warna merah 1 peket, gingko 500 gram(ah? Itu benda macam kacang, kulit keras sikit, aiyohh tak fahamkah?) dan fungus putih 200 gram (hah? Itu makanan kembang macam bunga? Bukan, bukan bunga kekwa, aiyohh juga tak faham?).. hahahahaa.. Saya dah terkena, gara-gara nak 'berlakon macam Melayu', 10 minit saya cuba terangkan dalam Bahasa Melayu, akhirnya saya berbahasa Cina terus dapat benda tu. Padan muka saya, huhuhuu. Sekarang bila masuk kedai sinseh, automatik cakap Bahasa Cina. Taukeh tak pening, saya pun tak pening :D

"Kenapa tak cakap Cina dengan penjual sayur tu?" tanya Suami ketika singgah di sebuah pasar petang. Hanya taukeh Cina yang membuka kedai sayur di situ.
"Saya nak cepat, malas nak minta diskaun."
"Oh, cakap Cina boleh dapat diskaunkah?"
"Kadang-kadang. Susah dia nak berahsia dengan kita yang faham bahasanya. Kalau tawar-menawar dalam Bahasa Cina pun , bukannya orang lain faham."

Persepsi masyarakat kita memang stereotype. Kalau promoter berbangsa Cina nampak wanita bertudung, automatik cakap Melayu. Boleh kelam-kabut jadinya dia kalau saya yang nakal ini menjawab dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Cina... hehehee. Mereka dah kena.
Kalau nampak wanita Cina, automatik cakap Bahasa Mandarin (bukan semua wanita Cina tahu Mandarin tetapi itu perkara lain). Kalau nampak wanita India, automatik cakap Melayu atau nampak dia moden sikit, cuba-cuba cakap dalam Bahasa Inggeris.

Sekurang-kurangnya sekarang taukeh dan pelanggan Cina tidak terkejut melihat seorang wanita bertudung ke kedainya membeli kurma cina, longan kering, tongkwei dan lain-lain ramuan herba.
Sekurang-kurangnya sekarang pekerja di kedai tayar, kedai jam dan kedai kunci tahu ada seorang pelanggannya yang Cina Muslim dan fasih berbahasa Cina.
Sekurang-kurangnya jururawat dan doktor di klinik dan hospital tidak terkejut apabila saya berbual dalam Bahasa Cina. Mereka sudah sedar bahawa terdapat wanita bukan Melayu yang bertudung dan menganut agama Islam, yang turut fasih berbahasa Cina di kalangan mereka.
Ah, mungkin esok atau lusa saya akan berbahasa Cina pula dengan pharmacist saya, doktor gigi saya, dan orang perseorangan yang berurusan dengan saya.
Mulakan langkah pertama dengan bijak, langkah lain akan menyusul dengan mudah, insyaAllah.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Wm. Wb.
    Saya suka membaca tulisan Puan. Menarik dan membantu memahami banyak persoalan daripada perspektif seorang yang bukan dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi memeluk agama Islam dan menghayatinya.
    Wasallam.

    ReplyDelete