Saturday, November 8

DARI MATA TERUS KE HATI

Aliya tidak menemui Tuhan melalui kawan-kawan Melayu ataupun orang perseorangan. Pencariannya berakhir di sebuah kedai buku Melayu. Aliya mencari-cari buku untuk pengajarannya. Di rak bersebelahan, dia lihat banyak buku agama Islam. Biasanya dia tidak akan langsung menyentuh buku-buku berbentuk agama Islam tetapi entah mengapa pada hari itu tangannya mencapai sebuah buku yang dipamerkan di rak buku.
Kebetulan pada waktu itu kedai buku itu lengang. Aliya satu-satunya pengunjung ke situ. Dia terus membelek buku agama itu. Semakin dibaca semakin dia tertarik dengan isi buku itu tetapi dia masih segan untuk membeli.
"Isshhh, ini buku agama Islam. Apa pula kata orang lain jika mereka tahu aku membelinya?"

Aliya tidak jadi membeli buku tersebut. Namun begitu dia tidak dapat melupakan kandungan buku tersebut. Keesokan hari dan hari-hari berikutnya Aliya kembali ke kedai buku itu untuk membaca secara pintas lalu buku-buku agama Islam yang terdapat di situ. Dia mencari buku yang mudah difahaminya, buku-buku yang tidak mengandungi terlalu banyak huruf Arab. Mujurlah dia kenal jurujual di kedai itu maka tindakannya tidak menimbulkan sebarang tanda tanya.

"Hai cikgu, belum jumpa buku yang hendak dibeli itu?" tegur jurujual wanita itu.
"Belum lagi."
Akhirnya Aliya memberanikan diri; dia membeli beberapa buku yang dia kira sesuai untuk menambahkan pengetahuannya tentang agama Islam. Di antaranya adalah buku tentang Islam, fardu ain, dan perkahwinan. Dia menanti kaunter bayaran kosong sebelum membawa buku-buku tersebut untuk dibayar. Hatinya berdebar-debar.
"Eh, beli buku agama, cikgu?"
"Err... nak hadiahkan kepada kawan."
"Oh, bertuah kawan cikgu."
Aliya hanya tersenyum.
Cepat-cepat dia masukkan buku-buku yang dibeli ke dalam beg galas.

Di rumah, Aliya menyorokkan buku-buku tersebut di dalam kotak dalam bilik stor, dan hanya akan mengeluarkannya untuk dibaca ketika berseorangan. Suaminya tidak pernah mengesyaki tindakannya itu. Dengan patung Buddha dan tuhan Tao di belakangnya, Aliya menghabiskan masanya dengan membaca buku-buku tentang Islam, tentang Allah, tentang keperluan berwuduk, beristinjak dan sebagainya. Semakin banyak yang dibaca, semakin dia tertarik dengan ajaran agama Islam. Hatinya tenang apabila membaca terjemahan ayat-ayat al-Quran yang terkandung dalam buku yang dibacanya.

Aliya tahu risiko yang bakal dihadapi sekiranya tindakannya membaca buku-buku agama Islam itu diketahui suami dan keluarganya. Mereka tentu akan mengamuk. Banyak soalan yang kurang menyenangkan akan terpaksa dia jawab kelak.Pada mulanya Aliya membaca sekadar untuk mengetahui apakah sebenarnya ajaran Islam. Tidak pernah dia jangkakan bahawa dia boleh benar-benar jatuh cinta dengan Islam hanya melalui isi kandungan buku-buku tersebut.

(Apa komen anda? 4 tajuk lagi, insyaAllah.)

image hiasan: http://pts.com.my


9 comments:

  1. Assalamaualaikum Aliya. Ada email untuk Aliya :)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.
    saya akan hebahkan blog ini kepada rakan rakan seagama.

    ReplyDelete
  3. dan izinkan saya memberi komen sepatah dua..

    Apa yang saya lihat,memang sukar untuk orang bukan Islam mendapat hidayah dengan melihat kelakuan dan perangai sebilangan orang melayu sekarang.sukar...

    perkara pertama yg jadi halangan adalah,ramai yg menganggap melayu itu Islam dan islam itu melayu di malaysia,sedangkan kelakuan dan perangai orang melayu dewasa ini amat mendukacitakan.

    Teruskan menulis.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam samuraibiru,
    Apabila Allah swt menutup satu jalan, Dia akan membuka jalan lain kepada kita. Alhamdulillah dewasa ini dengan perkembangan teknologi internet serta perkembangan ilmu, lebih ramai golongan belia bukan Melayu yang berminat memeluk Islam. Mereka tidak lagi berfikiran sempit bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Mereka ramai di institusi pengajian tinggi dan tempat kerja. Hidayah mereka melalui pembacaan dan dialog dengan orang Islam yang berakhlak mulia. Allah Akhbar!

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam Umi Jah,
    Emel sudah dibalas :)Terima kasih

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. Assalammualaikum.. Alhamdullilah dan syukur. Pandangan saudara baru dalam islam dan pandangan orang islam pada adat adalah jauh bezanya. Saudara baru berpandangan melalui iman yang Allah campakkan padanya tetapi Orang islam pada adat( lahirnya dalam Islam) tidak semestinya berfikiran macam tu melainkan Allah campakkan padanya iman, satu jalan yang sama dengan saudara baru. Cara pandangannya terhad sebab dah biasa cara hidup macam tu dan dalam keadaan bahaya kerana tak dapat membezakan iman seperti mana dikehendaki alquran dan sunnah nabi. Terdapat persamaan antara kedua pihak bila masing-masing dapat merasa manisnya iman...Tauhid pada keesaan tuhan.. Akan timbul kasih sayang dan simpati .., menyalurkan melalui Doa supaya tuhan melimpahkan taufik dan hidayah pada rakan rakan yang masih kafir, samaada pada perbuatan dan pengakuannya. Wallahualam.

    ReplyDelete
  8. Waalaikumussalam Saparudin,
    Saya percaya dan cukup yakin bahawa dalam perjalanan hidup saya, ada hamba Allah yang telah membantu mendoakan kepadaNya supaya saya mendapat hidayah dan memeluk Islam. Sikap inilah yang harus kita tanamkan dalam jiwa kita, mendoakan mereka yang buikan Islam supaya dipermudahkanNya untuk mengucap 2-khalimah syahadah dan menjadi sebahagian daripada keluarga kita, keluarga Islam.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum

    ALLAH akan memberikan NUR-NYA kepada sesiapa yang DIA kehendakki dan mengambilnya kembali tanpa seseorang itu menyedarinya.

    Sentiasalah kita beringat akan kekuasaanNYA.

    After going through your blog, I got to connect with my innerself yang had left me for a few months. Alhamdulillah.

    ReplyDelete