Sunday, October 19

UJIAN MEMANDU 2

"Kuat ujian Allah kepada kita hari ni, yang.." komen suami.
"Sabarlah Abang," saya menjawab.
Jam sudah menunjukkan 9.30 malam. Kami telah merancang untuk tiba ke destinasi pada 8malam tetapi keadaan tidak mengizinkan. Hujan lebat pada waktu petang sehingga air naik di beberapa kawasan telah melewatkan kami meninggalkan rumah. Seterusnya tersilap jalan menyebabkan kami terpaksa kembali semula ke Kuala Kangsar melalui lebuh raya Ipoh-Kuala Kangsar sejauh 25 km sebelum berpatah balik ke Ipoh Selatan. Aduh! Stres dan letih mula dirasai sedangkan perjalanan masih jauh lagi. Kami hanya berjaya tiba di Simpang Pulai pada jam 8 malam. Masih 3 jam perjalanan perlu diharungi sebelum tiba ke Gua Musang, Kelantan.

"Apa benda tu?" saya kagum melihat cahaya dari lereng bukit. Memandu pada waktu malam di lebuh raya Simpang Pulai-Gua Musang rupa-rupanya sesuatu pengalaman yang menarik.
"Itu kebun sayur, yang menyala tu lampu yang dipasang."
"Cantik."
Kebun-kebun sayur yang berdekatan dengan Cameron Highlands kelihatan seperti pesta cahaya diterangi lampu yang digantung. Kebun-kebun itu terletak di kiri kanan lebuh raya itu selama beberapa kimometer. Kami tidak berhenti kerana hujan masih turun renyai-renyai dan kabus semakin tebal.

"Perlahan sikit."
Hati saya berdebar-debar. Kabus tebal di atas bukit sepanjang lebuh raya yang sunyi itu menyebabkan penglihatan kami terbatas kepada hanya 1-2 meter ke hadapan. Hanya dapat melihat tanda bercat putih di atas jalan bertar itu. Suasana bagaikan berada dalam set filem seram.
Kalau bukan kerana tugas rasmi suami, kami tidak akan mengambil risiko memandu dalam keadaan gelap gelita dan hujan renyai. Demi amanah yang diberi, kami akur dan berada di lebuh raya itu pada waktu malam. Pengorbanan yang kami redha.

"Boleh?"
Suami akhirnya terpaksa menyerahkan stering kereta kepada saya di Kpg.Raja berdekatan simpang menuju ke Cameron Highlands. Sudah keletihan setelah hampir enam jam memandu.
"Boleh, no problem." Saya cuba menyakinkannya.
Mana mampu saya berkata selain daripada "boleh". Hanya Allah swt yang mengetahui perasaan saya ketika itu. Dengan suami terlena di sebelah, hanya doa dan bacaan surah-surah yang mempu saya hafal yang menjadi teman saya ketika memandu 80 km/j dalam malam yang sunyi dan gelap. Berani kerana terdesak.

Alhamdulillah kami selamat tiba di destinasi tepat 11 malam. Mujurlah pihak pengurusan telah menyediakan tempat penginapan yang selesa. Suami tidak tidur, sebaliknya terus membuat persediaan. Keesokannya kami selamat tiba di pusat tersebut. Ramai yang menanti.
Syukur, dengan penuh semangat suami memulakan tugas yang diamanahkan kepadanya. Saya lega kerana kami berjaya melaksanakan semuanya dengan baik.

Kami bertolak semula ke rumah pada waktu senja setelah berehat dengan secukupnya. Banyak lagi kerja yang belum selesai menanti di rumah. Markah pelajar. Soalan peperiksaan. Persediaan aktiviti untuk minggu hadapan. Begitulah banyaknya tugas yang diamanahkan.

Perjalanan pulang lebih sunyi lagi. Kabus tebal menyelimuti jalan yang gelap tanpa lampu jalan. Kereta kami satu-satunya kenderaan yang bergerak di lebuh raya menuju ke utara. Sekiranya berlaku kecemasan, kepada siapakah harus kami meminta tolong kecuali padaNya? Di kiri jalan kelihatan beberapa kenderaan yang telah ditimpa kemalangan. Berlanggar. Bukan sekali tetapi 3-4 kemalangan sepanjang perjalanan menuruni bukit ke Simpang Pulai. Kadang-kadang melibatkan tiga buah kereta sekaligus. Bantuan polis telah tiba untuk membantu. MasyaAllah. Mujurlah tidak melibatkan kehilangan nyawa.

"Boleh? Kalau tak tahan, biar Aliya yang drive pula."
Suami menahan sakit. Berkerut mukanya. Penyakit lama menyerang semula secara tiba-tiba. Kali ini bengkak di tumit kaki kanan, menyebabkan pemanduan menjadi satu penyeksaan. Namun dia tetap memegang stereng kereta, kerana hujan masih lebat, jalan bengkang-bengkok dan kenderaan banyak di lebuh raya Ipoh-Kuala Kangsar yang sibuk dengan kenderaan berat merupakan cabaran untuk saya yang kurang berpengalaman memandu pada waktu malam.

Akhirnya dia menyerah. Tekanan pada pedal kereta menyebabkan kakinya semakin bengkak dan sakit. Di Bukit Gantang, saya menukar tempat dengannya. Seperti malam sebelumnya, saya hanya mampu berdoa dan bertawakkal pada Allah swt agar melindungi kami dan mempermudahkan urusan kami.

Memang berat ujianNya kali ini. Kekuatan emosi dan rohaniah perlu melebihi kekuatan fizikal. Syukur sungguh padaNya kerana kesihatan saya pada minggu ini bertambah baik, lalu tidak menghalang saya untuk berada di dalam kereta berjam-jam lamanya tanpa berhenti di R&R. Tak dapat saya bayangkan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku sekiranya suami terpaksa memandu seorang diri sekiranya saya sibuk, sakit tenat atau tidak dapat menemaninya dalam perjalanan kali ini. Syukur atas kasih sayang dan rahmatNya. Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah pada tengah malam tadi.

Pemanduan kali ini banyak menyedarkan saya akan beberapa perkara:
1. Seorang isteri perlu cekap memandu kereta; kita tak tahu bila masanya kita perlu mengganti tempat suami sebagai pemandu. Bila suami sakit atau tidak mampu memandu, kita saja yang diharapkannya.
2. Banyak perkara boleh dibincangkan ketika dalam perjalanan jauh. Kawal topik perbincangan supaya tiada pihak yang terluka atau salah faham. Kawal emosi. Kawal tutur kata. Cubalah bergurau senda.
3. Kita perlu sabar ketika dalam keadaan stres. Bersangka baik pada Allah swt. Isytifar banyak-banyak.
4. Kita perlu bersangka baik pada pasangan kita, terutamanya ketika masing-masing dalam stres.
54. Sokongan moral kepada pasangan amat penting dalam sesebuah rumahtangga.
6. Ingat waktu solat dan laksanakan solat walaupun ketika berjalan jauh.
7. Berdoa dan bertawakkal kepadaNya setelah segala usaha telah dilakukan.

2 comments:

  1. yeah, it's good to have someone who can drive to take over the steering when we are tired.

    ReplyDelete
  2. Salam Faizal,
    Contact us when you balik ampung, mau settle hutang la. How's life as Penyelaras Makmal Komputer, hehehe. Dah tambah rakyat belum?

    ReplyDelete