Friday, October 24

SIAPALAH SAYA..

Bolehkah saya?
Mampukah saya?
Cukup ilmukah saya ni?

Kadang-kadang diri kurang yakin. Risau. Bimbang. Tak pasti. Saya sendiri keliru.
Kesibukan kerja dan keadaan kesihatan yang turun naik menyebabkan masa seperti sangat suntuk. Terpaksa mencuri masa untuk membaca. Perlu mencari masa untuk mencari bahan. Menggunakan segala kaedah dan ilmu untuk membantu sahabat-sahabat yang memerlukan bantuan. Bantuan dalam bentuk nasihat dan kata-kata doroangan pula perlu diberi tanpa mengira masa kerana yang memerlukan dalam keadaan terdesak.

Banyak perlu dibuat.
Masa cepat berjalan.
Saya tidak pernah impikan begini jadinya.
Hasrat di hati hanya untuk menjadi umatNya. Memeluk Islam. Hidup seperti orang Islam. Mati sebagai orang Islam.
Hasrat yang dipegang oleh muslimah-muslimah yang memeluk Islam.

Namun Dia yang menentukan segalanya. Dia lebih mengetahui hati dan diri saya.Saya bukan seorang yang berpuas hati dengan melihat dan mendiamkan diri.Kalau saya perlu menegur, saya akan menegur.Kalau saya fikir ada kesilapan, saya akan beritahu.Walaupun yang ditegur itu orang yang lama Islam. Walaupun yang dinasihati itu orang yang zahirnya Muslim dan Muslimah yang baik-baik. Kalau terlintas dalam hati perlu menegur, saya akan menegur dengan cara yang baik, walaupun kurang disenangi mereka.Muslimah memakai perfume sehingga menusuk hidung kita yang lalu.
Muslimah memakai tudung tetapi memakai pakaian ketat.Muslimah yang menghantar emel dengan nasihat agama tetapi bahan yang dihantar itu tidak bersumberkan bukti sahih, sehingga boeh mengelirukan orang lain.Saya tahu. Mimik muka dan bahasa yang mengiringi menunjukkan pendapat mereka bahawa saya tidak patut menegur kerana saya pun masih baru belajar. Sukar menerima hakikat dan teguran daripada orang lain tambahan orang yang baru bergelar Muslim. Sukar menerima teguran orang yang mengkaji al-Quran dan hadith selama 10 tahun sebelum memeluk Islam secara rasmi.
Kata-kata naihat saya diterima sebagai satu tamparan hebat kerana saya dianggap orang luar, yang baru nak belajar Islam tetapi sudah berani menegur dan mengeluarkan mereka dari perasaan berada dalam zon selamat. Ada yang melatah penuh emosi, marah marah. Ada yang menuduh saya nak tunjuk pandai. Allah Maha Mengetahui niat saya berbuat demikian.

Saya tak minta untuk menjadi popular. Saya tak minta untuk disukai. Saya tak minta untuk dihormati. Saya menegur kerana saya perlu menegur. Kalau saya tak menegur mungkin mereka masih akan ulangi kesilapan, kerana mungkin orang lain tak berani menegur. Mungkin orang lain juga menganggap mereka itu betul. Maklumlah dewasa ini, tak ramai yang mahu dan tidak berani menegur walaupun maksiat berlaku di depan mata. Kononnya nak jaga hati orang tetapi sedarkah sikap mendiamkan diri bakal merosakkan orang berkenaan sekiranya dia terus-menerus melakukan kesilapan yang sama?
Manusia rambut sama hitam hati lain-lain. Orang kita lebih suka mendiamkan diri. Kononnya kubur pun sendiri-sendiri. Betulkah konsep ini?

Ada yang mencari saya. Ada yang meminta nasihat dan pandangan. Mereka baru hendak mengenal Islam. Mereka di persimpangan jalan seperti yang pernah saya lalui. Saya takkan nyatakan siapa mereka dalam blog ini kerana menghormati hak mereka untuk kekal anonymous. Alhamdulillah, ramai yang tidak pernah saya kenali secara langsung menghulurkan salam perkenalan di alam siber.

Semuanya saya sambut. Saya cuba. Saya nasihat. Saya cuba jawab persoalan-persoalan mereka. Saya tahu. Saya pun pernah melalui keadaan seperti yang sedang mereka lalui. Saya akui, saya bukan orang yang pandai dalam bidang agama Islam. Tetapi saya banyak membaca. Saya cari bahan, tanya orang yang lebih arif, letakkan diri saya dalam situasi mereka, dan berempati dengan keadaan mereka. Kalau saya tak bantu, siapa lagi? Kalau saya tak bantu, mungkin mereka akan tawar hati. Mungkin mereka akan berjauh hati daripada Islam. Sedangkan kita semua adalah jurucakap Allah di dunia ini.

Tapi bolehkah saya?
Mampukah saya?
Cukupkah ilmu saya untuk memberi nasihat dan menjawab soalan-soalan yang kadang-kadang tidak pernah terfikirkan oleh kita yang lama Islam?
Siapalah saya, kalau berbanding dengan mereka yang telah lama Islam. Berbanding dengan mereka yang setiap minggu menghadiri usrah, mengaji al-quran setiap malam, dan fasih berbahasa Arab.
Tetapi saya ada sesuatu yang mereka tiada. Saya pernah menjadi Buddhist, pernah beragama Kristian, sudah lama berdamping dengan mereka yang dibesarkan dalam keluarga Hindu, pernah melalui pelbagai kesulitan sebelum memeluk Islam secara rasmi, malah pernah dan sedang hidup sebagai seorang saudara baru.

Mereka yang lama Islam ada pengetahuan Islam yang lebih banyak. Mereka mampu berhujah dengan ayat-ayat al-Quran. Mereka mengamalkan cara hidup Islam. Menutup aurat. Mengerjakan haji dan umrah bagi yang mampu.
Tetapi saya lain. Saya boleh berbahasa Cina. Saya faham budaya Cina kerana itu budaya saya. Saya tahu budaya India kerana pernah sebilik dengan rakan India selama setahun lamanya. Saya lebih mudah berempati dengan mereka. Bukan bersimpati. Jauh sekali memandang mereka dengan belas kasihan.

Entahlah. Saya amat bersyukur. Allah swt yang membawa saya kepada mereka yang bertanya itu. Saya dipilihNya menjadi tempat rujuk mereka yang memerlukan sedikit pendapat dan nasihat agama, bagi mereka yang dijinak-jinakkan hati olehNya kepada Islam. Saya cuba lakukan yang terbaik, dengan segala ilmu yang ada pada saya. Itu kewajipan saya sebagai orang Islam. Peluang keemasan untuk berdakwah ini tidak mungkin dirasai oleh semua umat Islam.
Di negara kita, mungkin saya seorang saja Muslimah dari keturunan Cina yang bergerak aktif di alam siber, menulis dalam dua bahasa. Saya tak pasti tetapi saya bersyukur kerana diberi peluang begini oleh Allah swt.

Tetapi bolehkah saya?
Mampukah saya?
Cukup ilmukah saya?
Saya hanya mampu berdoa dan meminta petunjuk dan hidayahNya.

2 comments:

  1. Semoga diberi kekuatan untuk beramal... Allah tahu kemampuan kita. Berserah padaNya dan lakukan yg terbaik.
    Baru 1st time ziarah blog nie. tertarik pada artikel2 dalam ni. izinkan saya linkkan blog ni ye...

    ReplyDelete
  2. Kita hanya hambaNya, segala yang berlaku pada hidup kita adalah dengan izinNya. Harapan saya, semoga mereka yang mengunjungi blog ini lebih terbuka hati terhadap Islam dan bersedia menghulurkan bantuan kepada saudara baru kita.

    ReplyDelete