Friday, September 19

BERBUKA PUASA BERTIGA

Saya membaca sms yang dihantar oleh Adik.
"Can go out 4 dinner 8pm?"
Aiyah, susah hendak keluar untuk makan malam pada pukul 8malam pada bulan Ramadhan. Pukul 8 waktu untuk menjamah makanan setelah seharian berpuasa. Lagipun ia di antara waktu maghrib dan waktu isyak.
Saya membalas, "2moro ok? 2nite bz. Sorry."
Adik yang mula bekerja dan tinggal berhampiran rumah sementara saya ini (sedang menari rumah lain)menghubungi saya sekali-sekala untuk mengajak saya keluar makan dan bersembang. Maklum saja, dia belum ada teman wanita, hehehee.

Keesokannya, saya menghantar satu lagi sms kepadanya.
Saya menjemputnya untuk berbuka puasa bersama-sama saya dan suami di kedai makan. Jam 7.10 malam.
Alhamdulillah, dia terima jemputan kami.
"Wahh.. banyaknya makanan," dia tiba beberapa minit selepas kami. Meja restoran itu penuh dengan lauk. Ada ikan goreng, kari ikan, ayam masak merah, sayur, sup ayam dan sebagainya.
"Biasalah.. berbuka puasa," saya jawab.

"Erm, saya kena tunggu jugakah?" dia bertanya kerana kami masih menunggu waktu untuk berbuka puasa.
"Awak nak makan dulu, boleh," saya menjawab ringkas. Kami memang selalu bercakap terus-terang, direct antara satu sama lain. Tak ada berlapis.
"Okay, saya makan dulu laa," dia mula makan nasi yang terhidang di hadapannya.
Suami di sisi tersenyum melihat telatah adik iparnya. Lain daripada lain.
"Orang di sebelah dok jeling saya," komen Adik yang terus menyuapkan makanan ke mulutnya. Dia tidak peduli jelingan orang di sekeliling. Mungkin dalam pemikirannya, buat apa dia perlu menunggu juga; dia tidak berpuasa seperti kami.

Azan berbunyi menandakan masuk maghrib.
Saya menghulurkan kurma kepadanya.
"Awak kenal saya berpuluh-puluh tahun, takkan tak tahu saya tak makan benda ni," saya pula ditegurnya dalam loghat Hokkien.
Saya tertawa. Adik sudah lama menghentikan tabiat memanggil saya sebagai "Jie-jie" dalam Bahasa Cina. Katanya dia segan, naik bulu romanya menggelar saya sedemikian apatah lagi apabila saya bertudung, hehehe.
Saya tahu Adik tidak biasa berbuka puasa dengan orang Islam. Mungkin semalam kali pertama baginya.

Kami menjamu selera sambil berbual dalam Bahasa Inggeris (di antara Adik dan suami) dan loghat Hokkien ( sekali-sekala di antara saya dan Adik, kemudian diterjemah ke B.Inggeris untuk suami). Bukan senang hendak membuang tabiat berbual dalam Hokkien dalam perbualan di antara kami berdua. Syukurlah suami bersabar dan tidak melenting;dia juga sedang belajar loghat Hokkien dari saya. Fahamlah dia sedikit sebanyak perbualan kami dalam loghat Hokkien utara.

"Dah kenyang? Nak lagi?"
Adik menggeleng kepala. Makanan kurang sedap, namun kami berjaya habiskan semuanya.
Jam sudah menunjukkan 8.15 malam. Saya dan suami perlu beredar. Solat maghrib belum dikerjakan.
"Ok, kita jumpa lagi. Ada apa-apa hal penting, call ok."
Dia mengangguk.
"Nak keluar makan, tolong sms saya sebelum pukul 5 petang," saya mengingatkannya."Bulan puasa ni saya kena sedia makanan awal."
"Ohh, ok," dia kedengaran agak terkejut dengan maklumat yang baru diterimanya. Mungkin dia baru sedar bahawa saya wajib berbuka puasa pada pukul 7.20 malam dan tidak boleh bertangguh sesuka hati, huhuhuu.

Dalam kereta suami komen," Dia tak kisah yer, selamba jer makan lebih awal daripada kita, hahahaa. Kalau di seminar, rakan-rakan sekerja Abang yang non-Muslim akan tunggu untuk azan maghrib, baru makan bersama-sama."
"Tau.. dia kan baru nak kenal adat orang Islam, baru bergaul dengan orang Melayu. Lama-lama nanti dia fahamlah.."

Saya membuat keputusan berbuka puasa dengan Adik dan suami di luar rumah. Kalau buat jamuan di rumah sementara saya yang sempit ini, agak susah untuk kami berdua mengerjakan solat maghrib sementara Adik yang bukan Islam pula menunggu berseorangan untuk kami selesai solat. Pada pendapat saya, dia belum bersedia melihat saya mengerjakan solat di hadapannya.
Mungkin tahun hadapan apabila dapat rumah yang lebih besar, insyaAllah saya akan masak sendiri dan menjemput Adik dan Mak ke rumah untuk bersama-sama kami berbuka puasa.

3 comments:

  1. Assalamualaikum wbt,
    Alhamdulillah, Allah makin membuka jalan pada ahli keluarga untuk hidayahNya.Teruskan dengan kesabaran dan ketabahan, sis.Allah sentiasa bersamamu =)
    Em, kadangkala rasa tercabar juga bila kita x faham perbualan coursemate dlm bhs mandarin in class. Well, i'm looking forward to learning it! Pray for me ya

    ReplyDelete
  2. Wah, tahun depan pun saya merancang nak pindah ke rumah yang lebih besar. Samalah kita..

    Kelakar juga ya, kalau berada di situasi Kak Aliya. Takpelah jika adik belum boleh sesuaikan diri. Yang penting hubungan kekeluargaan terjalin.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam wbt,
    Syaima, yang penting kak aliya jaga hubungan kekeluargaan, yang selebihnya berdoa & berserah kepadaNya. Cubalah pohon subjek LAC100 sebelum tamat studi, xi wang ni chen gong!(harap anda berjaya)

    Humrah, dok cari2 rumah kosong untuk pindah akhir tahun ni, insyaAllah.Nak beli baru tak mampu sebab rumah lama masih belum dijual. Suami sebenarnya half-Chinese tetapi sebab dia tak pernah belajar B.Cina, jadilah saya lao-shi(cikgu Cina) dia, dia jadi ustaz saya, hahahah..

    ReplyDelete