Tuesday, August 19

TERKILAN

Saya terkilan.
Bukan mudah untuk berulang-alik ke universiti, apatah lagi dengan tol RM5.60 dan kenaikan harga minyak petrol. Tambahan pula hari ini sahaja saya berpeluang ke universiti kerana ada urusan lain pada hari-hari berikutnya.

Alhamdulillah. Jubah konvo telah dikembalikan. Kajiselidik Ujian Pengesanan Graduat telah diserahkan. Kajiselidik universiti telah dihantar. Transkrip dan skrol telah diambil. Foto konvo telah diambil. Semua urusan konvokesyen dan pengambilan dokumen rasmi selesai. Saya lega.

Saya singgah di pejabat pensyarah. Dr Kamarul Kabilan masih tidak berjaya saya temui walaupun berkali-kali saya ke pejabatnya. Stafnya yang peramah memberitahu bahawa beliau sibuk dengan urusan rasmi. Ahhh.. tak dapatlah saya mengucapkan terima kasih kepadanya secara muka ke muka sebelum saya meninggalkan kampus. Pensyarah yang membantu menguruskan proses pengislaman saya itu gagal saya temui buat kali kelima saya ke pejabatnya. Sibuk benar beliau dengan projek terbarunya.

Saya mengambil keputusan untuk singgah di Pusat Islam USM pula sebelum berangkat pulang. Keputusan saat akhir itu juga menghampakan. Saya mendapati pintu pejabat terkunci. Pintu Pengarah juga terkunci. Pintu tadika Pusat Islam tertutup tetapi tiada staf di situ. Ke manakah semua orang pada jam 3.30 petang? Menghairankan.

Saya menelefon salah seorang daripada ustazah saya. Tidak diangkatnya panggilan saya. Saya menelefon pula rakan sekerjanya.
"Ustazah tengah mesyuarat di Pejabat Pendaftar."
Aduss... hampa lagi.
Saya tidak berjaya menemui seorang pun dari Pusat Islam pada hari ini.

Inilah peluang terakhir saya untuk menemui mereka yang telah membantu saya pada ketika saya mula bergelar Muslimah. Walaupun pembelajaran saya di Pusat Islam USM tidak konsisten kerana sebab-sebab tertentu, sumbangan dan jasa mereka tetap saya hargai. Saya paling terhutang budi kepada ketiga-tiga ustazah di situ - Ustazah Rohayati yang membantu dalam proses pengislaman saya, Ustazah Normiza yang mula-mula mengajar saya Iqra, dan juga Ustazah Fadhilah yang mengajar saya membaca surah al-Ikhlas dan surah An-Nas.
Dua kali saya singgah di situ sebelum ini, mereka juga bermesyuarat dan saya gagal menemui mereka. Bukannya apa; hanya ingin mengucapkan terima kasih dan bersalaman kerana saya sendiri tidak tahu bila saya berpeluang menemui mereka lagi. Di samping itu, saya juga berhasrat mengambil foto-foto kenangan bersama mereka. Kerjaya di Pusat Islam tidak tetap; ada ketikanya mereka akan ditukarkan ke tempat lain. Mungkin saya tidak akan berpeluang berjumpa mereka lagi selepas ini.

Nampaknya tiada rezeki saya untuk menemui mereka pada hari ini.
Pada minggu lepas saya juga gagal menemui Dekan pusat pengajian saya yang begitu baik hati membantu menyediakan kediaman yang sesuai untuk saya menyambut hari raya pertama saya sebagai orang Islam. Dengan bantuan Dekan, saya tidak perlu berseorangan di asrama ketika 1 Syawal 2006.

Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui.
Semoga Allah swt berkati mereka semua.

1 comment:

  1. Manakan tidak terkilan.. Saya pun pernah merasai perkara yang lebih kurang macam tu. Rasa helpless dan hopeless je..

    Ceria kembali tau!

    ReplyDelete