Saturday, August 23

MERDEKA

8 hari lagi Malaysia akan meraikan ulangtahun kemerdekaan yang ke-51.
Saya mencari-cari bahan di internet untuk projek. Ahhh.. mengapa sedikit sahaja berita yang ada tahun ini, berbanding dengan tahun lalu?
Program hari kemerdekaan negara ke-51 tenggelam di sebalik kempen pilihanraya kecil dan isu-isu lain.
Bak seorang Ah Pek yang sudah meraikan hari lahir ke-50 secara besar-besaran, tahun-tahun seterusnya dia mula dilupakan anak dan saudara.

Setiap tahun, rakyat melaungkan 'Merdeka' pada tanggal 31 Ogos.
Setiap tahun, pelajar sekolah menyanyikan lagu patriotik 'Tanggal 31', 'Keranamu Malaysia' dan 'Jalur Gemilang' menjelang akhir bulan Ogos.
Namun selepas tamat acara, berapa ramaikah yang benar-benar menghayati maksud kemerdekaan itu?
Berapa ramaikah yang betul-betul mengamalkan kelima-lima prinsip Rukunegara?
* Kepercayaan kepada Tuhan.
* Kesetiaan kepada Raja dan Negara
* Keluhuran Perlembagaan
* Kedaulatan Undang-undang.
* Kesopanan dan kesusilaan.

Sayu melihat bendera-bendera Jalur Gemilang dibiarkan bertaburan, dipijak-pijak di padang selepas upacara rasmi.. ada yang dibuang ke dalam tong sampah yang sarat dengan sampah-sarap.
Geram melihat telatah anak-anak muda yang mengibarkan bendera sambil membonceng motosikal, berlagak samseng tanpa mematuhi peraturan jalan raya.
Marah apabila masih ada individu yang suka menghina, menyuruh "Balik India" atau "Balik Cina" setiap kali sesuatu isu diperdebatkan.
Sedih melihat remaja-remaja terikut-ikut dengan gaya hidup Barat sehingga menganggap cara hidup mengikut syariat Islam sesuatu yang kolot dan ketinggalan zaman.

Sudah merdekakah anak-anakku jika masih mengharapkan bantuan guru untuk menyuapkan jawapan demi jawapan tanpa perlu mereka bekerja keras dan berfikir?
Sudah merdekakah anak-anakku jika tidak mahu, segan, malas, atau takut menyuarakan pendapat sendiri dengan kritikal dan kritis?
Sudah merdekakah anak-anakku jika bangga memegang segulung ijazah, berumah besar, dan berkereta mewah tetapi belum mengenal Penciptamu?
Sudah merdekakah anak-anakku jika hidup bebas tanpa batasan agama?
Sudah merdekakah anak-anakku jika lebih mengagung-agungkan golongan artis dan penghibur daripada mengenali ahli akademik dan tokoh ulama?
Sudah merdekakah anak-anakku jika lebih suka hidup berpuak-puak sesama bangsa sendiri tanpa mahu bergaul dan mengenali mereka yang berbeza bangsa, agama dan budaya?
Merdeka?
Apa itu merdeka?

3 comments:

  1. Salam Aliya.

    Masyarakat kita masih ramai yang tidak mensyukuri kepada Allah di atas nikmat kemerdekaan ini mengikut acuan Islam. Sambutan merdeka masih diwarnai dengan cara jahiliyyah. Menanti detik 12 malam kemerdekaan selalunya merupakan titik kemuncak mengundang kemurkaan Allah. Amat sedih sekali melihat muda-mudi, remaja mahupun golongan yang telah berusia gagal mempamerkan kesyukuran ketaatan kepada Allah di atas nikmat kemerdekaan ini.

    Hakikatnya jiwa mereka masih terbelenggu dengan jahiliyyah hingga amat payah untuk melihat kebenaran apatah lagi untuk merasai Allah sebagai Rabb dan Illah.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam Umi Jah,
    Benar, kadang-kadang saya hairan perlu sangatkah menyambut ulangtahun kemerdekaan dengan konsert-konsert hiburan dan percikan bunga api?

    ReplyDelete
  3. MERDEKA DIRAIKAN TANPA PENGERTIAN YG MENDALAM MENGENAI APA ITU KEMERDEKAAN. PALING PENTING DAN UTAMA ADALAH KEMERDEKAAN HATI DAN MINDA. KERANA DI SANALAH TERLETAKNYA KEMERDEKAAN YG SEBENAR.

    WALAUPUN SUDAH LEBIH SETENGAH ABAD NEGARA KITA MENCAPAI KEMERDEKAAN DARI SEGI PRINSIPNYA TETAPI SEBENARNYA KITA TIDAK PERNAH MERDEKA.

    LIHAT SAHAJA WARISAN PENJAJAH YANG MASIH TERUS DI AMALKAN BAIK DARI ASPEK PERUNDANGAN (COMMON LAW), SISTEM PENDIDIKAN, SISTEM PENTADBIRAN, BAHASA MALAH SEGALA MACAM YG MASIH DI AMALKAN DI NEGARA INI ADALAH SECARA TOTAL DICIPLAK SECARA MEMBUTA TULI DARI TUAN KOLONIAL KITA.

    BIROKRAT YG MEMERINTAH NEGARA MASIH MENGIKUT ACUAN YG DITITIPKAN MELALUI PENGKADERAN MALAYAN CIVIL SERVICE (KINI PTD), MALAH SEKOLAH ARISTOKRAT SPT MCKK YG DULUNYA DIHUNI OLEH ANAK2 RAJA MELAYU TETAPI KINI BANYAK DI HUNI OLEH ANAK BEKAS PEMERINTAH SEBELUMNYA.

    MALAH KEBANYAKAN ANAK KORPORAT DAN PEMBESAR NEGARA SECARA SENGAJA DIHANTAR UTK BELAJAR DI NEGARA ASAL PENJAJAH BAGI TUJUAN DOKTRINISASI.

    KERANA ITU, NIKMAT MERDEKA ATAU ERTI KEMERDEKAAN MASIH LAGI TIDAK DIFAHAMI, DIHAYATI ATAU DINIKMATI OLEH KITA SEMUA.

    MALAH SISTEM PERUNDANGAN ISLAM DI NEGARA INI ADALAH MENCIPLAK SISTEM SIKULARISME BGMANA YG DIAMALKAN OLEH BAPAK KOLONIALIS KITA.

    ADA BANYAK PERKARA YG PERLU DILAKUKAN DENGAN SEDAR SUPAYA GENERASI AKAN DATANG TIDAK TERPENJARA DALAM KEPOMPONG MANUSIA MELAYU, ISLAM DALAM MINDA PENJAJAH.

    ReplyDelete