Thursday, June 26

BUKAN SEKADAR ITU SAHAJA


'A patient teacher." (Guru yang sabar)
Itulah komen yang ditulis oleh pensyarah saya setelah memantau saya mengajar sebuah kelas yang agak sukar untuk diurus. Dia sendiri menggeleng kepala melihat telatah beberapa pelajar yang sengaja masuk lewat ke kelas, yang kurang menumpukan perhatian dalam pembelajaran, dan yang boleh menaikkan tekanan darah sesiapapun yang mengajar mereka. Saya tersenyum apabila membacanya. Bagi saya, itulah komen yang amat bermakna sepanjang karier saya.

"Good evening, Husni. Good evening, Mukhlis. Good evening, Faiz. "
Pengajaran hari itu tergendala beberapa kali apabila 'hero-hero' itu bergilir-gilir berjalan masuk ke dalam bilik darjah, dari entah mana. Salam saya tidak berbalas. Mungkin mereka terkejut kerana cikgu yang memberi salam. Saya membiarkan mereka mengambil tempat duduk masing-masing. Sedikit pun tidak terusik dengan sikap mereka. Objektif saya adalah mengajar, bukan untuk memarahi mereka. Saya teruskan tugas saya.

Saya akui bahawa dahulunya saya bukanlah seorang yang penyabar. Ketika mula mengajar lebih daripada 15 tahun yang lalu, saya agak panas baran. Darah muda, bak kata orang tua-tua. Pantang pelajar bising, saya akan marah. Entah berapa batang pembaris panjang yang patah kerana diketuk kuat pada meja. Mereka yang bersembang akan disuruh duduk di hadapan kelas, di atas lantai menghadap papan tulis. Mereka yang bergaduh akan dicengkam erat pada kolar baju dan diheret kepada guru disiplin (kalau genggam tangan boleh akibatkan patah tulang). Rotan jarang digunakan kerana tidak mahu membentuk tabiat merotan pelajar. Tangan juga jarang hinggap pada badan pelajar. Marah dan denda tidak perlu meninggalkan kesan fizikal. Hanya mulut yang menjadi senjata mendisiplinkan mereka. Tak perlu berleter, tak perlu mengugut. Hanya perlu menepati kata-kata yang diucapkan. Pilihan diberi; buat ini atau dapat itu.

Itu dulu.
Kini lain.
Dulu saya guru biasa.
Kini saya guru yang beragama Islam.
Kalau dulu saya baik, kini saya perlu menjadi cemerlang.
Kalau dulu model saya adalah Tokoh Guru, kini model saya merupakan Nabi Muhammad s.a.w.

Imej Islam perlu dijaga dan diutamakan.
Penampilan diri perlu lebih diperhalusi.
Pergaulan perlu diawasi.
Tugas dan tanggungjawab sebagai guru kini bukan sekadar mengajar dan mendidik anak murid tetapi juga sebagai satu jihad dan dakwah.

Jadi mengapa perlu bekerja dalam keadaan tertekan?
Mengapa perlu mengeluh dengan bebanan tugas?
Mengapa perlu memarahi pelajar dengan kata-kata yang kurang menyenangkan?
Mengapa perlu bersangka buruk terhadap orang lain?
Mengapa perlu melibatkan diri dalam gosip pejabat, dan membuang masa mengumpat orang lain?
Mengapa perlu menambah dosa dan mendapat wang haram dengan tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan amanah?

Saya Muslimah.
Saya hambaNya dan agenNya.
InsyaAllah saya akan sentiasa beringat.
Bersabar.
Berbuat baik.
Bersangka baik.
Mengharapkan keredhaanNya.

Mungkin kerana itulah saya berubah.

8 comments:

  1. Assalamualaikum Aliya,

    Tulisan aliya kali ini buat saya termenung.......merenung diri sendiri...Terimakasih kerana menyedarkan saya tentang sesuatu...

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam,
    Lain yang dirancang, lain pula hasilnya post ini :)
    Alhamdulillah. Saya juga jadikan post blog ini sebagai peringatan kepada diri sendiri..semoga membantu yang memerlukan

    ReplyDelete
  3. Salam adik Alya,
    Ingat lagi abang tak (abang rafas di muslimsocial.com)
    Semalam abang ke sana baca artikal Bro Fay tentang rasuah... tengok adik Alya tinggalkan address blog. hari ini abang rafas (nama sebenar abang ialah Mohamad Azaludin)ada kesempatan berkunjung ke blog adik ni....

    ada kesempatan adik bolehlah ke blog abang

    Salam dari abang... jumpa lagi.

    ReplyDelete
  4. mabruk 3alaiki ya mu3alimah
    (reads:tahniah kepada cikgu)

    semoga apa yang diperolehi hari ini akan menjadi bekalan selamanya. dan semoga niat yang ikhlas kerana-Nya diberkati. teruskan berdakwah. semoga menjadi guru cemerlang di dunia dan akhirat.

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum...saya suka baca pengalaman cina islam.. semoga akak cerita pengalaman akak sebelum dan sesudah islam. saya ada ramai member bukan islam tapi saya rasa mereka kurang faham tentang islam. PEACE.

    ReplyDelete
  6. Orang islam pun kalau tak belajar...lebih jahil daripada orang yang baru peluk islam..oleh itu, semua orang kena tuntut ilmu.

    ReplyDelete
  7. Waalaikumussalam caya,
    Sedikit cerita tentang pengalaman saya boleh didapati di dalam post berlabel "journey"

    ReplyDelete