Two roads diverged at thirty-five, and I - I took the one less travelled by, and that has made all the difference.
Friday, June 27
NAK KALENDAR?
"Assalamualaikum.."
Saya sedang makan tengah hari seorang diri di sebuah restoran di bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang. Kehadiran seorang pelajar lelaki sekolah rendah di tepi meja saya itu menyebabkan saya berhenti makan.
"Saya dari **** Saya menjual kalendar 2009 untuk membantu *****"
"Kejap adik. Adik dari mana?"
"Saya dari sekolah tahfiz **** di Yan, Kedah."
"Hari ini tak ke sekolahkah?"
"Hari ini cuti."
"Oh, ya... apa yang adik jual ni?"
Saya melihat dia memegang segulung kalendar dan sebotol krim.
Dalam beg galasnya yang terbuka masih terdapat beberapa kalendar yang bergulung.
"Kalender 2009. Saya menjual ini untuk mendapatkan wang untuk anak-anak yatim. Terdapat seramai 500 orang anak yatim.."
Kanak-kanak lelaki itu terus memberi penerangan dalam nada monoton, seolah-olah telah menghafalnya. Dia serius, sedikit pun tidak kelihatan ceria, berlainan dengan gelagat pelajar-pelajar lelaki sebaya umurnya yang biasa saya temui. Dia kelihatan kemas berpakaian uniform sekolah tahfiznya dengan lencana pada poket baju hadapan.
Saya tidak mahu mendengar hafalannya yang monoton. Sudah tentu telah diajar oleh guru-gurunya. Saya ubah strategi.
"Cikgu suruh jualkah?"
"Tak. Saya sendiri rela."
"Adik, Adik seorang sahaja di sini? Siapa hantar ke sini?"
"Saya dengan dua kawan lagi. Mereka di luar. Cikgu yang hantar."
"Pukul berapa cikgu akan datang ambil?"
"Cikgu akan datang nanti."
"Dah makan belum? "
"Belum lagi. Pagi tadi dah makan sedikit."
"Nak makan? Kak belanja..duduklah."
"Tak naklah. Malu."
Saya mengambil kalendar yang dipegangnya.
"Boleh kak tengok dulu?"
"Boleh."
Saya membuka gulungan itu.
"Ini alamat sekolah kamu?"
"Ya. Harga kalendar RM10 tetapi untuk membantu anak-anak yatim, boleh..." sekali lagi dia memulakan monolognya.
Saya mengeluarkan dua keping wang kertas. Sekeping untuk membeli, sekeping untuk menderma.
"Akak beli satu ya."
Tiada borang atau buku yang diberi untuk saya menulis derma yang dihulurkan. Pelik. Saya mendiamkan diri.
Kelihatan dia agak keliru. Tindakan saya seolah-olah tidak diduga. Krim yang dipegangnya tadi tidak pula dihulurkan kepada saya untuk dilihat.
" Terima kasih. Assalamualaikum."
Belum sempat saya mengeluarkan telefon bimbit, dia sudah menghilangkan diri.
Aduh.
Perlukah sekolah tahfiz menjadikan pelajarnya untuk mengutip derma di khalayak umum?
Di manakah cikgunya?
Adakah dia sendiri anak yatim?
Mengapakah mereka dibiarkan berkeliaran di kedai-kedai?
Perlukah menggunakan pelajar untuk memancing simpati orang ramai untuk menderma?
Mengapa bukan gurunya (yang sudah dewasa) yang menjual atau meminta kedai-kedai usahawan Islam untuk membantu menjual kalendar mereka?
Inikah imej Islam yang kita hendaki?
Saya masuk ke sebuah kedai Muslim selepas makan tengah hari.
Kelihatan kalendar yang sama dalam beg salah seorang pelanggan kedai itu. Alhamdulillah,ramai juga yang membeli kalendar itu.
Tiba-tiba dua orang pelajar beruniform berjalan keluar dari kedai. Kawan-kawan si adik tadi.
Selesai membeli barang, saya pun keluar ke kaki lima.
Si Adik berdiri di luar kedai itu. Mata kami saling berpandangan. Dia kelihatan terkejut melihat saya. Senyuman saya tidak berbalas.
Aduh.
No comments:
Post a Comment