Sunday, May 18

KAMI BUKAN BODOH

" Jangan cari penyakit."
Saya merenung tajam ke muka pemuda tinggi lampai yang duduk tidak jauh dari meja saya.
Dia perlahan-lahan meletakkan kertas lipatan di atas meja.

Waktu peperiksaan.
Kertas peperiksaan berbentuk objektif, ada pilihan jawapan. Pelajar hanya perlu melorekkan sama ada jawapan A,B, C atau D. Soalan pula di dalam Bahasa Inggeris untuk subjek Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris.
Ramai pelajar di dalam kelas itu yang tidak tahu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.
Mereka tidak pandai membaca soalan berbentuk masalah dalam Bahasa Inggeris. Kalau boleh membacapun, mereka tidak berapa faham. Mereka hanya cuba menjawab soalan-soalan Matematik yang berbentuk nombor.

Saya berada di dalam kelas yang terdiri daripada 'pendekar-pendekar'.
Saya ditugaskan menjaga pelajar yang menduduki peperiksaan selama sejam.
Itu sepatutnya tugas yang mudah. Cikgu tidak perlu mengajar. Cikgu tidak perlu mengeluarkan suara yang kuat selama sejam atau lebih. Cikgu tidak perlu letih berjalan mundar-mandir mengawasi dan membantu para pelajar yang menjalani aktiviti kumpulan.
Cikgu hanya perlu mengagihkan kertas soalan dan kertas jawapan untuk diisi oleh pelajar.
Namun tiada seorang pun cikgu yang suka masuk ke dalam kelas 'istimewa' itu.

"Jangan bagi saya nampak gelang getah lagi. Saya tidak suka marah kamu sebab saya anggap kamu pelajar yang sudah pandai berfikir dan tahu membezakan antara baik dan buruk."
Si A yang hendak melastik pelajar di sebelahnya segera menyimpan 'senjata'nya.
Si B yang bakal menjadi mangsa si A jika saya tidak melarang, tersengih sambil menjeling ke arah Si A.
"Kalau sudah siap menjawab, kamu boleh tidur seperti kawan kamu di sana," saya menjeling ke arah seorang pelajar lelaki yang sudah lama lena di mejanya.
Saya terus mengawasi mereka dengan teliti.
Risau kerana mereka berpotensi bergaduh pada bila-bila masa.
Keadaan mereka bagaikan bom yang menunggu masa hendak meletup.

Kertas soalan yang diberi sengaja dikoyak dengan pembaris dan dilipat dengan rapi untuk dijadikan senjata mereka. Gelang getah pula dijadikan bahan melastik kawan mahupun musuh. Bukan seorang dua yang berbuat begitu tetapi hampir enam orang kesemuanya. Mereka pandai melastik; kertas yang dilastik tepat menuju sasaran dan mangsa akan menjerit kesakitan.

Saya tahu mereka bosan. Mereka hanya mengambil masa kurang daripada setengah jam untuk menjawab kesemua soalan yang diberi. Mereka bukanlah pelajar yang bodoh atau dungu. Cuma soalan-soalan subjek Matematik itu tidak mampu dijawab kerana mereka tidak tahu membaca soalan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Apakan daya, saya pula tidak boleh membantu mereka. Waktu peperiksaan, cikgu tidak boleh membantu dengan apa cara sekalipun untuk mengelakkan berlakunya bias atau pilih kasih.

Kalau peepriksaan awam, calon yang sudah siap menjawab boleh meninggalkan dewan. Di sekolah pelajar tidak boleh berbuat demikian, maka mereka terpaksa duduk diam di meja menunggu sehingga tamat tempoh peperiksaan untuk subjek tersebut. Itu satu penyeksaan kepada pelajar yang siap awal dan cikgu yang mengawasi mereka.

Kalau pelajar sudah menghadapi masalah menjawab soalan Matematik, soalan dalam Sains berbentuk subjektif dalam Bahasa Inggeris pula amat mencabar kepada pelajar di kelas yang terbelakang.
" Kenapa tak jawab?"
" Tak tahu pun maksud soalan, cikgu," jawab pelajar lelaki yang tinggi lampai itu.
" Cuba tengok gambar ini. Mungkin gambar itu dapat membantu."
" Tak tahu nak tulis dalam Bahasa Inggeris. Kalau Bahasa Melayu boleh la. Cikgu tolonglah saya jawab. Tolong terjemahkan untuk saya?"
" Eh, cikgu tak boleh tolong. Yang duduki peperiksaan ini kamu, bukan cikgu."
" Susahlah cikgu, tak faham soalan. Tahu pun bukan reti nak tulis dalam Bahasa Inggeris. Jawab dalam Bahasa Melayu, bolehkah cikgu?"

Saya mengeluh.
Kasihan. Mereka pandai dalam bidang-bidang tertentu. Kebanyakan mereka lebih suka belajar perkara-perkara teknikal daripada dipaksa duduk diam berjam-jam dan belajar subjek yang mereka kurang faham dan kurang berminat. Akibatnya mereka menimbulkan banyak maslaah di dalam kelas sehingga sering dihukum guru yang mengajar. Kebanyakan mereka berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan mereka tidak mampu menghadiri kelas tuisyen, tidak seperti pelajar yang berasal dari keluarga berpendapatan tinggi. Kerja sekolah mereka tidak siap kerana tidak tahu bagaimana menjawab. Apabila bosan, mereka ponteng sekolah. Oleh yang demikian, penguasaan Bahasa Inggeris mereka amat lemah, menyebabkan mereka kurang berminat dalam mata pelajaran lain. Ia satu kitaran yang membahayakan pelajar dan masyarakat amnya. Alangkah ruginya.

3 comments:

  1. Puan Aliya,
    Menurut Prof DiRaja Ungku Aziz, sebelum Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris, murid-murid perlu belajar memahami Bahasa Inggeris dahulu bukan terma-terma Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Sekiranya mereka hanya diajar terma-terma Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris maka mereka tidak mampu memahami Matematik dan Sains apatah lagi untuk mengaplikasikannya.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih En.Halim. Memang benar, pelajar kita perlu menguasai Bahasa Inggeris sebelum mereka boleh mamahami Matematik dan Sains dalam bahasa itu. Melalui pemerhatian saya, pelajar Melayu khasnya bukan tidak tahu menjawab soalan Sains dan Matematik tetapi akibat kelemahan perbendaharaan kosa kata Bahasa Inggeris, mereka tidak dapat menerangkan sesuatu dengan baik untuk subjek-subjek tersebut menggunakan Bahasa Inggeris. Ini menyebabkan jurang perbezaan semakin ketara di antara pelajar daripada bandar dengan luar bandar, dan antara pelajar kaya yang mampu membeli buku rujukan dsb dan pelajar miskin yang hanya bergantung kepada guru sekolah. Kalau cikgu Sains dan Matematik yang mengajar bersifat kurang empati dan kurang membantu, penguasaan subjek tersebut di kalangan pelajar akan semakin merosot.

    ReplyDelete
  3. ish. i havent been brought to face this kind of situation. during my practicum, i've been sent to the number one skool in klang. smart girls. easy job for practeachers. i hope i'll be getting help when i really start teaching. i want things to change for students like this. and i'll do my best for that dream!

    ReplyDelete