Monday, April 7

JALAN-JALAN CARI MAKAN


"Lapar la, orang Islam di sini tak makan di kedaikah?"
Pelik. Sudah hampir 20 minit meronda mencari kedai makan. Di tengah-tengah pekan tidak kelihatan walaupun sebuah kedai makanan Melayu mahupun kedai Mamak. Kiri kanan jalan kelihatan kedai-kedai Cina belaka.
Sebenarnya kami tidak ambil kisah kedai apapun asalkan kedai itu bersih dan menjual makanan halal untuk orang Islam.

"Kak, di sini tak ada kedai Melayu. Kak kena patah balik, ada Medan Selera di belakang bangunan Tabung Haji," jelas seorang atendan di stesen minyak yang kami singgah.
Aduh, Medan Selera yang menempatkan gerai-gerai Melayu sudah ditutup.
Jam menunjukkan 2.30 petang.
"Sudah tiga kedai makanan Cina yang kita dah lalu dengan nasi ayam terpampang di depan kedai, tapi mana kedai Melayu? Takkan orang Melayu di sini berhenti berniaga pada pukul 2?"

Kami sedang bermusafir. Keletihan.Dahaga. Lapar. Kedai yang dicari-cari masih belum dijumpai. Itulah kali pertama saya berasa betapa susahnya hendak mendapatkan makanan halal semenjak memeluk Islam.
Hairan. Siapa sangka betapa susahnya mendapatkan restoran makanan halal di tengah-tengah sebuah pekan di Malaysia.
"Jomlah kita singgah saja di KFC," saya memberi cadangan.
"Itupun kalau ada."

Akhirnya kami tiada pilihan lain. Kami makan di KFC di tengah-tengah pekan yang mempunyai majoriti penduduk Cina.
Kelihatan beberapa orang Melayu yang turut menjamu selera di situ.
"Apa agaknya orang Islam di sini makan dan minum pada waktu petang? Kasihan juga kepada mereka, hendak mendapatkan makanan yang dimasak panas-panas tentu susah di tengah-tengah pekan ini. KFC agak mahal; kalau orang miskin apa yang mereka makan? Kedai yang menjual roti canai pun tak ada di sini."
"Ya, mungkin mereka makan roti dan minum air mineral saja."

Kami menyambung perjalanan.
"Oh, di sini rupanya kedai Melayu!"
Kelihatan beberapa buah kedai makanan yang didirikan di tepi jalan menuju ke lebuh raya.
"Agaknya beginilah cara orang Melayu berniaga, kerana kekurangan modal untuk menjalankan perniagaan di tengah-tengah pekan. Lagipun sewa kedai di pekan mahal."
"Mungkin juga semua orang Islam datang ke sini untuk makan, kerana di tengah-tengah pekan seperti tak ada restoran orang Islam."
"Benar, kalau kita tahu di sini ada restoran Melayu tentu kita terus datang dan makan di sini, bukan makan di KFC tadi."
"Masalahnya kita tidak tahu. Tidak ada notis yang memberitahu kita di mana letaknya restoran halal. Masih laparkah? Kalau masih lapar, bolehlah henti di kedai depan tu."
"Tak payahlah... dah kenyang. Lain kali saja kita singgah."
Kami meneruskan perjalanan.

Rupa-rupanya masalah yang hampir serupa kami alami lagi di bandar seterusnya. Meronda-ronda 10 minit selepas maghrib untuk mencari kedai makanan orang Islam. Aduh!
Lain kali kalau bermusafir, saya akan menyimpan makanan yang banyak di dalam kereta, insyaAllah.

1 comment:

  1. Assalamulaikum Aliya,

    Alhamdulillah hidayah Allah sampai kepada mereka yang mencarinya and you are among the blessed..

    I like your postings.

    I've never personally known any new converts, but I always wonder how they go thru life as new muslims. But worry not my dear, you are not alone.

    If you like, we can help each other through this life's journey. I mean, being a muslim since day 1 doesn't really make a person truly a muslim.

    Let's chat..

    ReplyDelete