Tuesday, March 18

TERKENANG MASA DULU

1987.
'Jangan lupa, mai rumah Anit raya ni," kata kawan saya.
Saya mengangguk tanda setuju.
Bulan Ramadhan atau musim puasa sesuatu yang dinanti-nantikan pelajar bukan Islam. Kami tak perlu berebut-rebut dan menunggu lama untuk membeli makanan di kantin sekolah. Kawan-kawan Melayu beragama Islam yang berpuasa pula akan berada di perpustakaan.

Satu tindakan bijak yang tok saya lakukan adalah memaksa ibu bapa saya untuk mendaftarkan saya ke sekolah aliran kebangsaan. Tok tidak mahu cucu kesayangannya kerugian satu tahun pembelajaran kerana waktu itu, semua pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina terpaksa menjalani kelas peralihan di sekolah menengah. Sekolah pilihan tok ialah SMK Convent, yang 100% pelajarnya kaum hawa. Di situlah saya mendapat didikan dari Tahun 1 sehingga ke Tingkatan 5. Di situ jugalah saya berkenalan dengan kawan-kawan daripada pelbagai bangsa, dan agama. Ada Cina, Melayu, India, Punjabi, kacukan Cina-India, kacukan Melayu-British, dan kacukan Cina-Australia. Kami semua buta warna kulit ketika itu; semua dijadikan kawan.

Hubungan kami bukan setakat dalam kawasan sekolah. Perbezaan warna kulit, agama, status dan keturunan ditolak ke tepi. Memang diakui ada pihak yang memilih kawan sebangsa tetapi saya lebih selesa bergaul dengan semua orang. Bahasa Melayu Kedah menjadi bahsa perantara kami; malah pada satu ketika saya boleh menulis surat dalam loghat Kedah, hehehe...

Pada setiap Hari Raya Puasa, sayalah di antara orang yang paling sibuk. Saya kaki makan. Jam 8.30 pagi, saya akan menaiki bas dari rumah ke pekan, kemudian menaiki sebuah bas lagi ke rumah kawan saya. Dari sebuah rumah, saya akan bertandang ke rumah lain, bersama-sama kawan-kawan India dan Cina. Kami membentuk kumpulan muhibbah - dua amoi Cina, empat tanggechi India, dan yang lain gadis Melayu.

Sampai rumah Anita, makan kuih raya. Di rumah Norhishma makan ketupat dengan serunding. Di rumah Illis, satu-satunya kawan kami yang bertudung, saya makan nasi. Di rumah Khaieez, makan kuih raya lagi. Tiba hari Deepavali, kami kawan Melayu dan Cina pula akan menziarah ke rumah kawan-kawan India. Makan tosai di rumah Dharmin, makan nasi di rumah Asha, dan kuih muruku di rumah Shailaja dan Sharmila. Saya pula akan menjadi hos pada Tahun Baru Cina, menjamu kawan-kawan yang berbasikal ke rumah dengan kuih tradisional Cina dan manisan. Memang seronok sekali. Daripada kawan-kawanlah saya belajar tentang budaya dan adat resam orang India dan Melayu.

Begitulah keadaan kami pada tahun 1980an di sebuah sekolah perempuan. Sentimen perkauman kurang diberi perhatian. Malah sehingga ke hari ini, nama-nama kawan-kawan saya dalam geng muhibbah itu masih saya ingati: Ilhiana, Nurul Khaiza, NorAnita Yusof, Norhishma, Norazira, Tengku Ibriza, Masyitah, Dharma Indhira, Asha Rani, Shubashini, Sharmila, Shailaja, dan Josie. Apakah reaksi mereka sekiranya mereka tahu saya sudah memeluk Islam?
Sedih saya melihat suasana di sekolah hari ini. Pelajar jarang berkawan rapat dengan mereka yang berlainan bangsa dan agama. Alangkah ruginya kerana peluang mengenali budaya, adat resam dan cara hidup bangsa dan agama orang lain dapat dipelajari dengan berkesan melalui pergaulan seharian. Apabila semua pihak saling hormat-menghormati dan bersefahaman, maka kuranglah perasaan syak-wasangka.

*** Lagu sekolah saya***
(dulu setiap minggu kami nyanyi. Pada masa persembahan koir sekolah, teruk kami penyanyi soprano nak capai not tinggi pada akhir lagu :P)

Rouse up all students of father barre’s convent,
We come as one in mind and heart,
Together we shall help to build the world,
To be faithful, loyal and true,
To work for justice should be our aim
Simple in virtue and strong in duty
Our goal must be x2
To love and serve x2
May we live up to what we’ve learnt here
God bless all who work here
Dispel all the differences
For in god alone we shall overcome..

nota:Syukur alhamdulillah, sehari selepas post ini, saya dapat menghubungi kawan lama, Dr.Nurul Khaiza, melalui emel :)

1 comment:

  1. Salam
    Lama tak jengah sini. Housemate saya sekarang Indian, orang N9. Alhamdulillah takde masalah. Makcik Puspa mengirimkan setin muruku untuk saya makan bila dia balik bercuti baru-baru ni, walaupun dia cuma mengenali saya melalui anaknya.

    ReplyDelete